Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Setelah lebih dua tahun sebarang pelancaran model kenderaan baharu hanya dibuat secara virtual, akhirnya pada pagi tadi Proton telah mengadakan acara pelancaran model Proton Saga MC2 di ibu pejabatnya yang dihadiri oleh para tetamu dan pihak media.

Pihak tertinggi Proton menggayakan baju raya bersempena hari ke-11 Syawal sambil melancarkan kereta terbaharu mereka yang ditonton hampir 4,000 warganet di Facebook Proton Cars.

Proton Saga MC2 2022 merupakan facelift kepada model terdahulu, di mana MC2 bermaksud Minor Change 2; tiada peningkatan ketara yang dilakukan terhadap Saga 2022, hanya melibatkan beberapa perubahan kecil pada bahagian luaran dan dalamannya.

HYPE
Ini ‘Rahsia’ Pengasas Tudung Dari Kelantan Raih Keuntungan RM10,000 Dalam 2 Minggu
Baca lagi →
Sumber Gambar: Proton.com

Model ini masih mengekalkan penggunaan enjin yang sama 1.3 liter empat-silinder NA DOHC VVT dengan kuasa 95 PS, 120 Nm tork dan pacuan roda-hadapan.

Ia hadir dengan dua pilihan transmisi; manual lima-kelajuan (bagi varian 1.3 Standard MT) ataupun automatik empat-kelajuan yang pernah menggantikan kotak gear CVT pada model sebelum.

Antara beberapa perubahan kecil yang perlu tahu ialah penggunaan lencana berbentuk bulat Proton baharu pada bahagian gril ‘Infinite Weave’ yang pernah digunakan sebelum ini pada model Iriz dan Persona facelift.

Sumber Gambar: Facebook Proton Cars

Kemudian, bagi varian tertinggi ‘Premium S’, jalur Ethereal Bow di bahagian gril menggunakan kemasan berwarna merah supaya nampak lebih menonjol. Manakala varian Standard dan Premium masih mengekalkan kemasan berwarna perak.

Bahagian rim aloi bersaiz 15-inci yang lebih menyerlah itu hanya digunakan pada varian Premium (satu-tona) dan Premium S (dua-tona). Manakala varian Standard masih menggunakan unit keluli 14-inci sahaja.

Sumber Gambar: Facebook Proton Cars

Bagi varian tertinggi ini juga mempunyai penambahan ciri seperti cermin sisi auto lipat, roda stereng dan tempat duduk balutan kulit jenis leatherette, butang pandu mula, sistem kemasukan tanpa kunci serta sistem lampu dalam malap sendiri.

Ia turut mempunyai sistem infotainmen baharu serta masih mengekalkan skrin sesentuh bersaiz 7.0-inci dengan kamera undur yang dikuasakan dengan sistem operasi (OS) baharu dengan menampilkan grafik baharu lebih menarik.

Skrin tersebut menyokong telefon pintar, namun hanya menerusi screen mirroring daripada peranti Android dan iOS pengguna, ia masih belum lagi menyokong penggunaan Android Auto atau Apple CarPlay.

Sumber Gambar: Facebook Proton Cars

Untuk segi keselamatan pula, kesemua model facelift ini menerima ciri standard dua beg udara, ABS dengan EBD, dan bantuan brek (Break Assistant). Bagi sistem Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), kawalan cengkaman (Traction Control) serta Hill Hold Assist turut ditawarkan bermula varian Standard AT dan ke atas.

Hanya dua varian, Premium AT dan Premium S AT sahaja yang menerima fungsi kamera undur dan sensor parkir hadapan.

Sumber Gambar: Facebook Proton Cars

Model Proton Saga MC2 2022 sudah mula boleh didapatkan bermula hari ini dengan empat tawaran varian; 1.3L Standard MT (RM34,400), 1.3L Standard AT (RM38,300), 1.3L Premium AT (RM41,300) dan 1.3L Premium S AT (RM44,300).

Warna yang ditawarkan ada sehingga lima pilihan; Snow White, Amour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red. Standard MT dan AT mempunyai empat pilihan warna, Premium S AT hanya tiga pilihan warna, hanya Premium AT sahaja menerima lima pilihan warna.

Bagi sesiapa yang berminat mahu menjadi orang terawal mendapat model Proton Saga baharu ini, anda sudah boleh daftar minat menerusi laman khas ini atau lawati mana-mana pusat pameran dan jualan Proton berhampiran.

* Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, anda boleh baca lagi beberapa kejayaan Proton di pasaran luar negara melalui pautan di bawah.

Proton Saga Diiktiraf Sebagai Kereta Sedan Terlaris Di Kenya Untuk Tahun 2021

Polis Kenya Pilih SUV Proton X70 Sebagai Kenderaan Rasmi