Kadang-kadang aku pelik bila orang kata filem Melayu sampah. Mungkin sebahagian, ya. Tapi pada aku, banyak je filem-filem melayu yang bagus dan layak untuk diberikan pujian.

Salah satunya ialah filem Bisik Pada Langit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kenapa aku suka filem ini?

Pertamanya: ia adalah filem Khabir Bathia. Keduanya ialah kerana lakonan mantap Jalil Hamid dan Beto Khusairy.

Hasil kerja tangan Khabir jarang mengecewakan. Aku mula suka Khabir bermula daripada drama kultus Nur Kasih. Tak pernah aku sanggup tak keluar rumah malam semata-mata nak tengok drama Nur Kasih ni setiap hari Jumaat.

Pada aku, karya-karya Khabir sangat dekat dengan lapis sosialisasi masyarakat. Misalnya filem Bisik Pada Langit ini yang bercerita tentang hubungan ayah dengan anak. Cerita semacam ini sangat dekat dengan jiwa kita, betul tak?

Walaupun Bisik Pada Langit adalah sebuah filem bertemakan tipikal tragedi drama Melayu tetapi cara Khabir mengolah filem ini disamping pemilihan pelakonnya yang power menjadikan filem ini sebuah naskhah yang sangat menarik untuk kita tonton.

Terus terang, aku suka filem ini walaupun ia adalah sebuah filem formula-mudah ‘3 act structure’ yang naratifnya minimalis dan ‘straight-forward’ tetapi keberkesanan lakonan pelakon-pelakon memberikan ‘jiwa’ kepada filem ini. Nilai kemanusiaan dan kekeluargaan sangat sebati dalam filem ini.

Antara pengarah yang meminati dan memahami genre melodrama meruntun jiwa ini ialah P. Ramlee. Cuba rujuk karya-karya kultus beliau (samada arahan atau lakonan) yang berjaya meruntun air mata penonton seperti Sejoli (1951), Miskin (1952), Patah Hati (1952), Merana (1954), Penarik Becha (1955), Antara Dua Darjat (1960) dan Ibu Mertuaku (1962).

Khabir bijak menyusun plot demi plot disulami peristiwa tragik yang begitu meruntun jiwa dan kita pastinya tertunggu-tunggu penuh debaran untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah keluarga Wak Selamat ini.

Kalau korang pernah buat dosa kat mak ayah korang, aku yakin dan percaya air mata korang pasti akan menitis bila korang tonton filem ini.

filem-bisik-pada-langit-3

Babak-babak demi babak yang disajikan sangat dekat dan real dalam menggambarkan suka duka sebuah keluarga. Ada babak yang akan membuat kita ketawa dan ada babak yang dibikin begitu sedih sehingga bisa mengeluarkan air mata keinsafan usai menontonnya.

Filem ini mengisahkan pengorbanan Wak Selamat, seorang ayah yang dilihat begitu menyayangi anak perempuannya, Siti Hajar sehingga sanggup menunaikan segala kehendak anak perempuannya itu.

Kemudian Siti Hajar dapat tawaran belajar kat Australia. Entah di mana silapnya Hajar eksiden dan berada dalam keadaan kritikal dan koma.

Keluarga Hajar terutamanya Wak Selamat dah tentulah tidak senang duduk bila dapat tahu perkara ni.

So, start daripada sini plot filem ini bergerak. Konflik mula berlaku. Wak Selamat berusaha mencari jalan agar beliau dapat pergi ke Australia untuk melihat sendiri keadaan anak kesayangannya itu.

Tanah yang dia ada digadainya dan rumah sedia ada pula dipajakkan.

Saudara mara mula mengkritik kerana tidak bersetuju akan keputusan Wak Selamat untuk pergi melawat anaknya di Australia kerana ia dianggap sebagai satu pembaziran kerana Wak Selamat pun bukanlah orang yang berkemampuan.

Jadi, berjaya atau tidak Wak Selamat dalam usahanya nak ke Australia tu? Nak tau korang kenalah tengok filem ni sendiri.

Pada aku kekuatan filem ini adalah terletak pada pelakon-pelakonnya yang aku kira telah memberikan 100% jiwa dan raga untuk menghidupkan filem ini.

Lakonan Jalil Hamid sangat meyakinkan dalam filem ini. Watak beliau bercerita kepada kita tentang kasih sayang dan penyerahan sepenuh jiwa Pak Selamat bahawa sesuatu yang tidak mampu untuk dibeli walaupun dengan jutaan ringgit ialah takdir.

Watak Wak Selamat membawa kita kembali kepada tipikal bapa tahun 80-an, 90-an yang garang tapi hakikatnya sangat sayang pada anak-anaknya walaupun dia tak tunjuk depan-depan. Kita mungkin biasa dengar kisah bapak yang bantai anak dia dengan getah paip tapi bila anak dia dah tidur, dia pi sapu ubat kat anak dia.

Dan melalui filem ini kita faham tentang betapa naluri seorang bapak sanggup bergolok gadai demi anak dia.

filem-bisik-pada-langit-2

Beto Khusairy, fuhh! Aura, percakapan yang keluar daripada mulut, intonasi, bahasa tubuh, memang berkelas A. Pada aku, Beto Khusairy adalah aset berharga dalam industri perfileman negara sekarang ni.

Bisik Pada Langit boleh aku kategorikan sebagai sebuah filem dakwah yang sangat-sangat baik dan jujur.

Filem ini tidak dibina untuk berkhutbah/preachy atau ‘cuba nak mengajar-ajar’ penonton tetapi terus terang aku katakan filem ini berjaya mengimplimentasikan nilai keagamaan digaul sebati dengan sub-budaya dan corak pemikiran ke arah nilai-nilai murni Islam yang syumul.

Kita nampak filem ini berusaha menerangkan kepada kita, apabila kita buntu kembalilah kepada Tuhan kerana Dia adalah ‘Yang Maha Menyelesai Masalah’. Ada babak yang diadaptasi daripada Surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: ‘Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.’

Kita dipertontonkan dengan babak ketika Hajar dalam bilik bedah, keluarga Hajar menunaikan solat, memohon pertolongan dari Tuhan agar Hajar kembali pulih seperti biasa. Ini antara babak yang aku suka dalam filem ini.

Pada aku, filem ini bukan sahaja adalah sebuah filem yang indah tetapi ia juga mengajar kita untuk kembali kepada keluarga kerana daripada merekalah kita bermula. Tanpa mereka, kita takkan berdiri di tempat kita sekarang.

Dan, sinematografi dan kerja kamera filem ini sangat menakjubkan!

Filem ini ibarat sebuah filem fotografi yang sangat cantik. Suasana kampung di Pontian begitu mendamaikan dan sinematik. Aku rasa seolah-olah melihat ribuan gambar kehidupan yang disusun cantik dalam sebuah bilik pameran. Babak demi babak dirakam dengan begitu teliti dan natural, sekaligus memberikan roh kepada filem Bisik Pada Langit ini.

Ok, aku tutup ulasan ini dengan satu persoalan; adakah Siti Hajar akan kembali sihat atau Wak Selamat akan kehilangan anak kesayangan dia?

Nah, aku rasa kau akan jadi manusia paling rugi kalau tak tonton filem yang power ini sekarang.

Kerana filem ini power aku bagi 9/10
Muhammad Yusof