Seorang wanita warga China menyesal melabur sebahagian wangnya untuk membeli rumah di Forest City Johor Baharu selepas pemaju dikatakan gagal untuk menyediakan segala kemudahan yang dijanjikan sehingga menjadikan kawasan tersebut seperti sebuah bandar berhantu.

Dia dilaporkan mahu menarik diri daripada pembelian rumah di kawasan tersebut, tetapi malangnya sudah terlambat. Projek itu akhirnya terbengkalai, bertukar menjadi sebuah bandar hantu dengan banyak lot yang tidak berpenghuni dan persekitaran yang tidak terurus.

Baca Juga:

Menurut laporan Must Share News, Yang Ting Ting hadir ke Johor untuk melihat sendiri betapa kecewanya beliau dengan pembinaan rumahnya di Forest City selepas beberapa faedah yang ditawarkan oleh pemaju tidak dilaksanakan.

Sebuah apartmen seluas 648 kaki persegi telah dibeli olehnya pada 2015 dengan harga sekitar 1.8 juta yuan atau RM1.1 juta dengan pelan ansuran bulanan 10 tahun.

Pemaju menjanjikan bahawa banyak faedah, seperti perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura, rumah dengan pemandangan laut, dan “dasar pelajar China luar negara”, yang akan memudahkan kemasukan anak pemilik ke institusi pendidikan tempatan yang berprestij.

Bagaimanapun, menurut laporan media Hong Kong, HK01, melaporkan bahawa pemaju gagal menunaikan semua janji mereka.

Semasa pemeriksaan pra-penyerahan rumah pangsa itu, Yang menyedari bahawa apa yang dipanggil “pemandangan laut yang megah” adalah indah khabar dari rupa kerana pemandangan laut hampir tidak dapat dilihat dari unitnya.

Selain itu, dia juga mendapati bahawa unit itu adalah sebahagian daripada kondominium komersial.

Merasa seolah ditipu, Yang cuba mendapatkan bayaran balik dengan alasan pemaju telah menukar hak milik kediaman bangunan itu kepada komersial tanpa kebenarannya.

Malangnya, dia mendakwa bahawa telah diberi jawapan yang dingin dan pasif. Dia kemudian mendapat tahu bahawa pembeli lain juga berada dalam situasi yang sama, kerana 90% pembeli adalah warga China.

Yang dan pembeli yang lain cuba meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pelbagai agensi di China, namun berhadapan dengan penolakan kerana pihak berkuasa China tidak boleh mengambil tindakan disebabkan harta tersebut berada di luar negara.

Bagaimanapun, Yang bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju. Dia sedang dalam proses untuk menyiapkan keseluruhan dakwaan bagi memfailkan saman terhadap pemaju.

Untuk rekod, Forest City merupakah hartanah serba mewah dan elit yang terletak di Mukim Gelang Patah, Johor dan mempunyai keluasan sehingga 1,370 hektar. Diumumkan pada tahun 2006, projek itu diletakkan di bawah China’s Belt and Road Initiative dan dijangka siap pada 2035 dengan kos sebanyak USD$ 100 bilion.

Bagaimanapun, kawasan yang dijanjikan dengan pelbagai kemodenan ini telah menjadi bandar hantu dengan pelbagai banggunan yang gagal disiapkan dan kawasan yang tidak terurus.

Pada tahun lalu, seorang wartawan Insider menulis dalam catatan pengalamannya bahawa bandar ini dianggap ‘bandar hantu’ kerana kapasiti penduduknya kini kurang dari 5%, manakala laporan terakhir 2019 menyebut bahawa hanya 500 penduduk yang berpindah ke sana.

Selain itu, bandar ini juga tersenarai sebagai Most Useless Megaprojects in the World oleh saluran YouTube Top Luxury pada 2021. Saluran yang mempunyai lebih 200,000 pengikut itu telah menyenaraikan lima megaprojek yang tidak memberi keuntungan dan paling tidak berguna di dunia dan salah satunya terletak di Johor Bahru.