Krisis telah terjadi di Kazakhstan sejak beberapa hari ini dengan beribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya dan menyuarakan kemarahan mereka. Menurut New York Times, situasi terkini merupakan cabaran besar kepada pemerintah dan menggugat kestabilan wilayah yang sudah mula goyah sejak Rusia dan Amerika Syarikat bersaing untuk mendapatkan pengaruh di sana.

Kemarahan rakyat Kazakhstan mungkin boleh dikatakan memuncak apabila kerajaan bertindak menaikkan harga bahan api. Namun akar kepada permasalahan ini sudah mula tumbuh lama lagi apabila kemarahan rakyat Kazakhstan merebak kepada jurang sosial dan ekonomi yang diburukkan lagi dengan situasi wabak dan kurangnya demokrasi yang dimomokkan oleh pihak kerajaan. Rasa tidak puas hati itu juga dibawa bersama kritikan tajam terhadap rasuah yang sudah menjadi budaya sehingga mengakibatkan kekayaan negara banyak tertumpu dalam kalangan elit politik.

Rakyat Kazakhstan juga memprotes bekas ‘Bapa Negara’, Nursultan Nazarbayev yang sudah memerintah negara itu lama. Dia yang sebelum ini meletak jawatan sebagai presiden telah dilantik sebagai kepala Majlis Keselamatan Negara. Para pendemostran mendesak agar dia berundur dan menamatkan pemerintahan selama tiga dekad.

Dalam beberapa video yang disiarkan di dalam talian oleh warga maya sejak Rabu lalu menunjukkan orang ramai mula menyerbu bangunan utama kerajaan di Almaty, bandar terbesar. Sebahagian penunjuk perasaan pula bertindak membakar kenderaan polis, serta cawangan wilayah parti Nur Otan yang bertanggungjawab memerintah negara terbabit.

Ketika api protes sedang marak merebak, penunjuk perasaan bukan sahaja menuntut agar harga bahan api yang lebih rendah. Tetapi mereka juga mahu hak mereka sebagai raykat diluaskan. Antaranya adalah mengubah sistem pemilihan secara langsung pemimpin wilayah Kazakhstan dan bukannya sistem pelantikan sedia ada. Ringkasnya, para pendemostran menuntut agar penyingkiran kuasa politik yang telah memerintah negara itu tanpa sebarang tentangan besar sejak mencapai kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991.

Ditengah-tengah protes tersebut juga, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev telah menerima peletakan jawatan kesemua ahli kabinet. Tokayev juga telah mengisytiharkan darurat di Almaty dan wilayah pengeluar minyak Mangistau. Dia turut menyalahkan pihak dalam dan luar yang bertanggungjawab melaga-lagakan pendemostran dengan kerajaan.

Selain darurat, Kazakhstan turut cuba menenangkan keadaan dengan menyekat laman rangkaian sosial dan aplikasi, termasuk Facebook, WhatsApp, dan Telegram. Namun ia sudah terlambat untuk menjinakkan rasa tidak puas hati rakyat Kazakhstan dan dijangka pilihan raya baharu akan berlaku dalam masa terdekat.

Kazakhstan adalah rumah kepada minyak, gas dan logam. Ia yang terletak di tengah-tengah Rusia dan China ialah antara negara terbesar di dunia, lebih besar daripada seluruh Eropah Barat, dengan populasi hanya 19 juta. Negara ini juga dianggap oleh Presiden Vladimir V. Putin sebagai kembar kepada Rusia dan Moscow percaya bahawa mereka masih mempunyai pengaruh di sana.

Benarkah Vladimir Putin guna singa bantu lockdown COVID-19 di Rusia? Klik pautan di bawah untuk membaca.

Benarkah Vladimir Putin Guna Singa Bantu ‘Lockdown’ COVID-19 Di Rusia?

Pengalaman ‘Rare’ Aku Dihantar Bekerja Di Platform Minyak Di ‘Offshore’ Rusia

Pandora Papers Dakwa 10 Rakyat Malaysia Simpan Kekayaan Di Luar Negara, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu