Ini bukan pasal keseluruhan trip Jepun, tapi berkenaan dengan Zao Onsen, Yamagata yang kami pergi tempoh hari. Kiranya, satu wishlist aku dah checked untuk tahun ini.

Pemandangan dari kafe di Jizo Sancho Station

Selepas aku discover berkenaan dengan snow monsters atau raksasa salji, aku decided untuk masukkannya dalam itinerary trip Jepun aku.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa Itu Zao Onsen

Zao Onsen ialah salah sebuah ski resort terkenal yang terletak di kawasan pergunungan Zao, di dalam wilayah Yamagata, Jepun. Ia terkenal di kalangan pelancong tempatan dan pemain ski/snowboarding.

Bandar Zao

Kalau rakyat marhaen macam kita ini lebih tahu tentang Hokkaido, Sapporo, Gala Yuzawa dan lain-lain tempat yang lebih komersial. In fact, masa aku datang, muka-muka orang luar boleh dikira. Lain semua penuh dengan warga tempatan.

Apa Ada Dengan Zao Onsen

Aliran air panas semulajadi di sekitar bandar Zao ni.

Seperti namanya “onsen” yang bermaksud hotsprings, di Zao Onsen terdapat beberapa buah kolam air panas untuk pengunjung yang datang ke sini.

Selain boleh melakukan aktiviti ski dan snowboarding, di sini terdapat satu fenomena semulajadi yang dikenali sebagai “juhyo” atau snow monsters.

“Juhyo” atau snow monsters di Zao Onsen

Snow mosters ini merupakan pokok-pokok yang diselaputi salji tebal disebabkan oleh angin basah dan sejuk yang ekstrim dari Siberia.

Pembentukan juhyo ini bermula pada Disember, dan mencapai kemuncak bentuknya yang besar pada Februar idan kembali mengecil menjelang Mac.

Juhyo hanya ditemui di pergunungan Zao dan beberapa tempat lain di Jepun. Ia tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia ini.

Bagaimana Ke Zao Onsen

In my case, aku ke Yamagata dengan menaiki JR Line Shinkansen dari Tokyo Station ke Yamagata Station. JP Pass aku dah beli siap-siap melalui online semasa di Malaysia.

Harga JR Pass sangat mahal (USD230 atau sekitar RM1000 lebih untuk 7 days pass). Berbaloi beli ini kalau hendak travel jauh-jauh di Jepun sebab kalau beli tiket shinkansen secara asing harganya sangat mahal!

Otherwise, anda boleh juga beli JR East pass untuk travel di kawasan East Japan menggunakan JR Line. Harga untuk 5 days pass adalah sekitar RM800 lebih.

Buat pengetahuan anda, menjelang 1 April 2016, JR East akan dibahagikan kepada 2 iaitu Tohoku dan Nagano-Niigata. Jadi, jika nak ke Yamagata, beli kawasan Tohoku.

Aku beli JR Pass di sini. Sangat mudah dan pantas deliverynya: https://www.japan-rail-pass.com/

Anda tak boleh terus guna pass ini. Kena tukar dulu di kaunter JR untuk diaktifkan. Hari pertama dikira starting dari tarikh anda tukar pass ini.

Apabila dah dapat pass, anda boleh book siap-siap seat Shinkansen pada tarikh anda nak pergi ke mana-mana destinasi.

Okay, itu baru cerita bagaimana nak ke Yamagata. Jadi, untuk ke Zao Onsen pula, kita ada pilihan untuk drive menggunakan kereta sewa atau hanya menaiki bas shuttle.

Menaiki bas adalah yang paling senang. Stesen bas terletak di bahagian luar Yamagata Station (YS). Keluar daripada entrance YS, ia berada di sebelah kiri anda. Kalau tak silap bas berada di Platform 1. Harga tiket bas ke Zao Onsen dari YS ialah 1000 yen, sehala.

Nak lagi mudah, beli saja siap-siap pakej yang ditawarkan di situ, in case tak ada orang offer semasa anda menunggu bas tu.

Syarikat yang sediakan pakej ke Zao Onsen terletak kat dalam kedai tu.

Kedainya terletak berhampiran dengan platform 1 tu. Harga pakej termasuk tiket bas dan tiket kereta kabel Zao Ropeway (4 seksyen) secara return ialah 3100 yen (lebih kurang RM116.25, kadar 0.0375 as per January 2016).

Apabila dah beli tiket tu, nanti tunjukkan saja pada driver bas semasa turun dan naik. Tiket kereta kabel perlu ditukar di kaunter kereta kabel sebelum naik.

Jadual shuttle bus Yamagata-Zao Onsen-Yamagata

Perjalanan dari YS ke Terminal Bas Zao Onsen mengambil masa kira-kira 40 minit. Apabila sampai di Terminal Bas Zao Onsen, anda kena berjalan kaki sekitar 10 minit untuk ke stesen Zao Ropeway.

Di sini terdapat 2 lagi kereta kabel iaitu Zao Chuo Rope dan Zao Sky Cable, tapi di Zao Ropeway inilah anda boleh melihat juhyo atau snow monsters.

Nak tahu mana satu Zao Ropeway boleh besarkan peta di bawah ni:

Yang aku bulatkan tu ialah Zao Onsen Bus Terminal dan Zao Ropeway. Besarkan untuk lebih jelas.

So, once anda dah tukar tiket kereta kabel yang sebenar di kaunter tu, maka bolehlah terus beratur untuk menaiki Zao Ropeway tersebut.

Dari stesyen bawah ini, anda mungkin akan bersesak-sesak dengan mereka yang hendak bermain ski/snowboard. Sumbat selagi boleh. But most of them akan turun di Juhyo Kogen Station. Dan stesyen berikutnya, Jizo Sancho Station inilah anda boleh saksikan juhyo.

Informasi kereta kabel:

Apa yang aku buat hari tu ialah berhenti di Juhyo Kogen seketika untuk bergambar dan melihat pemandangan. Memang superb pemandangan di sini. Kena datang sendiri untuk saksikan!

Pemandangan di luar Juhyo Kogen Station

Sesudah itu, kami naik ke stesyen paling atas iaitu Jizo Sancho Station. Kali ini cable-car ecil sedikit dan lebih selesa. Jadi senanglah nak menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan ini.

Speechless dengan pemandangannya. Dengan setiap inci tanah dan pokok-pokok yang dilitupi salji tebal, semuanya putih bersih, terasa macam dalam mimpi pula.

Putih bersih suci. Cantiknya!

Jizo Sancho adalah stesyen terakhir bagi Zao Ropeway ini. Di sini terdapat sebuah kafe dengan tingkap yang besar. Jadi, anda boleh menikmati pemandangan raksasa salji dari dalam ini sambil menikmati kopi panas (in case tak tahan sejuk di luar itu).

Suhu di sini memang sangat sejuk. Memang tak sempat nak berjimba sangat di luar itu. Tapi jika anda pakai thermal wear, bolehlah tahan juga. Kiranya lebih lama daripada aku berjimba di Yongpyong itu tanpa memakai pakaian jenis ini.

Snow monsters yang dilihat dari dalam kafe.

Aku pergi di penghujung Januari, jadi raksasa saljinya tak besar sangat. Kalau Februari, pembentukannya memang pada tahap maksimum. Jadi, memang besarlah anda boleh saksikan.

Juhyo yang belum mencapai bentuk yang maksimum.
Di luar Jizo Sancho Station

Masa berjalan di luar kawasan juhyo ini kena berhati-hati juga sebab ada kawasan yang agak dalam yang diliputi dengan salji yang tebal. Tebal sampai ke pangkal peha! Tapi apa pun memang best! Sesuatu yang baru untuk orang-orang dari kawasan panas macam aku ini.

Winter vacation with them adalah acara tahunan yang wajib

Suhu sejuk di sini memang agak ekstrim. My friend told me that once dia pergi sana, windchillnya adalah serendah -25°C! Tapi masa aku pergi hari tu masih boleh tahan lagi. Kalau tak, memang tak adanya lah aku nak update blog ni kan? Hehe.

Apabila kabus tebal melanda, sejuknya tak usah cakaplah. Sangat sejuk.

Sepanjang aku berada di kawasan juhyo ni, most of the time suasananya putih kelam disebabkan kabus yang tebal. Sesekali, apabila kabus itu hilang dan menampakkan langit yang biru, tunggang-langganglah kami keluar dari kafe untuk mengambil gambar di luar.

Apabila langit cerah untuk seketika.

Tapi kebiruan langitnya bertahan few seconds saja. Selepas itu kelam semula. Ikut nasib koranglah kalau datang sini cuacanya memang baik.

Apabila dah puas hati berjimba di kawasan snow monsters ini, kami menaiki cable-car turun ke Juhyo Kogen Station, station yang di tengah-tengah Zao Ropeway.

Ketika turun ke Juhyo Kogen Station.

Pemandangan like I mentioned earlier, memang superb! Rasa macam tak nak balik saja. Salji dia punyalah tebal dan memang kesukaan aku sangat.

Ada few spots yang menarik sekitar kawasan ni, cuma aku malas nak explore. Mata dan jiwa dah terpana dek pemandangan yang memukau di sekeliling ni.

Dah puas di atas ni, kami turun ke bawah, untuk cuba bermain ski. Peralatan ski di sini disewa dengan kadar 3100 yen seorang untuk separuh hari. Beginner katanya. Main pun di kawasan ini sahaja.

Ropeway untuk yang main ski/snowboarding.

Pakcik kedai tu tak bagi naik ke atas memandangkan kami ni semua tak reti apa pun. Haha. Punah harapan nak naik ropeway untuk ski/snowboarding tu.

Tapi memang azablah nak main ski ini. Taubat aku tak nak cuba dah. Seksa! Dahlah kasutnya berat. Kalau dah jatuh memang h\azab nak bangun lagi-lagi spesis yang tebal macam aku ini. Merana kejap.

Akulah yang paling cepat pulangkan peralatan tu. Tak larat nak pakai lama-lama! Haha.

Kafe sesuai untuk melepak menghilangkan lelah dan kesejukan.

Sebelum pulang, kami singgah di kedai membeli cenderahati di Zao ini. Hampir lima jam kami di sini. Dari matahari tegak sampailah matahari terbenam. Actually anda juga boleh ski pada waktu malam atau melihat illuminated juhyo.

Illuminated juhyo boleh disaksikan pada tahun baru, setiap hujung minggu pada bulan Januari dan setiap malam sepanjang Februari. Tapi anda kena periksa masa bila last cable-car dan bas semua tu dulu ya.

Banyak lagi aktiviti boleh dilakukan di Zao Onsen ini. Cumanya aku tak sempat nak explore sangat. Lain kali kalau datang, aku rancang nak bermalam di sini, try onsen/kolam air panasnya.

Tetapi kena cari yang private sebab kalau public onsen kena berbogel. Matilanakk! Haha. And then nak cuba pusing-pusing bandar Zao yang comel ini. Tasik semua aku tak sempat nak lawat.

Apapun, aku cukup berpuas hati dapat menjejakkan kaki di Zao Onsen ini. Tempat baru, pengalaman baru kata orang. Memang cantik tempat ini dan Insyallah ada rezeki aku akan ke sini dan tinggal lama sikit.

Walaupun baru pertama kali pergi, aku hanya nak kongsi sedikit tip iaitu bertolak awal. Jika anda dari Yamagata City, lebih baik bergerak awal/ambil bas awal. Sebabnya cuaca di Jepun ini cepat gelap. Kalau anda bergerak lambat atau tengah hari baru nak gerak, memang sekejap sajalah dapat enjoy di atas itu.

Zao Onsen, see you next year, Insyallah!