Pada saban tahun, pencipta kandungan di YouTube telah dilaporkan berjaya meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit. Menariknya, pencipta kandungan tempatan juga tidak terkecuali di dalam senarai saluran yang meraih pendapatan tertinggi di rantau Asia Pasifik.

Menerusi laporan Saving Spot, saluran YouTube di Malaysia yang paling menguntungkan adalah Les’ Copaque yang mana telah berjaya menjana pendapatan $16.73 juta (~RM71 juta) sejak diperkenalkan.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Saving Spot

Perkara ini sekaligus telah meletakkan saluran Les’ Copaque selaku pengeluar kartun Upin & Ipin sebagai antara lima saluran paling menguntungkan di rantau Asia Pasifik. Saluran yang paling menguntungkan di rantau ini adalah ChuChu TV dari India dengan jumlah pendapatan mencecah hampir $82 juta (~RM347.4 juta).

Di samping itu, saluran YouTube Cocomelon pula muncul sebagai saluran YouTube paling menguntungkan dengan anggaran $282.2 juta (~RM1.19 bilion) terkumpul daripada videonya sejak ia dicipta pada tahun 2006.

Sumber Gambar: Saving Spot

Menurut Saving Spot, saluran YouTube paling menguntungkan pada waktu ini adalah yang menyasarkan golongan kanak-kanak. Di Malaysia, saluran kanak-kanak yang menjana pendapatan tertinggi selain Les’ Copaque ialah Didi & Friends yang kini berjaya menjana $10.56 juta (~RM45 juta) setakat ini.

Konklusinya, buat mereka yang mahu mula berjinak dengan arena YouTuber dan mahu menjana pendapatan lumayan, boleh pertimbangkan saluran yang menyasarkan golongan kanak-kanak. Perkara ini jelas terbukti kerana ibu bapa lebih cenderung untuk memainkan video yang berunsurkan kanak-kanak kepada anak kecil mereka.

Sumber