Pengarah dan produser di sebalik filem-filem Hollywood hebat seperti E.T, Jurassic Park dan Minority Report, Steven Spielberg kembali dengan filem sains fiksyen hebat Ready Player One. Filem ini adalah adaptasi daripada novel dengan nama yang sama karya Ernest Cline. Ernest juga bertindak sebagai penulis untuk filem ini bersama Zak Penn.

Di tahun 2045, tiada apa lagi yang menarik dimuka bumi kecuali OASIS, dunia maya di mana anda boleh jadi apa sahaja yang anda mahu. Wade Watts, a.k.a. Parzival (Tye Sheridan) adalah seorang daripada berbillion manusia di dalam Oasis yang mahu mencari Golden Easter Egg; di mana siapa yang mendapat Easter Egg ini akan mewarisi kekayaan serta kuasa penuh milik pengasas OASIS, James Halliday.

Pertamanya, kami sangat bertuah kerana dapat menonton filem ini seminggu lebih awal dari tarikh ianya akan ditayangkan secara rasmi pada minggu hadapan. Kami berhadapan masalah selepas menonton filem ini; kami gagal untuk move on dengan filem ini sebab filem ini sangat-sangat awesome!

Filem ini sangat relevant dengan dunia kita sekarang ini; dunia permainan secara maya serta sistem kriptowang yang digunakan secara meluas di OASIS. Setiap pemain akan bertempur dengan pemain lain di dunia maya untuk mengutip ‘Coin’; semakin banyak coin yang anda anda, semakin hebat watak anda di OASIS. Konsepnya sama macam permainan DOTA, Ragnarok dan lain-lain.

Ready Player 1

Filem ini sarat dengan reference serta homage kepada filem, lagu serta permainan video dari zaman 80an sehingga yang terkini. Buat anda yang membesar dengan set permainan video seperti Atari, permainan Space Invaders, filem The Shining, King Kong dan lain-lain, anda pasti akan excited dan terlebih seronok dengan filem ini. Saya nak sahaja cerita adegan-adegan menarik yang ada dalam filem ini terutamanya ketika pertempuran terakhir yang sangat epik dalam filem ini. Anda bersabarlah tunggu tonton filem ini minggu hadapan.

Dari segi penceritaan pula, filem ini digarap rapi antara drama dan aksi. Jadi anda tak akan bosan langsung sepanjang filem ini. Ada rakan saya sampai ‘penat’ kerana sangat teruja melihat watak-watak ikonik dunia pop culture yang muncul di sepanjang filem ini. Deadpool ada, Ryu ada malah watak dari anime Jepun pun ada! Watak utama filem ini juga berjaya menghayati watak mereka dengan jayanya.

Serious kami tak dapat hendak ceritakan betapa epiknya filem ini. Ditambah lagi dengan pemilihan lagu-lagu yang sangat cool dalam filem ini. Saya yakin, filem ini akan menjadi salah satu filem berstatus ‘cult’ untuk para geek di luar sana sedikit masa lagi.

Tahniah Steven Spielberg kerana berjaya mengembirakan ‘diri kanak-kanak’ setiap penonton yang menonton Ready Player One di Vocket Premiere semalam. Semuanya keluar dengan senyuman kepuasan dan pada masa yang sama, realiti hidup OASIS ini sudah semakin hampir ke dunia kita ketika ini.

Rating kami pada Pacific Rim: Uprising mungkin sedikit ‘melampau’ kerana kami tidak menyangka Ready Player One akan ‘tapau’ filem-filem sci-fi yang keluar sebelum ini. Kali ini rating kami solid 9/10. Anda peminat setia pop culture, silalah tonton filem ini. Ini filem wajib tonton untuk tahun ini. Kalau anda tak suka filem ini, ‘you must be fun at parties.