Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dilaporkan telah mengkuarantinkan dirinya di sebuah hotel mewah di Jerman bersama-sama 20 orang gundik.

Vajiralongkorn, seperti dilaporkan oleh The Independent telah membuat pesanan untuk menempah keseluruhan Grand Hotel Sonnenbichl dengan ‘izin khusus’ untuk menghabiskan waktu lockdown di Alpen Garmisch-Partenkirchen.

Hotel-hotel di wilayah Alpen Garmisch-Partenkirche kebanyakan telah ditutup, tujuannya adalah untuk mencegah penyebaran wabak Covid-19. Tetapi, Grand Hotel Sonnenbichl diberikan keizinan untuk menjadi rumah bagi raja Thailand dan rombongannya.

Agensi media antarabangsa telah melaporkan bahawa Raja Thailand masuk ke dalam hotel bersama-sama dengan 20 orang gundik dan sekumpulan pelayan.

Tambah laporan itu lagi, Raja yang terkenal dengan nama Rama X bercadang untuk mengadakan parti besar-besaran, namun terpaksa melupakan rancangan tersebut kerana sebahagian daripada anggota rombongannya terpaksa pulang ke Thailand.

Namun berita ini tidak disambut baik oleh rakyat Thailand. Mereka mempertikaikan tindakan Rama X yang ‘bercuti’ di Jerman ketika mana wabak yang telah membunuh lebih 30,000 orang di seluruh dunia datang menyerang Thailand.

Di bawah undang-undang Thailand, sesiapa yang menghina atau mengkritik monarki boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Tetapi tanda pagar Thai yang diterjemahkan kepada ‘Mengapa kita memerlukan seorang raja?’ muncul 1.2 juta kali di laman Twitter dalam masa 24 jam selepas seorang aktivis mendakwa Vijaralongkorn sedang berseronok di Jerman dan membiarkan rakyatnya menderita berperang dengan wabak.

Thailand telah mencatatkan lebih 1,000 kes sejak COVID-19 datang menyerang negara terbabit. Sejak itu lebih 100 orang disahkan sudah pulih manakala 9 orang dilaporkan meninggal dunia.

Berikut adalah laporan lain mengenai Thailand, klik pautan di bawah untuk membaca.

Perayaan Songkran Di Beberapa Wilayah Thailand Dibatalkan Kerana Coronavirus

Muat Naik Video Mengganas Secara ‘Live’, Suspek Utama Tembakan Rambang Di Thailand Masih Bebas

3 Terbunuh, 4 Cedera Ditembak Lelaki Bersenjata Dalam Rompakan Kedai Emas Di Thailand