Calon Parlimen P095 Tanjung Karang, Azlan Sani Zawawi atau nama popularnya Lando Zawawi Brotherhood merupakan antara calon paling mendapat perhatian sempena Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).

Lebih-lebih lagi apabila video beliau berbahasa Inggeris meraih perhatian ramai sebelum ini. Lando pernah melanjutkan pengajian di University Of Tasmania, Australia satu ketika dahulu yang membolehkan beliau bertutur dengan fasih dalam bahasa tersebut.

Baca Juga:

Kerusi Parlimen Tanjong Karang yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Selangor menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Baru-baru ini, dalam satu temu bual Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof telah melontarkan pandangan beliau terhadap Lando, yang dilihatnya sebagai pencabar yang kuat bagi PRU15.

“Lando ni, saya akui beliau mempunyai nama yang agak besar di media sosial. Cuma saya rasa Lando datang salah tempat,” kata Habibah dalam temu buat tersebut.

Semalam, Lando telah memuat naik satu video ringkas menjawab segala tohmahan yang ditujukan kepadanya. “Maaf, saya tak pernah komen orang politik sebab saya sibuk bekerja. Tetapi sebab nama saya kena petik, saya terpaksa menjawab komen Mama Bib (Habibah). Semoga terjawab persoalan,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam video tersebut, Lando berkata walaupun belum bergelar Yang Berhormat (YB), Lando telah turun padang dan menyelesaikan pelbagai masalah di Tanjong Karang antaranya turap jalan berlubang yang menjadi kepakarannya, cuba menyelesaikan masalah tenaga elektrik low voltage di sesetengah kawasan kampung, berbincang dengan JKR berkenaan masalah aliran trafik di sana dan cuba mencari solusi tentang masalah banjir yang kerap berlaku.

“Kurangkan berpolitik, lebihkan bekerja,” tegas Lando sebelum mengakhiri video tersebut.