Bila disebut makanan sunnah, apa yang terlintas dalam fikiran kita?Rata-rata dalam kalangan kita akan terbayang kurma, madu lebah, delima, minyak zaitun, habbatussauda dan beberapa jenis makanan lagi.

Pernahkah kita tahu Rasulullah s.a.w juga pernah mengambil labu, barli, mentimun, tembikai, anggur, susu, air masak dan banyak lagi jenis makanan sepanjang hayat baginda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tidak dinafikan makanan-makanan yang diamalkan / digalakkan Rasulullah s.a.w mempunyai khasiat & nutrisi tersendiri. Tidak habis untuk kita bincangkan dalam 1 artikel ini.

Pernahkah kita terfikir?

Ada di kalangan kita makan kambing atas dasar makanan Sunnah. Tapi, melahap kambing golek sampai sesak nafas. Di mana pula sunnahnya?

Kita bertungkus lumus mencari susu kambing untuk diberikan kepada bayi. Sedangkan rasulullah s.a.w sewaktu kecil diberikan susu ibu (Halimatul Sa’adiah). Sunnah mana pula yang kita ikuti?

Betul nabi makan kurma dalam bentuk asal buah tersebut. Tapi adakah kita yakin dengan mencampur aduk 10 jenis makanan dan menjadikannya sebagai jus merupakan makanan Sunnah?

kurma

Terdapat satu kajian menarik dari Universiti Malaya (2015) berkaitan salah faham makanan sunnah.

Dalam kajian ini kita boleh lihat pelbagai pandangan berkaitan makanan sunnah dari masyarakat awam hinggalah kepada golongan cendekiawan. Walaupun terma ‘makanan sunnah’ itu sendiri tidak disebut secara lafaz yang jelas dalam Al-Quran & Hadith lain.

Antara pandangan dari kajian ini:

1. Masyarakat Malaysia secara umunya mendefinisikan ‘makanan sunnah’
sebagai semua makanan yang berasal dari al-Qur’an dan al-Hadith.

2. Kalangan cendekiawan menyebutkan segala makanan yang membawa kebaikan dan maslahah kepada manusia sama ada yang disebutkan dalam al-Qur’an, al-Hadith atau yang tidak disebutkan dalam keduanya, disebut sebagai ‘makanan sunnah’.

Antara topik yang hangat dibincangkan adalah berkaitan hadis larangan mencampurkan kurma & kismis dalam bentuk minuman.

Menurut Ibn Munir, percampuran kurma & kismis akan mempercepatkan penghasilan alkohol dan menyebabkan pembaziran nutrisi.

Ibn Hajar dan Ibn Battal memberikan pandangan, larangan ini bukan disebabkan sifatnya yang memabukkan, akan tetapi larangan ini dinyatakan secara umum terhadap perbuatan mencampurkan antara dua buah tersebut.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu wadah (bekas) yang dipenuhi oleh anak Adam lebih buruk daripada perutnya.

Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulangnya. Jika ia harus mengisi perutnya lebih daripada itu, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk pernafasannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

susu-kambing

Jadi, makanan Sunnah bukan hanya berlegar-legar jenis makanan tertentu yang diambil & digalakkan Rasulullah (pbuh). Kita juga perlu mengambil kira cara pengambilan, kuantiti, masa dan tatasusila sewaktu makan.

Susu kambing tak bersalah. Tidak salah juga untuk berinovasi dalam penghasilan produk. Ia suatu usaha yang cukup baik jika mampu disertakan dengan ujian makmal & kajian klinikal untuk memastikan khasiatnya berada pada tahap optimum.

Pada masa sama, kita perlu lebih berhati-hati apabila menyandarkan sesuatu atas nama Rasulullah (s.a.w). Lebih parah bila penggunaan istilah makanan sunnah ini lebih tertumpu untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat & jualan produk.

Makanan terbaik tidak akan lari dari konsep ‘Halal’ & ‘Toyyiban’ sebagaimana digariskan dalam Al-Quran. Nikmati pelbagai makanan halal yang Allah kurniakan di atas muka bumi.

‘Toyyiban’ atau makanan yang baik bagi individu A mungkin berbeza bagi individu B. Maka disini lahirnya cabang ilmu sains nutrisi untuk mencari formulasi nutrisi terbaik untuk kepelbagaian kondisi tubuh badan manusia.

Kami menyokong tindakan Jakim untuk tidak membenarkan penggunaan ungkapan ‘makanan sunnah’ dalam pensijilan Halal Malaysia. Mudaratnya dilihat lebih banyak berbanding manfaat kepada masyarakat.

Semoga bermanfaat. Korang boleh rujuk link di bawah untuk bacaan lanjut tentang salah faham makanan sunnah: https://www.researchgate.net/