Bila bertemu jodoh dengan pasangan yang berlainan negeri dan budaya, banyak yang saya dapat belajar sekaligus memberi pengalaman baru untuk saya. Salah satunya pengalaman berhari raya.

Hunter Killer Photo
HYPE
Misi Menyelamat Penuh Debaran Dalam ‘Hunter Killer’
Baca lagi →

Maklumlah, selama hampir 30 tahun berhari raya dengan keluarga sendiri di Utara, saya sudah terbiasa dengan budaya sendiri. Tetapi, semuanya berubah bila saya mendirikan rumah tangga dengan anak orang berketurunan Jawa, yang mana pada mulanya tak banyak sedikit, kejutan budaya juga bagi saya.

Tahun pertama kahwin, pada hari raya tahun 2012, sekeluarga mentua balik berhari raya ke kampung abah (bapa mentua) saya di Hutan Melintang, Bagan Datoh, Perak.

Sebab emak dan ayah saya sudah tiada, jadi sejak kahwin, memang saya akan berhari raya dengan keluarga mentua. Tahun itu, kami sekeluarga balik dua hari sebelumnya sebab nak sediakan juadah raya di kampung.

Sehari Sebelum Raya

Mak dan abah saya akan sibuk dengan persediaan bahan-bahan untuk memasak sejak selepas Subuh lagi. Pada saya, terasa masih awal hendak masak. Selalunya lewat petang atau malam raya baru kita sibuk hendak masak juadah raya.

Namun berbeza dengan mak dan abah saya, sehari sebelum raya sudah siap masak semua menu hari raya. Bahkan pada hari terakhir puasa selalunya sudah berbuka dengan juadah raya. Memang perkara baru untuk saya.

Seawal pagi lagi, abah dah siap ke pasar, membeli daging yang sudah ditempah lebih awal. Daging lembu segar, memang sedap dibuat rendang. Mak pula sibuk siapkan bahan-bahan untuk memasak.

Banyak juga kerja yang perlu dilakukan kerana makanan akan dimasak dalam kuantiti yang agak banyak. Mujur suami saya ramai adik beradik, masing-masing boleh menolong. Pada waktu itu, saya tengah hamil 6 bulan, boleh lah tolong setakat yang mampu.

Antara menu raya kami di kampung – rendang daging, nasi impit, kuah kacang dan lontong. Menu-menu lain seperti pecal dan ayam masak merah disediakan oleh saudara abah yang tinggal berdekatan.

Biasanya menjelang petang baru siap semua juadah. Jadi, malam hari raya sudah tak sibuk hendak siapkan juadah raya lagi. Malam raya sudah boleh berehat dan siapkan baju raya pula.

Raya Orang Jawa

Pagi raya, macam biasa selepas solat raya, sesi bermaaf-maafan. Selepas itu, makan hidangan raya bersama keluarga. Kemudian, sesi ziarah-menziarahi sanak saudara.

Seingat saya, hampir 5-6 buah rumah kami jelajah pada raya tahun itu. Semuanya adik-beradik abah yang tinggal berhampiran atau di sekitar Bagan Datoh.

Apa yang menarik dan baru bagi saya, setiap rumah yang kami ziarahi, pasti ada pecal. Dah katanya orang Jawa ya. Cuma mungkin berbeza bahan-bahan yang digunakan sahaja.

Ada pecal yang ringkas, ada pecal yang lengkap dan original dengan nasi impit. Ada pelbagai versi pecal boleh dicuba. Kuah kacang untuk pecal pun berbeza sedikit rasanya daripada kuah kacang biasa. Lebih pedas dan berempah. Memang sedap.

Saya cuba cari kalau-kalau ada ketupat atau lemang, nampaknya macam tiada. Maklumlah sepanjang hampir 30 tahun ini, hari raya pertama saya mesti makan ketupat pulut dengan rendang.

Dari satu rumah ke satu rumah, kebanyakannya akan menghidangkan pecal sebagai menu utama. Menu-menu lain ada juga seperti soto, lontong atau bihun sup.

Tetapi ada satu rumah makcik suami yang akan hidangkan tetamu dengan nasi dan lauk-pauk selain kuih raya. Istimewanya, ada sambal tahun super pedas dengan kerang dan babat (sambal tahun yang biasa dibuat dengan kulit lembu).

Kami pasti singgah rumah makcik untuk menikmati sambal tahun istimewa tersebut. Walau bagaimana pun, tetap tak ada ketupat. Pertama kali saya berhari raya tanpa ketupat!

Sebenarnya sangat bagus kerana ketupat pulut sangat tinggi kalori, yang mana kalau tak dikawal pemakanannya, sia-sia sahaja kita sudah berpuasa sebulan tapi pada pagi raya terus berat badan naik semula.

Jadi, dari satu segi, saya suka hari raya cara Jawa original begini. Pecal kan terdiri daripada banyak sayur-sayuran, tempe dan dimakan bersama kuah kacang.

Kuih raya pun kurang dijamu, lebih banyak kerepek yang dibuat sendiri. Kuih raya juga sebenarnya tidak bagus juga dimakan berlebihan.

Pengalaman pertama berhari raya cara orang Jawa pastinya memberi kenangan menarik buat saya. Pada awalnya memang saya mengaku sedikit kurang biasa, tetapi alah biasa tegal biasa.

Tahun ini sudah pun masuk tahun ke-5, tapi pengalaman pertama tetap saya ingat sampai bila-bila.

Artikel di atas disumbangkan oleh Hifzaila Hafni. Penulis Bebas. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group