Dalam diam ramai yang dah menjadi mangsa akibat penggunaan rokok, vape dan pods yang semakin popular dalam kalangan anak-anak remaja.

Kalau anda nak tahu, kerajaan telah membelanjakan RM2.92 bilion pada tahun 2004 bagi merawat tiga penyakit utama yang berkaitan dengan kanser paru-paru.

Kos ini terus meningkat kepada RM6.21 bilion pada tahun 2020 dan ianya dijangka akan terus meningkat kepada RM8.77 bilion pada tahun 2030.

Jumlah ini jauh berbeza dengan hasil kutipan cukai tembakau yang berjumlah RM 2.97 billion pada tahun 2020.

Melihat kepada pertambahan kos yang semakin meningkat dan kesihatan rakyat terutamanya golongan muda semakin terjejas, NGO berharap tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh ahli parlimen bagi mengelakkan penularan penggunaan rokok, vape dan pods dapat dikawal.

Sehingga kini dianggarkan kira-kira 4.8 juta rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Bayangkanlah, keadaan ini semakin meningkat dan tidak menunjukkan sebarang penurunan sejak tahun 2016.

Kongsi pandangan dan respon anda terhadap isu ini dengan menjawab soal selidik yang disediakan.

Bahaya EVALI yang ramai tak tahu

E-Cigarette and Vaping Products Associated Lung Injury atau lebih dikenali dengan nama EVALI merupakan satu penyakit yang muncul sejak 3 tahun lepas akibat daripada penggunaan rokok elektronik atau vape.

Nak tahu bahaya ke tak rokok elektronik, negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Singapura telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape (dasar total ban).

Di Malaysia sudah ada kes EVALI walaupun masih ramai yang kurang cakna. Menurut Dr Mohd Afiq Mohd Nor, ​​Pakar Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, beliau sendiri bersama pakar lain telah mengendalikan dua kejadian Kes EVALI dalam kalangan remaja.

Anda kena tahu kandungan yang terdapat di dalam cecair vape dan pods ini telah dibuktikan mengandungi ribuan bahan kimia yang berbahaya kepada tubuh badan dan lebih menakutkan lagi ada di antara bahan-bahan ini boleh menyebabkan kanser.

Netizen perlu lebih peka isu rokok & rokok elektronik

Dah banyak perkongsian di media sosial berkaitan kesan penggunaan rokok elektronik. Namun, masih ramai yang ambil mudah. Baru-baru ini saudari Aleesya9898 di twitter berkongsi video seorang remaja yang dadanya ditebuk kerana penggunaan Pods.

Pelbagai reaksi diberikan netizen, ada yang cakap dah berhenti, ada yang tak percaya dan ada juga yang berkongsi pengalaman anak-anak mereka jatuh sakit kerana asap rokok.

Justeru itu, NGO menggesa tindakan yang sewajarnya diambil melalui pelaksanaan Generational Endgame (GEG) di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 iaitu larangan pembelian, penjualan, pemilikan dan merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada Generasi yang lahir pada 1 Januari 2005.

Usaha ini penting bagi memastikan jumlah perokok turun kepada kurang daripada 5% menjelang tahun 2040 tercapai.