Nota Editor: Catatan ini asalnya dikongsikan oleh Pak Utih’s Page. Beliau merupakan penulis buku dan banyak berkongsi tips tentang hubungan suami dan isteri. Kami kongsikan semula di sini dengan izin daripada penulis. Semoga ia memberi inspirasi terutama buat anda yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mahu balik beraya

Memang megah dan seronok, terutama sekali yang baru berumahtangga, bawa isteri beraya di rumah kampung sendiri. Pastinya akan pulang seawal dua atau tiga hari berpuasa bersama keluarga sebelum menyambut kedatangan Syawal.

Terasa hebat kejantanan apabila hari raya kali ini berstatus seorang suami membawa isteri beraya di kampung.

Bagaimana pula perasaan sang isteri baru itu, adakah juga berasa gembira dan terharu mendapat undangan pertama kali beraya di rumah orang lain?.

Wahai suami baru, isteri anda tidak gembira sebagaimana anda rasai. Walau bagaimanapun, dia tidak akan menolak undangan anda kerana dia ingin juga mengamalkan sifat-sifat ketaatan dan kesetiaan kepada suaminya untuk kali pertama ini.

Namun kegelisahannya pasti bergoncang sebaik saja suami menyuarakan hasrat beraya di kampungnya.

Apa yang dia risaukan?

    1. Sampai di rumah nanti, siapa yang perlu dia layan dulu?

    2. Bilik mana dia akan tidur dan bagaimana menguruskan bilik tidur itu?

    3. Apa hadiah yang perlu dibeli dan untuk siapa?

    4. Apakah dia perlu ke dapur memasak untuk keluarga atau hanya membantu?

    5. Bagaimana nak basuh baju kalau dijangkakan seminggu di rumah itu?

    6. Adakah perlu dia sentiasa bertudung di rumah itu.

    7. Apa perlu dia buat pada pagi raya dan kalau tetamu datang beraya di rumah itu?

    8. Bagaimana nak melayan ipar-ipar dan anak-anak saudara yang datang ke rumah nanti?

    9. Banyak lagi yang dia fikirkan… (tolong tambah)

11081237913_338889e5fa_o

Oleh itu wahai suami, elok kita bantu ringankan stres isteri ini agar dia terasa kehadiran dia nanti di rumah barunya itu dihormati dan difahami.

    1. Elok berpuasa di rumah ibubapanya dahulu dalam dua tiga hari sebagai kunjungan hormat menyatakan kepada ibubapanya yang tahun ini anak perempuan kesayangan mereka itu tidak akan beraya bersama mereka.

    2. Sebaik-baiknya rancang beraya di kampung hanya tiga malam sahaja. Jika dah ambil cuti seminggu, pada malam keempat, elok pergi ke tempat lain, dan malam ke lima baru tidur di kampung semula untuk dihabiskan hari cuti itu. Ini bertujuan untuk memecahkan “monotonous” kebosanan dan mengurangkan stres isteri yang masih baru di rumah itu.

    3. Senaraikan semua aktivit harian ibu anda daripada bangun sahur hingga dia masuk tidur. Kemudian terangkan kepada isteri agar isteri tadi tahu pergerakan seharian ibu mertuanya itu dan melayan ibu mertuanya mengikut aktiviti rutinnya. Dengan ini isteri tadi tidak kekok dan mudah untuk dia mengenali ibu mertuanya.

    4. Terangkan juga masakan-masakan kegemaran ibu itu semasa bersahur, berbuka dan hidangan raya agar isteri anda boleh “google” recipe berkenaan sebagai persediaan membantu mertuanya di dapur.

    5. Terangkan juga hadiah-hadiah yang menjadi minat ibu dan ayah. Jika anda sebagai lelaki tidak tahu (memang tak tahu pun) elok tanyalah kakak atau adik perempuan anda mengenai hal ini. Mereka boleh membantu. Dan sesampai di rumah nanti, biarkan isteri anda yang menyerahkan hadiah itu kepada ibu dan ayah anda. Ini memberikan pandangan pertama yang positif daripada ibu dan ayah anda kepada isteri anda. Isteri juga terasa dihormati. Sebaik-baik hadiah ialah biskut raya atau juadah makanan untuk berbuka puasa. Jangan hadiah kain yang belum berjahit atau makanan mentah yang membebankan ibu mertua memasaknya.

11081154354_06a4c3df05_o

    6. Jika berkumpul sanak saudara beramai-ramai, jangan tinggalkan isteri anda keseorangan. Duduk bersama dia melayan dan membantu menjawab soalan-soalan daripada sanak saudara yang kadang-kadang itu sengaja melontarkan soalan “mengena” terutama sekali yang berlainan dialek. Kecewa isteri anda jika dia terasa dipermain-mainkan terutama sekali anda tidak “mempertahankan”nya.

    7. Jika isteri mengadu dan mengomen itu ini mengenai keadaan dan perangai orang-orang di rumah itu, jangan terus menghentamnya. Isteri anda sedang “mengorientasi” atau “menyelami” atau “kondisi” suasana baru di rumah barunya itu. Dengarlah perkataannya dan jawablah dengan kasih sayang agar penjelasan anda itu dapat diterima sebagai rasa belas kasihan.

    8. Kalau isteri anda segan atau malu pada peringkat awal bertanya kepada mertua atau iparnya untuk dia membantu kerja rumah, temanilah dia hingga dia sudah yakin untuk buat sendirian. Comtohnya menggunakan mesin basuh dan menyidaikan kain di ampaian dan sebagainya. Mungkin, teknik dan amalan kebiasaannya tidak sama dengan di rumah itu.

    9. Jika ada perkara yang dia tidak puas hati, elok dibincang di dalam bilik atau tempat yang ada “privacy”.

    10. Sebelum meninggalkan rumah, suruh isteri anda yang hulurkan wang raya semampu yang anda ada, kepada ibu dan ayah. Upacara Ini mengikatkan lagi kasih sayang ibubapa anda kepada isteri anda.

    11. Sesampai di rumah anda, suruh isteri anda telefon ibu memberitahu yang anda berdua telah selamat sampai di rumah. Ini juga menambah kasih sayang mereka berdua kepada anda.

Gambar diambil daripada EverybodyPhoto.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram