Sejak minggu lepas ramai bertanya, apakah nasib syarikat tempat saya bekerja? Apakah nasib saya dan rakan-rakan selepas ini?

Jujur saya katakan, saya tiada jawapan untuk persoalan tersebut. Malah saya juga buntu memikirkan banyak perkara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa yang perlu saya lakukan bulan-bulan mendatang? Bagaimana dengan masa depan saya? Adakah ini penamat karier industri minyak dan gas bagi saya?

Siapa sangka sebuah syarikat yang sangat besar di Kota Singa dengan keupayaan 13 kapal binaan, 38 kapal sokongan dan 2700 pekerja boleh tersungkur ke tahap ini. Apa yang terjadi di luar kotak pemikiran norma manusia.

ong-02

Terdapat desas-desus beberapa orang kuat syarikat berusaha untuk menghabiskan sisa-sisa projek semasa dan mengubah nasib syarikat dengan mengekalkan jumlah pekerja yang minimum. Nama saya disebut-sebut mungkin tersenarai.

TETAPI, jika terus bekerja adakah syarikat mampu membayar gaji pekerja? Adakah hak-hak pekerja akan terus dijaga? Saya dan rakan-rakan tidak bekerja untuk amal kebajikan .Bingung saya bingung.

Hari ini genap setahun saya bersama syarikat, jujur berita ini membuatkan saya bimbang memikirkan masa depan.

Mengenangkan isteri dan anak di rumah membuatkan saya buntu hilang arah. Segala perancangan sebelum ini malap tanpa arah.

Air mata mencurah pun tiada guna. Duit bukan segalanya, tetapi perlu ingat setiap perkara perlukan duit.

Orang kata rezeki ada dimana-mana. Iya, tetapi dugaan ini begitu berat.

Saya berada di puncak kerjaya, begitu selesa, segala perancangan 5 tahun 10 tahun telah disusun rapi. Dugaan dan cabaran ini perlu saya perlu tempuh. Tiada apa yang boleh saya sesali.

Saya pasti syarikat mampu kembali, tetapi saya tidak mahu berharap dan terus berharap. Perancangan mestilah disusun semula.

Mungkin jodoh saya dengan industri minyak dan gas hanya di sini.

Tidak perlu mabuk laut lagi, tidak perlu berpisah 2-3 bulan dari keluarga, tidak perlu memikirkan nasib isteri dan anak yang saya tinggalkan ketika di laut.

Mungkin inilah masanya, untuk saya serlahkan potensi diri. Tidak perlu ampu dan bodek, jika saya mahu makan besar, 24 jam setiap hari ada untuk saya perah segala kudrat.

Dari dugaan ni, peringatan untuk saya dan rakan-rakan. Tidak kira untuk yang bekerja di industri minyak dan gas, mungkin satu hari industri lain juga akan terjejas teruk.

Rancang simpanan dari sekarang, ya sekarang jangan tunggu esok. Untuk yang dah berkahwin ada anak, jika kita tak makan sehari tiada masalah, tetapi sanggup ke tengok anak isteri berlapar?

Wajib ada perancangan sampingan, perlu sentiasa beringat kawan.

Kadang kala kita lupa, langit tidak selalu cerah.

Yang indah belum pasti kekal bersama selamanya. Kita tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita ada.

Jangan tunggu dah kena, baru nak terkial. Selagi kaki mampu melangkah, tangan mampu mendaki, hidup mesti diteruskan.

Bertabahlah kawan.