Mohd Rafizi Ramli, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengisytiharkan aset yang berjumlah RM19.67 juta menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengisytiharan aset penuh yang dipegang oleh beliau itu dibuat semalam di laman portal rafiziramli.com dan dihebahkan kepada pengundi di akaun media sosial beliau.

Pengumuman ini dibuat selari dengan kenyataan Rafizi Ramli pada Jumaat lalu yang mendakwa bahawa calon PKR untuk PRU15 dikehendaki mengisytiharkan harta mereka bagi membolehkan pengundi memahaminya dengan lebih baik. Rafizi yang akan bertanding di Parlimen Pandan adalah individu pertama yang mengisytiharkan harta.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut dokumen pengisytiharan aset bertarikh Selasa, 2 November 2022, yang dilengkapi dengan cop Pesuruhjaya Sumpah, Mohd Rafizi mengisytiharkan antara lain RM16.74 juta dalam pelaburan, RM1.65 juta dalam hartanah dan RM1.09 juta dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan (KWSP), pada 31 Okt. Ini menunjukkan aset bersih sebanyak RM18.85 juta apabila dibandingkan dengan hutangnya yang diisytiharkan bernilai RM820,274.

Daripada RM16.74 juta pelaburan, RM16.7 juta datang daripada syarikatnya Invoke Solutions Sdn Bhd di mana beliau memiliki 2.09 juta saham yang kini bernilai RM12.41 juta.

“Pegangan saham [Mohd Rafizi] dalam Invoke sebanyak 2.09 juta saham [dalam Invoke] bersamaan dengan 73% daripada jumlah saham terbitannya. Oleh itu, pelaburan yang diisytiharkan dalam afidavit ini adalah berdasarkan 73% pegangan dalam syarikat, daripada nilai syarikat sebanyak RM17 juta [berdasarkan aset bersih pada 31 Okt, 2022],” kata dokumen itu.

Bagi baki selebihnya, Rafizi membawa saham keutamaan boleh tebus bernilai RM2.2 juta dalam Invoke, serta RM2.09 juta sebagai pendahuluan. Rafizi turut mengisytiharkan 100 saham dalam Boustead Holdings Bhd, bernilai RM58.

Rafizi yang sebelum ini berehat panjang dalam arena politik turut mengisytiharkan RM1.65 juta harta yang terdiri daripada rumah berkembar dua tingkat RM1.2 juta, dan kondominium tiga bilik bernilai RM450,000  dengan kedua-duanya di Bukit Antarabangsa.

Sementara itu, Rafizi turut merekodkan RM820,274 hutang yang terdiri daripada RM728,020 dan RM85,000 dalam pinjaman rumah masing-masing untuk rumah berkembar dan kondominium yang disebutkan di atas, serta RM7,254 dalam bentuk kredit.

Dalam dokumen itu, Mohd Rafizi berkata beliau mempunyai pendapatan bulanan RM23,500 dan perbelanjaan bulanan RM22,500.