Media antarabangsa, Bloomberg semalam melaporkan bahawa salah satu tanah yang berada di Singapura bakal dibangunkan menjadi kawasan perumahan mewah. Transformasi ini difahamkan bakal dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tambah laporan itu lagi, sumber mereka memberitahu bahawa perbincangan di antara wakil Tunku Ismail dan pihak berkuasa tempatan sudah pun dijalankan bagi memohon kebenaran untuk membina perumahan di tanah yang berdekatan dengan Taman Botani, salah satu tapak Warisan Dunia UNESCO.

Difahamkan bahawa tapak ini 30 kali lebih besar dari White House, mempunyai keluasan 210,875 meter persegi (2.3 juta kaki persegi). Dibeli oleh Sultan Johor pada tahun 1990 dengan harga S $ 25 juta. Difahamkan juga bahawa saiznya dulu lebih besar. Bagaimanapun beransur-ansur berkurang selepas Singapura menggunakan sebahagian tanah untuk meluaskan Taman Botani.

Kawasan ini difahamkan telah dikelaskan sebagai ‘special use of green space’ yang bermaksud pembangunan untuk tujuan lain adalah terhad. Bagaimanapun, Jika mendapat kelulusan, tapak yang juga berhampiran dengan Orchard Road ini bakal menarik minat golongan kaya di rantau ini untuk memiliki rumah kedua di Singapura.

Untuk memiliki tanah di Singapura adalah sesuatu yang istimewa. Ini kerana sebahagian besarnya atau 90% tanah di sana dimiliki oleh kerajaan Singapura. Terdapat hanya kira-kira 2,500 banglo yang dibina di sekitar kawasan utama. Sebilangan banglo yang berdekatan dengan tapak Tunku Ismail dilaporkan bernilai S $ 20 juta hingga S $ 30 juta.

Perbincangan mengenai potensi untuk membangunkan tanah tersebut telah berlangsung sejak tahun lalu, tetapi belum ada keputusan akhir, kata sumber tersebut kepada Bloomberg. Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura, yang mengawal perancangan tanah di Singapura, mengatakan pihaknya “tidak dapat membincangkan atau mendedahkan rancangan oleh pemilik hartanah swasta.”

Untuk rekod, projek ini bakal menjadi salah satu pembangunan swasta termahal di bandar ini selama beberapa dekad, dan mungkin menelan belanja sebanyak S $ 4.5 bilion (RM13 bilion).

Apa yang kita boleh belajar daripada polisi perumahan Singapura. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah. 

Apa Yang Kita Boleh Belajar Daripada Polisi Perumahan Singapura

Demi Rezeki Untuk Anak Dan Keluarga, Rakyat Malaysia Jadi Gelandangan Di Singapura