Sejap perintah kawalan pergerakan ditarik dan kebanyakan rakyat Malaysia telah dibenarkan untuk merentas negeri. Ramai yang mengambil peluang untuk keluar bercuti di dalam negeri.

Dalam masa yang sama, ada juga yang mengalami satu pengalaman mistik setelah hotel yang diduduki oleh mereka tidak berpenghuni selama beberapa bulan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Terbaharu, jenama pereka fesyen yang dijalankan oleh Irie dan Jimie iaitu SETH&LUNA telah berkongsi pengalaman mereka tinggal di salah sebuah penginapan yang terdapat di Ipoh iaitu Sekeping Kong Heng.

Turun dari Cameron Highlands dan bermalam di Ipoh

Ceritanya bermula apabila mereka bertiga turun dari Cameron Highlands dan menuju ke Ipoh. Salah seorang daripada mereka akui bahawa Sekeping Kong Heng adalah antara tempat yang dari dulu lagi mereka idamkan untuk bermalam.

Setelah selesai urusan check in dan ditunjukkan bilik, dugaan pertama mereka hadir apabila bilik yang diduduki tiada pintu tandas dan hanya ditutup menggunakan kain.

Tambah pula di dalam tandas tersebut tidak disediakan paip air. Cubaan untuk berpindah bilik gagal selepas pihak pengurusan Sekeping memberitahu bahawa semua bilik yang terdapat di sana adalah sama – tidak berpaip dan tiada pintu.

Mereka akur dan teruskan perancangan untuk tinggal di Sekeping Kong Heng.

Mata merah dan dimarah oleh DIA

Dugaan kedua dan cerita seram bermula di sini. Mereka baru pulang dari makan malam di sekitar bandar Ipoh dan jam sudah menunjukkan jam 12. Sampai sahaja di bilik mereka mula bersembang seperti biasa sehingga jam 1 pagi.

Sewaktu mahu beransur tidur, salah seorang daripada mereka menuju ke sinki yang terdapat di hadapan katil. Sebelum itu lagi, dia sudah mengadu bahawa dia rasa tidak sedap badan dan seolah-seolah seperti ada sesuatu.

Semasa sedang membasuh muka di sinki, “Aku perasan mata dia merah padam. Mulut celupar aku pun pergi tegur, ‘mata kau kenapa merah?'” Tulisnya di laman Instagram SETH&LUNA.

Pertanyaan itu dibalas dengan perkataan ‘shitlah‘. Habis cuci muka, dia terus mencapai tuala dan menggosok mukanya. “Masa dia tengah gosok muka tu, dia sempat menyeringai tengok aku. Dia bulatkan mata sambil senyum menakutkan dekat aku.”

Lepas cuci muka, kawannya yang matanya merah tadi terus menuju ke katil dan berbaring. Salah seorang daripada mereka cuba memanggil namanya, tetapi tidak disahut. Bila lampu dibuka, mereka nampak dia sudah mengiring memandang dinding, “Mata terbeliak merah tak berkelip.”

Mereka cuba membaca istighfar dan nampak bahawa kawan mereka itu cuba melawan apa yang ada di dalam badannya, “Dia bukak mulut dan cuba paksa diri untuk bercakap,” dan ayat yang keluar dari kawan mereka tadi adalah, “Aku tak boleh cakap”.

Tidak lama selepas itu, kawan yang matanya merah tadi telah meminta kepada mereka untuk segera keluar dari bilik tersebut. Tanpa bertanya banyak, mereka terus berkemas. Sedang tengah berkemas, kawan yang matanya merah tadi kata kepada mereka, “Selipar itu letak balik kat tempat dia, DIA tak suka.”

Siapa ‘dia’ itu menjadi pertanyaan besar buat mereka. Disebabkan takut, mereka tidak endahkan pertanyaan itu dan letakkan balik selipar yang tadi digunakan oleh mereka.

Semasa mahu menuju keluar, kawan yang matanya merah itu sempat kata kepada mereka bahawa jangan tinggal apa-apa dekat sini, “DIA tak suka.” Bila dah habis kemas, mereka terus menuju keluar dan memandu kereta tanpa hala tuju. Tidak mahu kawannya tadi itu tiba-tiba berubah, mereka sentiasa ingatkan dia untuk membaca Lailahaillah.

Rambut panjang dan muka mula berubah

Masa dalam kereta dan tidak tahu arah tujuan. Kawannya yang matanya merah tadi mula bercerita bahawa semasa dia sedang mencuci muka. Dia dapat rasakan sesuatu berada di dalam tandas yang tiada pintu tadi. “Dia tak nampak rupa benda itu, tapi dia dapat rasa.”

Semasa salah seorang daripada mereka tegur matanya merah, “Dia tengok cermin depan dia terus nampak yang rambut dia jadi panjang dan muka dia berubah. Sebab itu dia cakap ‘shitlah’ dalam nada rengsa,” Katanya.

Tidak pasti apa yang mengganggu mereka, tetapi kesimpulan yang mereka buat adalah bahawa hotel itu sudah tidak berpenghuni selama lebih tiga bulan dan semestinya ada ‘benda’ lain yang datang. Tambah mereka lagi, bilik ini bukanlah tempat untuk orang solat, dengan keadaan jamban yang tiada paip dan tiada pintu, seolah-olah menjemput ‘benda’ lain untuk tinggal di sana.

Terdahulu, pembaca kami ada berkongsi cerita seram mereka. Kami tampilkan 5 pengalaman seram dari pembaca Vocket. Klik pautan di bawah untuk membaca.

5 Pengalaman Paling ‘Seram’ Hasil Perkongsian Pembaca Vocket