1. Kurang daripada 24 jam selepas perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Proton, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengeluarkan kenyataan terhadap model perniagaan Proton.

2. Kemungkinan ini adalah kali pertama dalam sejarah di mana seorang menteri kabinet memberikan kenyataan yang begitu kritikal berkenaan dengan sebuah syarikat swasta.

BeFunky-collage (80)
HYPE
Nikmati Ais Krim Terbaru Paddle Pop Minions Caramel And Chocolate
Baca lagi →

3. Berikutan itu, tidak kurang 6 menteri kabinet yang lain turut memberikan pandangan yang sama.

Proton bukan sekadar kereta.

Proton bukan sekadar kereta.

4. Menurut kenyataan menteri tersebut, industri automotif tidak seharusnya dilindungi dan Proton juga perlu belajar untuk berdikari. Jika Korea Selatan dan Jepun boleh, mengapa tidak Malaysia?

5. Pada 2009, kerajaan Amerika Syarikat telah menggunakan dana awam sebanyak USD150 billion untuk menyelamatkan General Motors daripada muflis. Sudah pastilah tindakan tersebut tidak akan dianggap sebagai ‘perlindungan’ dan tiada kajian yang dibuat untuk memahami mengapa tindakan sedemikian dilakukan oleh sebuah negara yang begitu terkenal dengan konsep ‘pasaran terbuka’.

6. Pada 2014, industri automotif Australia telah pun terkubur berikutan keputusan penutupan kilang kereta Toyota, Holden dan Ford pada 2017. Dianggarkan lebih 200 ribu pekerja akan hilang pekerjaan dan lebih USD29 billion akan hilang daripada KDNK Australia. Sekali lagi, tiada kajian yang dibuat.

7. Pada tahun lepas, 2015, Malaysia Airlines telah disuntik RM6 billion dana awam dalam usaha menyelamatkan syarikat penerbangan nasional. Tindakan ini adalah suatu tindakan yang berani sebagaimana pengenalan Proton pada 30 tahun yang lepas.

8. Walaupun Proton kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun yang lepas, tetapi Proton tidak pernah melakukan ‘strategi MAS’ di mana 6,000 pekerja ditamatkan perkhidmatan dalam usaha menyelamatkan syarikat tersebut.

9. Kemungkinan disebabkan itu, maka Proton dianggap oleh menteri-menteri kabinet sebagai tidak profesional dan diketuai oleh barisan pengurusan yang tidak cekap.

10. Industri penerbangan bukanlah penggerak ekonomi utama di Malaysia berbanding dengan industri automotif. Industri ini menggaji lebih 550,000 pekerja dan menyumbang hampir RM30 billion kepada KDNK negara. Atas sebab inilah kerajaan terdahulu memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai RM 13.9 billion.

11. Walaubagaimanapun, insentif dan bantuan yang diberikan tidak hilang begitu sahaja.

12. Pertama, Proton telah pun membayar balik pinjaman RM800 juta dari kerajaan.

13. Kedua, Proton telah menjual 4 juta kereta dan hasil jualan ini dikenakan cukai. Sejak penubuhannya, Proton telah membayar cukai sebanyak RM24 billion kepada kerajaan.

14. Ketiga, melalui pembelian kereta nasional, aliran wang keluar berjaya dikurangkan. Jika diambil harga purata sebuah kereta adalah RM30,000, ia bermakna sejumlah RM120 billion aliran wang yang kekal mengalir dalam pasaran ekonomi tempatan. Jumlah ini- jika dibiarkan mengalir keluar melalui pembelian kereta asing, pasti akan memberi kesan kepada defisit kerajaan.

15. Sudah jelas dari sudut wang ringgit, pelaburan yang dibuat oleh kerajaan adalah amat berbaloi.

16. Bagaimana pula halnya dengan sumbangan Proton dari aspek lain? Untuk rekod, lebih 77,000 jumlah pekerjaan yang diwjudkan melalui Proton. Tambahan dari itu, terdapat 400 vendor yang bergantung kepada Proton. Hari ini, Proton merupakan syarikat tempatan yang paling aktif dalam mendaftarkan hak cipta dengan 2,800 IPR (Intellectual Property Rights).

17. Dalam kenyataan menteri tersebut, beliau mengakui terdapat sebilangan vendor yang memerlukan pertolongan. Namun, di sebalik cuba membantu memulihkan Proton, kementeriannya telah memberikan pinjaman mudah bagi meringankan beban. Sungguhpun ia tindakan yang terpuji, tetapi ia masih tidak menangani isu sebenar.

18. Bagaimana pula dengan persaingan yang tidak adil di mana kenderaan luar boleh memperolehi pengecualian jika tidak menepati piawaian negara? Bagaimana pula dengan definisi mudah ‘kereta nasional’ yang hanya memerlukan 40% komponen tempatan bagi membolehkan kenderaan luar menikmati status bebas cukai kereta nasional? Bagaiman pula halnya dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan kenderaan luar masuk ke dalam negara sedangkan negara tersebut mengenakan syarat yang ketat kepada Proton?

19. Kesemua ini tidak diendahkan. Sebaliknya, kementerian beliau tetap mencadangkan agar Proton mempunyai rakan strategik asing. Nampaknya kemampuan tempatan masih belum mencukupi. Oleh itu Proton haruslah menjual pegangan majority kepada syarikat luar.

20. Bagaimana pula dengan Perodua? Perodua adalah model yang lain. Prestasi kewangannya membanggakan tetapi tidak ada model Perodua yang dihasilkan 100% oleh warga tempatan. Sebaliknya Proton mempunyai beberapa model yang dibina 100% daripada lakaran sehinggalah ke jalanan.

21. Setiap negara yang mempunyai kenderaan nasional pasti akan melindungi pasarannya. Ini termasuklah di negara maju. Di Korea Selatan, setiap kenderaan asing perlu menjalani ujian mengikut piawaian mereka yang biasanya menelan kos yang tinggi. Di Jepun, mereka telah mengasingkan pasaran kereta bawah 660CC hanya untuk kenderaan mereka sahaja. Ini adalah pasaran yang lumayan. Di China, setiap pengeluar kenderaan asing perlu menjalin usaha sama dengan GLC mereka. Ini adalah apa yang berlaku.

22. Sebaliknya di Malaysia, perlindungan dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan jijik.

23. Adalah amat menghairankan apabila sebuah model perniagaan yang tidak ‘mapan’ seperti 1MDB yang telah kerugian RM665.36 juta pada 2013 dan menghadapi masalah aliran tunai yang serius, barisan kabinet memberikan bantuan kredit sebanyak RM950 juta.

24. Tetapi apabila sebuah syarikat kereta nasional membuat permohonan menuntut dana R&D dan pinjaman mudah, terdapat menteri kabinet yang memperlekehkan syarikat ini.

Kemaskini, MITI telah meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada PROTON Holdings Bhd.

Anda boleh membaca lebih banyak penulisan kritikal di MatRodi.my.

Artikel di atas disumbangkan oleh Mat Rodi. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka