Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya membuka mulut sejak kekalahan partu beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 minggu lalu.

Dalam muat naik terbaharu beliau di laman media sosial, Mahathir menyatakan rasa sedih dengan kekalahan yang dihadapi oleh partinya yang tewas 125 kawasan yang ditandingi.

Baca Juga:

“Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang. Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan Malaysia akan dapat pulih segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara. Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama bekas perdana menteri itu membuat kenyataan umum selepas kekalahannya pada PRU15, di mana beliau tewas dalam usahanya untuk mengekalkan kerusi parlimen Langkawi.

Kekalahan ini berkemungkinan menamatkan karier beliau sebagai salah seorang ahli politik paling berpengaruh di Asia.

Mahathir menduduki tempat keempat dalam pertarungan lima penjuru di Langkawi yang dimenanginya dengan majoriti besar pada 2018.

“Ia satu kejutan besar bahawa bukan sahaja dia [Mahathir] tewas, tetapi dia telah tewas dengan cara yang menakjubkan,” kata Florence Looi dari Al Jazeera.

“Beliau bukan sahaja kehilangan kerusi tetapi kehilangan wang deposit kerana tidak mendapat lebih daripada satu perlapan undi. Partinya juga tidak berjaya memenangi satu kerusi pun.”