Dalam sebuah tinjauan terbaharu yang dilakukan Universiti Utara Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mendapati bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin adalah pemimpin paling dipercayai di negara ini, diikuti rapat oleh presiden PKR Anwar Ibrahim.

Memetik laporan msn.com, tinjauan yang dijalankan dalam kalangan 2,716 responden dari 6 Sept hingga 5 Nov mendapati Muhyiddin dipilih sebanyak 20%, berbanding Anwar iaitu 19.2%. Manakala Naib presiden Umno dan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dipilih berada dikedudukan tercorot dengan hanya 9.5% – kurang daripada Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad (10.2%) dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (10.3%).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Hampir 37% responden memilih parti politik sebagai faktor penting untuk mereka turun mengundi, manakala 34.3% pula memilih manifesto pilihan raya dan hanya 28.8% memilih calon.

Bagaimanapun, apabila ditanya parti mana yang paling sesuai untuk memerintah Malaysia ketika ini, majoriti peserta memilih Umno (32.7%) diikuti PKR (26.1%) dan Bersatu (15%). PAS dipilih sebanyak 17.9% manakala DAP dipilih sebanyak 6.9%, di belakang Amanah dengan 8.7%.

Selain itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menduduki tempat pertama (24.9%) dalam senarai pemimpin muda yang bakal memimpin masa hadapan negara, diikuti oleh timbalan presiden PKR Rafizi Ramli (15.7%) dan presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (15.2%).

Ismail Sabri yang menyandang Parlimen Bera mewakili BN sejak 2004 dicabar Ketua Bahagian Bersatu Bera, Datuk Asmawi Harun yang mewakili PN dan calon PH iaitu Naib Ketua PKR Cabang Bera, Abas Awang.

Muhyiddin Yassin pula berdepan saingan tiga penjuru dalam usaha mempertahan kerusi Parlimen Pagoh. Ia bakal dicabar oleh figura tidak asing daripada BN, Datuk Seri Razali Ibrahim serta seorang calon PH, Iskandar Shah Abd. Rahman.

Anwar Ibrahim pula bakal mencabar kerusi panas milik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu di Parlimen Tambun. Mereka turut dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir.

Penamaan calon yang dibuat pada minggu lalu meliputi pelbagai gabungan antaranya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air Negara (GTA). Kini kesemua calon dalam fasa untuk memenangi hati 21 juta rakyat Malaysia yang bakal turun untuk mengundi bagi menentukan pentadbiran negara di masa hadapan.