Nota Editor: Catatan asal ini ditulis oleh Tuan Saiful Nang di Facebook Page miliknya pada tahun 2013. Meskipun sudah dua tahun berlalu, perkongsian beliau ini masih relevan untuk Tuan Puan tahu tentang ekonomi sesebuah negara melalui analogi-analogi yang mudah difahami. Dengan izin beliau, kami terbitkan semula buat bacaan pembaca Vocket. Semoga bermanfaat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

RAMALAN EKONOMI DARI PENJAHIL EKONOMI

Saya tiada pernah belajar ekonomi dari mana-mana universiti. Saya hanya belajarnya “by heart” dengan memperhatikan mekanisma ekonomi yang berlaku dalam negara dan luar negara. Semasa anda main Warcraft, Counter Strike, Candy Crush saya juga bermain game juga. Tetapi game saya ialah FXCM (Foreign Exchange Game menggunakan wang maya sahaja). Ya, saya main game FXCM masih demo lagi.

Ada baik juga orang bodoh ekonomi macam saya bercerita tentang ekonomi. Orang bodoh menulis, orang bodoh dan pandai kedua-duanya boleh faham. Kalau orang pandai menulis, orang pandai sahaja faham dan orang tak pandai ni macam mana pula?

OK, itu bukan isu yang nak saya ceritakan. Tapi mudahnya, saya belajar ekonomi by heart tanpa paper. MAKA, jangan percaya sangat ramalan yang saya tulis ini. Baca sahaja, TRUST with your own risk

RAMALAN EKONOMI NEGARA LAGI 5 TAHUN DARI SEKARANG.

Ramai juga saya lihat pakar ekonomi Facebook meradang sana sini bercerita tentang National Debt yang adakalanya jadi satu hiburan mengalahkan Rajalawak. Mereka pun macam saya juga, cakap pasal ekonomi tanpa pergi sekolah belajar ekonomi. Ini macam kisah monyet tengok monyet lain dan gelakkan monyet itu dan bercakap “Kelakarlah muka ko macam monyet”. (OK cukup. Tarik nafas)

Secara terperinci saya tidak tahu, tetapi ramalan saya dalam tempoh 5 tahun ini, Malaysia akan mengalami STROKE EKONOMI. Beberapa fenomena yang membimbangkan sedang terjadi. Saya nak mudahkan sahaja supaya orang tak pergi sekolah ekonomi pun boleh faham.

Satu yang anda perlu faham ialah tentang HUTANG NEGARA. Dengan siapa negara berhutang? Risau sangat sampai sebahagian yang juga dah jadi ahli politik pun gelabah, takut negara tergadai macam hutang kereta bila tak bayar nanti kena tarik balik dengan tonto. Siapa nak tarik negara? Ini penjelasan saya. Kerajaan perlukan WANG untuk bangunkan negara. Pendapatan kerajaan datang dari beberapa sumber utamanya seperti;

(BAHAGIAN A – SUMBER/DARI KERAJAAN)

1. CUKAI (pelbagai jenis cukai – Cukai pendapatan, kastam, dll)
2. Hasil dari GLC (Syarikat seperti Petronas, TNB, Telekom dll)
3. Lain-lain

Dan juga takungan besar negara kita antaranya ialah;

(BAHAGIAN B : TABUNGAN/SUMBER DARI RAKYAT)

1. Simpanan WANG ANDA dalam bank
2. KWSP
3. Tabung Haji
4. Segala wang-wang dalam bank
5. Lain-lain (e.g rezab dalam dan luar negara dll.)

Cuba alirkan satu hos air ke dalam sebuah baldi sehingga melimpah. Apabila baldi dah penuh, air masuk dan air keluar lebih kurang sama kuantitinya. Sebahagian air dalam baldi itu adalah air yang sama tak berolak. Sama seperti bank. Ada masuk ada keluar dan ada juga yang duduk diam-diam dalam tu.

Hasil dari SUMBER akan digunakan untuk menjalankan operasi dan membangunkan negara oleh pemerintah yang dipilih. Jika dana dari SUMBER itu (Bahagian A) tidak mencukupi, maka Negara akan meminjam dana dari BAHAGIAN B. Ia sama seperti konsep pinjam tabung anak sementara gaji belum masuk. Nanti kita dah dapat gaji, kita bayar balik tabung anak yang kita guna. Dalam masa yang sama, kita perlu pastikan bila anak nak pakai duit dalam tabung itu, duit itu ADA di situ. Jika bapak boros sangat, duit gaji habis hari pertama dan kedua lama-lama duit tabung anak pun kering kontang dah tak ada apa nak dikorek lagi.

Apabila jumlah hutang bapa yang pinjam duit anak itu bersamaan dengan duit tabung anak. MAKA… itulah analogi BENGKRAP (muflis) (syaratnya, duit gaji dah habis pakai dan guna duit tabung anak selepas itu). Hutang lama tak sempat nak bayar, dah buat hutang baru.

Ternyata, tabung besar kita ialah KWSP. Ia merupakan satu simpanan paksa. Apa yang bapa akan buat jika tabung anak semakin KOSONG? Bapa akan buka tabung baru yang cantik-cantik dan promote kepada anak untuk menabung di situ juga dengan janji bulan dan bintang. Itulah analogi BON, Sukuk (Islamik) dan juga yang paling mudah nak faham… AMANAH SAHAM. Kerajaan promosi orang menyimpan duit dalam bank DAN BUKAN KELUARKAN WANG UNTUK BELI EMAS.

Anak yang selalu menabung tapi terasa tabung tak bertambah berat akan mula sangsi dan mula menabung di tempat lain pula. Ada yang ambil duit itu beli EMAS dan ada juga yang tak menabung dengan tabung jagaan bapa tetapi menabung dengan tabung jagaan Cik Senah sebelah rumah yang dirasakan lebih dipercayai.

Situasi ketika ini, SUMBER negara tidak mencukupi untuk menampung kos negara dan pembangunannya dan TAK CUKUP juga untuk bayar pinjaman kepada penabung. Maka, akibat seterusnya adalah perkara-perkara berikut;

1. Kenaikan cukai
2. Pengenalan cukai baru
3. Adjustment BLR (Kadar faedah pinjaman)
4. Cetakan wang
5. Pengurangan subsidi etc

Perkara di atas akan berlaku dan ia sedang berlaku. Yang paling merisaukan kerana itulah punca inflasi. Keupayaan membeli berkurang, nilai RM1 dulu tak sama dengan RM1 sekarang. Kalau dulu RM1 boleh beli sekilo kacang, hari ini RM1 boleh beli 500g sahaja. Itulah inflasi kerana mereka yang bergaji RM10,000 hari ini merasa ia seperti RM5000 sahaja. Mekanisma nilai RM jatuh itu satu topik lagi, yang itu baik baca sendiri lah.

Kesimpulannya, jangan panik Malaysia tak mungkin kena tarik jadi milik orang lain KECUALI kalau Si Bapa yang hutang anak tu pinjam duit dari Cik Bedah, CETI depan rumah untuk bayar hutang anak pula. Cik Bedah tanya apa nak cagar, kemudian setuju Cik Bedah, seluk kutang baju beri kat bapak selonggok duit. Bapak bayar hutang anak sampai selesai tetapi tak selesai pun, bapak alih hutang itu kepada Si Ceti pula. Nanti Bapak tak boleh bayar Cik Bedah pula habis rumah Bapak tu tergadai diambil Cik Bedah. Dalam konteks ini, Cik Bedah ialah IMF.

Dalam 5 tahun lagi, Malaysia akan sampai ke persimpangan itu. Duit tabung anak dah habis dikorek, siap korek tabung atuk yang nak pencen pun licin. Pendapatan macam tu juga tak cukup nak bayar balik pinjaman. Anak pula dah hilang percaya daripada duit habis di kebas, baik anak beli barang kemas ataupun anak simpan tabung pada jiran pula (foreign investment).

Pada ketika itu, Malaysia dalam ambang bengkrap (muflis). Memang tak payah risau negara tergadai selagi tak pinjam dari Makcik Bedah (IMF). TETAPI… dari manakah lagi wang untuk dikorek oleh kerajaan untuk mereka yang cucuk duit di ATM pasal nak pergi beli sayur di pasar borong. Jika keluar pun duit itu, berapa murah nilai duit itu nanti? Adakah perlu bawa seguni RM untuk beli sekilo ikan cencaru?

Pada ketika itu, tidak kira BN atau PAKATAN RAKYAT kedua-dua pun dah tak minat nak perintah Malaysia.

Siapakah PENYELAMAT ketika itu?

Itulah masa PEMIMPIN tidak boleh bongkak dengan rakyat lagi. Itulah masa ego pemimpin dijatuhkan rakyat. Itulah ketika pemimpin akan merayu kepada rakyat. Itulah masa sebenar RAKYAT MENJADI TUAN.

Mengapa?

Di tangan rakyat ada WANG DAN ASET yang tidak berada dalam TABUNGAN (Bahagian B). Di tangan rakyat ADA EMAS yang berjongkong-jongkong. Di tangan rakyat ada kekayaan yang disimpan dengan jiran. Di tangan rakyat ada cukai yang patut dibayar. Di tangan rakyat ada PENENTU.

Baca seterusnya di Facebook Saiful Nang.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram