Rakyat Indonesia, terutamanya yang berada di Bandung kini berada dalam ketakutan selepas wujudnya satu geng motor yang melakukan pembunuhan penuh kejam. Dalam satu kes pergaduhan, seorang remaja berusia 23 tahun ditahan selepas didakwa membunuh seorang mangsa menggunakan parang pada 3 Februari lalu, lapor Vice Indonesia.

Difahamkan bahawa suspek tidak berpuas hati apabila dikutuk oleh mangsa ketika menghisap rokok. Dia kemudiannya menetak leher mangsa dengan menggunakan parang sehingga maut. Padahal mangsa telah memberikan suspek 10 batang rokok seperti yang diminta olehnya.

Baca Juga:

Mayat mangsa hanya ditemui keesokkan harinya oleh seorang penduduk yang kemudiannya melaporkan mengenai penemuan itu kepada pegawai polis. Pada hari yang sama juga suspek ditahan di sebuah rumah, tetapi disebabkan dia melawan, pihak polis terpaksa menembak kakinya.

Ini merupakan sebahagian daripada cerita-cerita geng motor yang wujud di Indonesia. Kekejaman mereka kini mula menular di setiap kota Bandung sehingga ia menimbulkan rasa takut masyarakat setempat.

Sebelum itu, ada kejadian yang sama melibatkan geng motor bila mana seorang lelaki berusia 21 tahun telah ditetak sehingga mati oleh satu lagi geng motor yang berpangkalan di Bandung. Difahamkan bahawa kejadian ini berlaku tanpa sebab. Mangsa dikatakan kurang bernasib baik terserempak dengan geng motor tersebut semasa beliau berada di luar rumah pada waktu pagi.

Jenayah kumpulan motor yang semakin membuak di Bandung sejak kebelakangan ini. Kota yang sering dilewati oleh rakyat Malaysia ini juga kini sudah diberi nama sebagai Kota Gotham kerana banyak jenayah yang melibatkan geng motor.

Menurut Setiausaha Wilayah Kota Bandung, Ema Sumarna, puncanya ialah kemunculan kumpulan motosikal bernama Cari Gara-Gara atau singkatannya Cagar yang sering memburu mangsa pada waktu malam tanpa alasan atau sebab.

Diharapkan kepada rakyat Malaysia yang mahu ke sini pada masa akan datang untuk lebih berhati-hati. Ia lebih bahaya lagi apabila kumpulan ini mensasarkan mangsanya tidak kira usia. Mereka juga menyerang mangsa tanpa ada alasan yang kukuh.