Jika anda merupakan salah seorang daripada ribuan mata yang menonton sidang media harian Menteri Kanan Kluster Keselamatan Ismail Sabri Yaakob, pasti anda akan perasan pemakaian baju batik oleh beliau setiap kali menuju hujung minggu.

Malah perkara itu juga turut menjadi bahan perbualan kalangan netizen sebelum ini yang tidak mengambil masa yang lama untuk membuat kompilasi sedondon baju batik yang dipakai beliau dan menyamakannya dengan pelbagai kuih-muih tempatan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Telatah netizen itu juga mendapat perhatian beliau yang kemudiannya berkongsi kembali gambar tersebut di laman Facebooknya dan mengucapkan terima kasih atas kreativiti yang ditunjukkan orang ramai.

Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya pemilihan baju-baju batik yang dipakai menteri kita ini sebenarnya mempunyai ‘rahsia’ yang tersendiri, atau lebih tepat lagi individu rahsia yang bertanggungjawab memberikan cadangan kepada beliau dalam pemakaiannya.

Salah seorang daripada individu tersebut sudah semestinya isteri beliau sendiri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin. Tetapi nama seorang lagi individu ini pasti akan membuatkan anda akan bersetuju mengapa pemilihan baju menteri kita ini dilihat bersesuaian dengan situasi dan mencuri perhatian setiap kali muncul di kaca TV.

Melalui laporan yang terbit di MStar, individu tersebut adalah menantunya sendiri Datuk Jovian Mandagie yang juga merupakan pereka fesyen terkenal.

Mengulas mengenai pemilihan pakaian Ismail Sabri, Jovian berkata hampir setiap malam dia akan berbincang bersama ibu mertuanya untuk menentukan gaya yang bersesuaian.

“Datuk Seri suka mencuba yang baharu, very adventurous dan terbuka kepada cadangan baharu. Beliau suka kelihatan muda dan ceria serta tidak takut bermain dengan warna.

“Jujurnya, antara saya dan Datuk Seri, beliau lebih berani bermain dengan warna,” kongsinya.

Malah dia juga turut gembira dan terhibur dengan penerimaan orang ramai terhadap pemilihan pakaian yang dipilih bapa mertuanya itu.

“Majoriti begitu menyukai imej Datuk Seri dengan penampilan warna-warna yang ceria. Mereka kata tak adalah nampak sedih atau suram sidang media terutama musim PKP yang percaya mood segelintir masyarakat yang terganggu.

“Ada yang sanggup ternanti-nanti sidang media harian Datuk Seri terutama pada Jumaat, Sabtu, Ahad untuk melihat apakah baju yang bakal dipakai beliau,” katanya.

Walaupun dianggap sebagai pakaian tradisional, namun batik sering saja mencuri tumpuan tidak kira di dalam dan luar negara. Klik pautan di bawah untuk membaca perkongsian kami sebelum ini. 

Persis Baju Batik Sekolah, Pakaian Taehyung BTS Ini Curi Perhatian Netizen

3 Cara Pakai Kain Batik Dengan Betul Yang Ramai Generasi Kini Tidak Tahu