Sebelum diserang strok pada 2015, Raja Iskandar Raja Mansor, 50, merupakan seorang pereka dalam pelbagai bidang kreatif. Antaranya, pereka taman, hiasan dalaman dan penghias bunga.

Boleh dikatakan beliau seorang pencetus suasana baru melalui sentuhan kreatifnya pada ruang yang diberikan. Ini terbukti selepas beliau mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan dan sukarelawan sejak kira-kira satu tahun setengah selepas diserang strok.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kisahnya bermula apabila beliau menawarkan diri untuk melukis mural di dinding kedai urut dan akupuntur yang kelihatan uzur pada April 2016. Ia satu peluang bagi dia menguji diri sama ada masih boleh melukis atau tidak.

Ternyata, lukisan mural Raja Iskandar mendapat perhatian dan pujian di kalangan pelanggan kedai tersebut sehingga membuatkan beliau mahu meneruskan usahanya itu ke kedai-kedai lain.

Sehingga ke hari ini, sudah 5 buah kedai seumpama itu dihias indah olehnya. Pasti anda tertanya-tanya mengapa dia sukarela untuk kedai orang lain sedangkan dia boleh mengecaj dengan harga tertentu.

Kedai-kedai yang dibantu olehnya itu dikendalikan oleh OKU (buta). Raja Iskandar yakin apa yang dibuatnya ini dapat membantu menarik prospek masuk kedai dan seterusnya dapat meningkatkan keuntungan perniagaan dan memperkasakan jenama kedai urut OKU.

Aktiviti ini turut jadi satu motivasi positif buat Raja Iskandar untuk mengatasi cabaran kesan strok dan sekaligus mendorong beliau melakukan pelbagai lagi aktiviti kebajikan dan sukarelawan.

Antaranya:

1. Membawa 120 ahli keluarga orang buta dan anak anak mereka beriadah ke Zoo Negara.

https://www.youtube.com/watch?v=iPX6ZJMgrQo

2. Mengadakan jamuan buka puasa dan menaja pakaian raya untuk 15 kanak kanak dari keluarga orang buta.

3. Mengadakan peraduan melukis untuk kanak-kanak bagi memupuk semangat berseni dalam kalangan keluarga buta.

4. Menganjurkan sesi pertemuan Pop Up Gathering dengan kerjasama OKU Sentral yang diasaskan oleh Ras Adiba Radzi di mana OKU berkerusi roda berkenalan dan menaiki MRT bersama-sama secara santai.

5. Menyerikan lagi suasana sekolah kanak-kanak Rohingya dengan lukisan mural.

Beliau berusaha merancang setiap bulan agar ada aktiviti berbeza yang menyentuh soal seni, alam sekitar, beribadah, sejarah dan lain-lain lagi.

Kegiatan-kegiatan kebajikan ini memberi kesan positif ke atas pemulihan diri Raja Iskandar daripada strok. Ia turut beri kesedaran kepada beliau bahawa ada lagi orang yang lebih sakit, susah dan ada kekangan yang lebih hebat berbandingnya.

“Tujuan saya bermula kegiatan ini adalah untuk keluar dari kemurungan dan membalas jasa golongan buta kerana menolong saya dalam pemulihan saya setakat ini.

Setelah saya bergaul sesama mereka saya dapati juga antara golongan OKU kurang bergaul antara mereka sendiri yang lain kurang upayanya.

Semoga usaha popup ini menjadi jambatan mereka berinteraksi, menjadi satu masyarakat yang diperkasakan dengan penyatuan mereka sendiri!

Penyudahnya saya sendiri bukan saja keluar dari kemurungan tapi saya sendiri secara tidak langsung diperkasakan!

Harapan mendapat sokongan masyarakat yang prihatin supaya saya dapat meneruskan program saya meperkasakan golongan OKU dan mengadakan program supaya yang buta berkawan, berinteraksi dan beriadhah dengan OKU yang berkerusi roda.

Barulah rasanya OKU bersatu dan bersuara sebagai satu!” tulis Raja Iskandar dalam temubual ini.

Dalam kesibukannya itu dengan ArtAttacking dan lain-lain, beliau turut sedang menyiapkan ruang penanaman organik yang mesra OKU di kawasan kediamannya iaitu Sekangkang Kera Sungai Penchala. Di situ turut ada satu unit rumah ran (loteng) yang boleh disewa sebagai homestay. Ia masih lagi dalam pembikinan.

Semoga usaha baik Raja Iskandar ini dapat menginspirasi masyarakat agar berbakti dan memberi kepada golongan yang lebih memerlukan. Ia dapat mewujudkan satu komuniti yang sihat dan ceria.