Khairy Jamaluddin, bekas Ahli Parlimen Rembau yang kini bertanding di tanah asing melaungkan ikrar bahawa beliau bersedia untuk menggalas tugas yang lebih besar di dalam parti dan kepimpinan negara. Ikrar ini disaksikan oleh orang Sungai Buloh yang bakal menjadi penentu siapakah yang akan mewakili suara mereka di Parlimen kelak.

Hasrat dan cita-cita yang sudah ditanam lama ini disampaikan Khairy sewaktu berucap di pentas ceramah program di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh.

Baca Juga:

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia… Insya Allah.

“Dengan takdir Allah SWT, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin Umno. Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.

“Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi Umno) nak ‘keratkan’ saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya,” katanya, disambut tepukan dan sorakan daripada penduduk yang hadir.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa beliau boleh menunggu untuk hasratnya itu menjadi kenyataan kerana jika BN menang PRU15 ini, beliau akan menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan beliau sebagai  Perdana Menteri.

“Usia saya 46 tahun, boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah. Saya sedia tapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu.

“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 dan saya menang kerusi untuk BN. Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Mohd Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

Sebelum ini Parlimen Sungai Buloh telah disandang sebanyak tiga penggal oleh R.Sivarasa (PKR). Beliau tidak bertanding pada PRU15 kali ini kerana masalah kesihatan yang dialami oleh beliau.