Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Barisan Nasional (BN) yang sudah bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi berkata, tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.

Situasi ini menepati ramalan penganalisis politik bahawa tiada parti memperoleh majoriti mudah selain menjangkakan kerajaan yang akan dibentuk adalah kerajaan campuran.

Bagi pilihan raya umum kali ini, penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa 5 Oktober lepas, menjadi penghalang kepada mana-mana Ahli Parlimen yang menang untuk bertukar parti bagi memperoleh majoriti.

Menerusi pindaan Perlembagaan berkenaan, seorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Bagaimanapun, ia tidak melarang mana-mana gabungan daripada bekerjasama dengan gabungan atau parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Sumber