Sejak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 diumumkan semalam, penyokong Barisan Nasional tidak berhenti mendesak agar Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi mengundurkan diri. Tanda pagar #ZahidLetakJawatan berkumandang di pelbagai saluran media sosial.

Terbaharu, laman Instagram Ahmad Zahid kini dihujani dengan komen-komen yang meminta beliau untuk mengundurkan diri. Nasib buruk yang menimpa BN pada PRU15, di mana pakatan politik itu hanya memenangi kurang daripada 30 kerusi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh penyokong BN.

Baca Juga:

“Mohon bertanggungjawab dan letak jawatan sebagai presiden UMNO & BN,” kata salah seorang pengguna media sosial. “Zahid, sila undur diri, anda sudah tak relevan sebagai presiden lagi, akar umbi dah bagi isyarat lama sblm PRU 15 lagi, tapi anda masih degil,” kata yang lain pula.

Pada keputusan rasmi PRU15 menyaksikan BN hanya memperoleh 30 kerusi berbanding pesaingnya PN dengan 73 kerusi dan PH 82 kerusi.

Selain penyokong BN, turut mencadangkan agar Zahid meletak jawatan adalah bekas Setiausaha Agung BN yang merupakan antara penyandang ahli parlimen yang digugurkan sebagai calon pada PRU15 iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut meminta agar Zahid meletak jawatan dengan segera dan bertanggungjawab atas kekalahan BN dan UMNO yang mencatat prestasi terburuk pada PRU15semalam.

Untuk rekod, drama PRU15 dari kem BN sebenarnya berlangsung sudah lama. Ia bermula dari arahan Ahmad Zahid yang mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen sehinggalah tindakan beliau yang menggugurkan beberapa nama besar BN.

Tindakan beliau ini telah menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti dan penyokong tegar BN.