Menurut RT.com, Quaker Oats menghadapi tindakan saman terbaru selepas ujian makmal swasta mendapati terdapat kesan racun herba glyphosate pada produk syarikat itu. Menurut plaintif, syarikat itu menggunakan taktik pemasaran palsu dengan mengatakan produknya adalah ‘100% semula jadi’.

Tuntutan saman telah difailkan di Mahkamah Persekutuan Daerah New York dan California dan mendakwa bahawa kenyataan yang dibuat oleh Quaker Oats mengenai produk-produk mereka adalah mengelirukan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Defendan secara agresif mengiklan dan mempromosikan produk oatmeal mereka sebagai ‘100% Asli’, dan mendakwa oat mereka ditanam menggunakan kaedah mesra alam yang ‘mengurangkan risiko kehadiran agen pencemar dan pencemaran air bawah tanah,'” kata tuntutan mahkamah itu. ” Dakwaan mereka adalah salah, palsu dan mengelirukan.”

https://twitter.com/ngeiling/status/727112738292510720?ref_src=twsrc%5Etfw

Di dalam saman itu tertulis, Quaker Oats menggunakan racun herba glyphosate, iaitu bahan utama dalam racun rumpai Roundup Monsanto yang diklasifikasikan sebagai ‘berpotensi’ menjadi bahan karsinogen buat manusia oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun lalu. Saman itu berkata, racun rumpai itu digunakan untuk mengeringkan oat sebelum tuaian.

“Mengikut undang-undang, tiada apa yang salah tentang kaedah penanaman dan pemprosesan Quaker Oats,” saman itu berbunyi. “Apa yang salah adalah dakwaan palsu Quaker mengenai Quaker Oats (dengan mengatakan ia adalah produk semula jadi) demi mengambil kesempatan atas peningkatan permintaan pengguna terhadap produk sihat dan semulajadi.”

Quaker Oats memberi respon dengan mengatakan bahawa glyphosate, iaitu bahan biosid yang biasa digunakan oleh petani-petani di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, tidak digunakan ke atas oat semasa proses pengilangan, dan oat mereka menjalani proses pembersihan yang rapi.

“Apa-apa kandungan glyphosate yang masih ada adalah sangat sedikit dan berada jauh di bawah paras yang ditetapkan [oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA)] sebagai selamat untuk kegunaan manusia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan oleh New York Times.

Produk Roundup oleh Monsanto.
Produk Roundup oleh Monsanto.

EPA telah menetapkan tahap glyphosate selamat bagi purata pengambilan harian individu adalah 1.75 miligram per kilogram, manakala tahap Kesatuan Eropah adalah 0.3 miligram per kilogram, NY Times melaporkan.

Peguam yang mewakili plaintif, daripada Kumpulan Richman Law, mengupah sebuah makmal bebas di California untuk menjalankan ujian ini, yang melibatkan ‘liquid chromatography-mass spectrometry’. Ujian dijalankan terhadap produk 1 Minit Quaker Oat.

Tuntutan saman itu, walau bagaimanapun, memasukkan produk-produk lain, termasuk Quaker Oats Old-Fashioned dan Quaker Steel Cut Oats.

Ujian itu mendapati glyphosate dalam produk Quaker Oats berada pada paras 1.18 bahagian per juta, iaitu kira-kira 4 peratus daripada 30 bahagian bijirin per juta yang dibenarkan oleh EPA.

“Isunya adalah bagaimana Quaker boleh mengiklankan produk-produk mereka sebagai 100 peratus semula jadi, sedangkan glyphosate dalam apa-apa amaun sekalipun adalah tidak semula jadi,” kata Kim Richman, salah seorang peguam plaintif, menurut NY Times.

Penggunaan glyphosate dalam racun herba telah meningkat sebanyak lebih daripada 250 kali di Amerika Syarikat sejak 40 tahun lalu, menurut New England Journal of Medicine. Pendedahan jangka panjang kepada glyphosate telah dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang dan hati, serta penyakit selular dan genetik. Monsanto dan pembela-pembela penggunaan glyphosate memanggil pengelasan karsinogen WHO terhadap bahan itu adalah terlalu “dramatik” dan memberi jaminan bahawa bahan kimia itu, sememangnya, selamat.

Bulan lalu, Parlimen Eropah meluluskan semula kebenaran penggunaan tujuh tahun glyphosate, walaupun mereka mengesyorkan bahawa bahan kimia itu hendaklah digunakan hanya oleh profesional dan tidak digunakan di tempat-tempat awam.

Pada bulan September, Monsanto telah disaman oleh dua orang pekerja pertanian di Amerika Syarikat yang mendakwa Roundup telah menyebabkan mereka menghidapi kanser.

Pada bulan Februari, US Food and Drug Administration (US FDA) berkata, mereka akan mula menguji beberapa produk makanan – termasuk susu, jagung, telur, dan kacang soya, dan produk-produk lain pada masa hadapan untuk mengesan kehadiran glyphosate.