Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dakwaan projek Forest City di Iskandar Puteri sebagai projek mega yang gagal adalah tidak benar dan fitnah disebarkan oleh pihak tertentu.

Berkongsi mengenai pembangunan projek melalui laman Facebooknya, Putera Mahkota berkata Forest City adalah projek yang sedang dibangunkan secara berterusan dan mampan.

Tunku Ismail berkata projek itu menyumbang pendapatan RM630 juta kepada kerajaan Negeri dalam bentuk antara lain cukai dan dividen, selain mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menganugerahkan kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat pembinaan tempatan.

Menurut Tunku Ismail, Forest City turut menerima Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA) (diadakan dalam talian) pada akhir bulan lalu.

“Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya,” katanya.

Minggu lalu, The Vocket melaporkan Forest City yang terletak di Johor Bahru telah memasuki senarai Most Useless Megaprojects in the World oleh saluran YouTube Top Luxury. Saluran yang mempunyai lebih 200,000 pengikut itu telah menyenaraikan lima megaprojek yang tidak memberi keuntungan dan paling tidak berguna di dunia.

Selain Forest City, projek Interstate H-3 di USA Hawaii, projek Ciudad Real Central Airport di Spain, projek Naypyidaw di Myanmar dan Yucca Mountain Nuclear Waste Repository turut memasuki senarai megaprojek yang tidak berguna.

Forest City Johor tersenarai sebagai megaprojek paling ‘tidak berguna’ di dunia. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Forest City Johor Tersenarai Sebagai Megaprojek Paling ‘Tidak Berguna’ Di Dunia