Apabila pasukan polis menyerbu sebuah apartmen di Bangkok untuk menangkap raja dadah, mereka hampir tidak mengenali sasaran tersebut. Ketua dadah Thailand yang mempunyai waran tangkap sejak Disember lalu, dikatakan telah bertukar menjadi seorang lelaki yang kacak, berbeza dengan wajahnya pada senarai dikehendaki.

Menurut Bangkok Post, suspek berusia 25 tahun, yang melarikan diri dari pihak berkuasa Thailand sejak tiga bulan lalu, dilaporkan telah menjalani pembedahan plastik, menyebabkan wajahnya kelihatan seperti lelaki ‘Korea Selatan yang menawan’, kata seorang saksi kepada pihak polis.

Baca Juga:

Suspek, yang dikenal pasti sebagai warganegara Thailand, Sarahat Sawangjaeng, telah ditahan pada hari Khamis di sebuah kondominium di daerah Bang Na, Biro Polis Metropolitan Bangkok mengumumkan dalam catatannya di Facebook.

Menurut laporan, Sarahat pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini, bagaimanapun bila masa penahanannya masih tidak dapat direkodkan. Pada 2 Disember, polis mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas pegawai kastam menemui 2,575 gram MDMA yang disembunyikan dalam bungkusan yang ditujukan kepadanya.

Tambah laporan itu lagi, dia telah membuat prosedur kosmetik untuk mengubah penampilannya. Dia turut menukar namanya kepada Jimin Seong dan turut memberitahu polis bahawa dia merancang untuk memulakan kehidupan baharu di Korea Selatan walaupun tidak boleh bertutur dalam bahasa itu.

Selepas penahanannya minggu lalu, Saharat mengaku bahawa dia ada memesan MDMA, juga dikenali sebagai ekstasi, di laman web gelap menggunakan mata wang kripto dan kemudian menjual dadah itu sekitar Thailand, kata polis dalam satu kenyataan.

Tempat persembunyiannya diketahui pihak polis selepas salah seorang pegawai bawahannya secara tidak sengaja mendedahkan lokasinya, “Beliau adalah raja dadah yang mengimport MDMA dari Eropah pada usia 25 tahun,” kata Mejar Jeneral Polis Teeradej Thumsutee, menyifatkan Sarahat sebagai “salah satu punca utama wabak MDMA di Bangkok.”

Pihak berkuasa Thai telah menyuarakan kebimbangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tentang pasaran dadah sintetik yang berkembang pesat di negara itu—ini termasuk “yaba”, sejenis methamphetamine kos rendah yang masuk dari Myanmar.

Di bawah peraturan baharu kontroversi yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Awam bulan ini, hanya dua pil meth boleh dianggap mencukupi untuk memenjarakan seseorang sebagai pengedar dadah—langkah yang dikecam oleh pakar dasar dadah sebagai regresif dan berpotensi memudaratkan pengguna dadah.