Sering menjadi lokasi untuk orang ramai staycation berikutan mempunyai pelbagai tempat pelancongan serta menjadi tempat ‘syurga makanan’, Pulau Pinang baru-baru ini telah tampil dengan sebuah undang-undang terbaru.

Menerusi undang-undang yang dikuat kuasa serta-merta, Pulau Pinang secara rasminya telah mengharamkan segala penginapan jangka masa pendek termasuk menerusi platform Airbnb mahupun Booking.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Rajendran Anthony, pengharaman yang dibuat merangkumi semua harta kediaman persendirian.

Sumber: Varnam

Sebanyak enam jenis hartanah yang diharamkan merangkumi serviced apartments, SoHo, SoFo, SoVo, ruang pejabat dan juga pejabat jenis duplex.

Difahamkan pengharaman kediaman daripada dijadikan penginapan jangka masa pendek ini dibuat selepas menerima aduan daripada pemilik kediaman lain melibatkan isu gangguan keselamatan dan juga bunyi yang bising.

Dalam pada itu, kepada individu yang berminat untuk meneruskan menawarkan penginapan jangka pendek perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak JMB.

Dalam erti kata lain, perlu mendapat persetujuan sehingga 75% dan ke atas daripada penduduk kediaman berkenaan pada mesyuarat agung yang diadakan.

Selain itu, pihak pengurusan kediaman berpeluang mengumpul yuran sebanyak RM250 sehingga RM500 setahun bagi setiap rumah atau unit yang menjalankan penginapan jangka masa pendek.

Pendaftaran yang dikenakan pula adalah sehingga RM250 serta perlu mendaftarkan unit berkenaan bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Deposit sekuriti yang dikenakan bagi setiap unit pula adalah sekitar RM1,000 sehingga RM3,000.

Bukan itu sahaja, setiap unit penginapan jangka masa pendek hanyalah dibenarkan menjalankan sewaan dengan jumlah maksimum sebanyak 180 hari sahaja dan juga terhad kepada 3 hari semigngu.

Dilaporkan undang-undang kerajaan Pulau Pinang terhadap penginapan jangka masa pendek ini mulai diisukan pada 1 April lalu dan mulai berkuat kuasa bermula 25 Mei ini.

Sumber: NST

Pengharaman penginapan jangka masa pendek ini walau bagaimanapun hanyalah dikenakan kepada kediaman dalam pulau sahaja setakat ini.

Sementara itu, platform Airbnb turut mengkritik langkah yang dilakukan pihak MBPP di mana Airbnb mendakwa pengharaman yang dibuat mungkin memberi kesan kepada ekonomi Pulau Pinang.