Istana Buckingham telah mengesahkan Ratu Elizabeth II telah meninggal dunia selepas 70 tahun berkhidmat sebagai Raja, dengan negara itu kini berkabung secara rasmi. Ratu menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi ahli keluarganya di estet Scotland tercintanya, Balmoral.

Berita mengenai tahap kesihatan Ratu Elizabeth II mula kedengaran sejak petang semalam. Diusia 96 tahun, beliau telah menempuh pelbagai siri sejarah, melihat pelbagai perubahan dalam tampuk pemerintahan dan memegang rekod sebagai ratu paling lama memerintah.

Baca Juga:

Apa yang menjadi buah mulut masyarakat dunia kini adalah apa akan jadi bila Ratu Elizabeth II meninggal dunia?

Menurut Business Insider, perkara pertama yang akan dilakukan selepas sahaja kematian Ratu Elizabeth II adalah mengaktifkan Operasi London Bridge atau nama lainnya adalah London Bridge Is Down.

Setiausaha sulit beliau, Edward Young akan menghubungi Perdana Menteri Liz Truss dan memaklumkan mengenai kematian Ratu Elizabeth II. Kemudian laporan kematian akan sampai kepada penasihat ratu iaitu Majlis Privy United Kingdom. Selepas itu diikuti dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada perkhidmatan awam.

Di setiap jalan-jalan pula, bendera akan dikibarkan separuh tiang. Dari Downing Street sehingga ke setiap banggunan, bendera akan berkibar separuh tiang. Kenyataan rasmi dari Perdana Menteri akan dikeluarkan dan diikuti dengan seminit berdiam diri. Loceng istiadat di Westmister, Istana Windsor dan beberapa lokasi lain akan dibunyikan menandakan perginya Ratu Elizabeth II.

Sejurus selepas kematian ratu, Putera Charles, anak sulung permaisuri dengan mendiang Putera Philip, secara automatik menjadi raja, manakala isterinya, Camilla, akan menjadi permaisuri.