Telah tiga malam setelah pemergian anak ketujuh saya ke pangkuan Rabb-nya, melihat isteri saya tidur nyenyak bahkan berdengkur kecil hingga perlu dikejutkan waktu hampir Subuh.

Ia sesuatu di luar dugaan saudara mara lain yang bimbang dia tidak dapat tidur berikutan kehilangan anak buah hati pengarang jantungnya.

Mereka hanya melihat kami kehilangan anak tetapi mereka tidak melihat hakikat di sebalik tabir mata mereka.

Saya coretkan di sini buat iktibar.

Benarlah, anak yang kembali itu ‘apple of my wife’s eye’ bahkan ‘my eye’ kerana ketika bersekolah hanya dia anak yang tinggal di rumah sepenuhnya, berbeza dengan semua anak lain yang tinggal di asrama.

Tetapi isteri saya mungkin telah puas memberi khidmat (serve) kepada anak itu sebelum ia diambil kembali oleh penciptaNya.

Apa tidaknya bila dia yang melahirkan, membesarkan, tiba-tiba Allah uji dengan kanser tulang, berkampung di hospital hampir 2 tahun sehingga dipotong betisnya. Tak cukup dengan itu, dia melalui kemoterapi berkali-kali hingga luruh semua rambut dan kening yang cukup menyeksakan.

Bertongkat, berkaki titanium dan menjalani proses berjalan semula dengan fisioterapi, tetapi tiba-tiba anggota tubuh lain pula dijangkiti kanser.

Buah pinggangnya rosak, perlu dialisis, perutnya membusung, perlu ditebuk, tapping membuang air berkilo sebanyak 5 kali, darahnya hilang hingga berkali-kali diganti, raungan dan esakan tangis anak menahan sakitnya hanya tertahan oleh isteri saya sedangkan saya melarikan diri untuk tidak mendengarnya, kerana ia menghimpun seluruh rasa sedih.

Dari makan menyuap sendiri, kepada disuap, dari makan apa sahaja, kepada makan yang lembut hingga akhirnya hanya titisan air.

Dari bersuci sendiri kepada ibu yang tolong bersuci, dari membuang najis di tandas, kepada membuang najis di bilik tidur, lampin pakai buang.

Dari solat berdiri, kepada berdiri sebelah kaki, kepada duduk di kerusi, kepada duduk di katil, hingga akhirnya solat cara tidur dengan hanya niat pada pergerakan.

Semua itu dilalui dengan penuh sabar oleh anak itu dan ibunya, akhirnya Allah menamatkan ujianNya dengan menjemput kembali Taqiyuddin ketika azan Asar di masjid dalam pelukan ibu dan abahnya.

Tetapi muncul syaitan merasuk seorang penolong kanan sebuah sekolah menghantar mesej kepada saya bagaikan berkata ‘padan muka’ dengan kematian itu kerana dendamnya terhadap permohonan bertukar yang saya tolak dahulu semasa menjadi pegawai pelajaran daerah. Ya Allah, menitis air mata saya dan isteri membacanya.

Saya mengajak anda merenung apa yang Allah takdirkan kepada kami ini untuk menjadi iktibar.

Lihatlah Allah sengaja memilih anak yang paling banyak bersama ibunya dipotong-potong anggotanya, dirosakkan, ditarik balik anugerahnya, tidak lain untuk menguji kesabaran, meninggalkan seluruh kemewahan kerana menunggu anak dan bergelut dengannya di hospital.

Kemewahan hidup yang lain juga turut dikorbankan, puluhan ribu RM dibelanjakan atas tuntutan, saya menjual buku yang ditulis sendiri untuk melunas hutang pengajiannya yang tidak dapat diteruskan dan untuk membeli kaki palsu, menguji hal ibadah anak yang sakit dari peringkat ke peringkat.

Semua itu dilalui dengan sabar dan penuh kepayahan, dan bila ia ditamatkan, maka kami merasakan telah puas memberi khidmat kepada anak yang dipinjamkan itu dan redha melepaskannya.

Itulah yang menyebabkan isteri saya tidur begitu nyenyak sejak malam pertama anaknya meninggalkannya, bagaikan mengqadho’ tidur yang tidak lelap lebih 2 tahun. Bukan tidak ingat pada anak yang terpaksa dilepaskan tetapi dia telah dijemput ke sisi yang lebih baik dari sisi kami. Ya Allah, ampunilah dia.

Saya mengingatkan anda, ini ujian bagi kami. Anda semua ada ujian tersendiri yang Allah telah atau sedang atau akan turunkan kerana itu janji Allah bahawa setiap orang akan diuji.

Jika polis pencegah rusuhan memerlukan penghadang tubuh, kita yang diuji Allah perlukan penghadang berupa kesabaran, ketenangan, tidak resah gelisah, gundah gulana, tidak meraung, meratap menyesali hidup.

Sebaliknya banyakkan bersyukur, beristighfar, berzikir, banyak menyebut nama Allah.

Jika ditimpa sakit,ingatlah kisah Nabi Ayub. Anak saya yang bertanya mengapa dia disakitkan oleh Allah, bila dikisahkan kisah Nabi Ayub kepadanya langsung akur dan redho kerana hujah saya sakit itu juga pilihan Allah.

Begitu juga jika anda mengalami kepayahan hidup yang lain, lihatlah kepada rasul-rasul yang dipilih oleh Allah untuk diuji sedemikian.

Tuhan sengaja, menguji kita. Bila anda diuji Allah, ubahlah jadual hidup supaya sesuai dengan apa kita alami. Jangan pula bertindak sesuatu yang terkeluar dari garis agama.

Jika sakit jangan berubat dengan cara syirik, khurafat.

Jika miskin jangan buat dosa besar dengan riba’, meminjam dari along, jangan cari jalan pintas untuk senang.

Jika diuji dengan kekayaan, janganlah kedekut, sombong, tamak haloba. Apa juga yang berlaku, janganlah terlepas daripada berpegang kepada tali Allah.

Kerana di penghujung setiap terowong, ada sinarnya.

Setiap sungai dan paya tetap ada tebingnya.

Setiap pasang air laut tetap ada surutnya.

Sekuat mana ribut melanda tetap ada redanya.

Jam sudah 3.20 pagi ketika ini. Helaan nafas nyenyaknya tidur isteri saya masih terdengar.

Sesungguhnya dia isteri yang tabah dan sabar, yang saya lihat dengan mata kepala sendiri.

Melahirkan 9 anak, menyusu dan membesarkan dan diuji dengan kematian, dia tetap berdiri teguh memasak dan melayani anak yang lain bagai tiada apa pun yang berlaku.

Maafkan saya mencoret kisah sendiri, saya berlindung dengan Allah daripada merasa riak, tetapi saya bercerita untuk menyatakan rasa syukur dan menyatakan kebesaran.

Allah. Wallahuaa’lam.

Tulisan ini ditujukan khas buat anak abah sebagai hadiah hari jadi abah, kepada anda semua yang sudi menjadi teman dan rakan, jomlah kita bersama ke syurga Allah dengan berbuat kebaikan.