Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkemungkinan sekali lagi disenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa.

“Banyak kerusi ditawarkan kepada saya tetapi saya masih mahukan Parlimen Titiwangsa,” katanya. Beliau berkata demikian kepada New Straits Times (NST) selepas menyampaikan ceramah mengenai persaingan di Lembah Klang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Johari berkata, Titiwangsa istimewa di hatinya kerana beliau dilahirkan dan bersekolah di kawasan itu, sekali gus ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat, termasuk isu pembangunan semula Kampung Baru.

Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13, sebelum dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada 2015 dan seterusnya sebagai Menteri Kewangan Kedua selepas rombakan Kabinet pada 2016.

Walaupun tewas kepada Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Rina Mohd Harun, pada PRU14, Johari tidak menganggapnya sebagai kekalahan mutlak kerana pencabarnya itu cuma meraih majoriti 4,139 undi.

Besar kemungkinan, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, bakal berdepan saingan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad.

Yakin mampu tubuh Kabinet berwibawa

Sementara itu, Johari yakin BN berupaya merampas kembali enam kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang dikuasai pembangkang iaitu Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

“Dengan calon yang tepat, kita mempunyai lebih 50 peratus peluang untuk menang di kawasan ini,” kata Johari.

Johari berkata, negara memerlukan parti yang meraih kemenangan dengan majoriti kukuh pada PRU15 bagi membolehkan kerajaan menangani pelbagai cabaran dihadapi.

“Kita perlukan keseimbangan antara muka lama dan baharu, kita perlukan pemimpin berwibawa dengan pasukan yang baik untuk menghadapi PRU15,” katanya.

Johari meramalkan PRU15 berbeza berbanding dua PRU terdahulu, yang mana perubahan besar terutama sentimen pengundi bandar disebabkan isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) banyak memberi kesan kepada keputusannya.

Jelasnya, cabaran parti bertanding pada PRU15 adalah untuk menyantuni golongan muda terutama dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun yang secara automatik didaftar sebagai pemilih.

“Sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan mesti mempunyai Kabinet berwibawa. Tanpa kekuatan itu, kita lihat bagaimana keadaan ekonomi negara sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan perlu memperkenalkan dasar tidak popular jika perlu. Ia mungkin tidak digemari semua tetapi generasi akan datang bakal mendapat manfaatnya,” katanya.

Mahu lihat ekonomi Malaysia kembali pulih

Beliau membidas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan PH sebelum ini walaupun ia diiktiraf di peringkat global sebagai sistem percukaian yang baik.

Katanya, sukar untuk meyakinkan orang ramai menerima semula GST kerana mungkin ada yang beranggapan cukai itu kembali dimansuhkan menjelang PRU16.

Menyentuh aspek ekonomi, Johari berkata, pendapatan kerajaan berada pada tahap sama, namun hutang terus meningkat.

Beliau turut menyarankan kajian semula pelan ekonomi dilaksanakan untuk mengelak Malaysia menjadi negara yang dibebani hutang seperti dialami Sri Lanka.

Sumber