Ustaz Kazim Elias, seorang penceramah bebas, yang sebelum ini diumumkan antara wakil calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini bagi Parlimen Larut telah mengejutkan orang ramai apabila membuat keputusan untuk menarik diri. Keputusan ini dibuat tidak sampai 24 jam selepas beliau diumumkan sebagai antara calon yang bakal menghadapi PRU15 di bawah bendera Barisan Nasional.

Keputusan meletakkan Ustaz Kazim sebagai calon itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Putra di sini malam tadi. Kerusi tersebut sebelum ini kerusi disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin. Hamzah menang di Parlimen Larut pada PRU14 atas tiket BN, namun kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut laporan Berita Harian, Ustaz Kazim tidak menyebut alasan mengapa beliau memilih untuk menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU15 akan datang. Namun berita ini telah disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Tempat Ustaz Kazim kini bakal digantikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

Melihat kepada situasi semasa, selepas nama Ustaz Kazim diumumkan menjadi calon BN semalam, pelbagai kecaman dan pandangan yang dilontarkan oleh netizen di sosial media. Sebahagian daripada mereka menerima dengan tangan terbuka apabila Ustaz Kazim dinamakan sebagai calon BN. Bagaimanapun, sebahagiannya lagi mengecam dan mempersenda Ustaz Kazim, sehingga ada yang menggunakan kesakitan yang dialami oleh beliau sebelum ini sebagai modal politik untuk mengecam Ustaz Kazim.

Dalam satu hantaran terbaharu Ustaz Kazim di Facebook, beliau mendoakan agar segala kutukan yang diterima olehnya sejak diumumkan sebagai calon BN di Parlimen Larut bertukar menjadi pahala. “Alhamdulillah. Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,” katanya.

Untuk rekod, nama Ustaz Kazim dipilih menjadi calon BN bagi PRU15 kali ini adalah berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut. Namun dengan keputusan mengejut ini, persoalan yang ditanya; adakah BN mampu untuk merebut kerusi Larut? Calon yang diletakkan oleh BN mungkin muda dan masih baharu, tetapi di dalam politik, apa sahaja boleh berlaku.