Laluan di tapak projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) yang sebahagiannya sudah siap dilaporkan sering diceroboh masuk oleh penduduk sekitar.

Susulan daripada kejadian itu, notis amaran telah pun diletakkan di kawasan berkenaan dan orang awam serta pengguna jalan raya ditegah untuk masuk ke kawasan tapak pembinaan SUKE kecuali pekerja-pekerja yang terlibat dalam pembinaan tersebut.

Walaupun telah dilarang, namun ada segelintir orang awam yang masih berdegil kerana menceroboh ke tapak pembinaan SUKE semata-mata ingin menggunakan kawasan lengang tersebut sebagai tempat untuk mereka berjogging dan berbasikal.

Berita itu telah dikongsikan menerusi halaman Facebook Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (PROLINTAS) yang telah memuat naik beberapa gambar individu yang selamba bergambar sambil beriadah di kawasan pembinaan yang berisiko tersebut.

“Tapak pembinaan adalah kawasan larangan untuk orang awam bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak dingini.

“Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kejadian yang berlaku, malahan penceroboh boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tulis PROLINTAS.

Nampaknya, individu-individu yang sanggup menceroboh masuk ke tapak pembinaan SUKE ini sepertinya langsung tidak sayangkan nyawa mereka sendiri dan ini sekali gus mencerminkan sikap yang ‘kurang bijak’.

Malah, ada individu yang turut selamba menyertakan kapsyen dalam gambar yang bertulis “Boy kata dia ok guys”, seolah-olah individu terbabit sepertinya tidak takut dan tidak terfikir nasib ‘malang yang tidak berbau’ yang bakal menimpanya semasa melalui kawasan tersebut.

Tidak salah untuk beriadah cuma perlulah kena dengan lokasinya. Oleh itu, kami ingin menasihatkan kepada anda supaya jangan menceroboh ke kawasan ini semata-mata ingin beriadah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini. Hargailah nyawa anda yang satu itu.

Pada Mac lalu, struktur kren launcher lebuh raya SUKE terjatuh lalu menghempap beberapa buah kereta. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Struktur Kren Launcher Lebuh Raya SUKE Jatuh Hempap Kereta

Kontraktor SUKE Didenda RM180,000 Kerana Cuai Aspek Keselamatan

Pembinaan SUKE Dihentikan Serta Merta Selepas Insiden Dinding Parapet Jatuh

Sumber