Dua tiga hari lepas, Sinar Harian telah menyiarkan satu berita bertajuk ‘Ini Syaratnya Berkahwin Gadis Turki’ yang ditulis oleh saudara Muhamad Nur Thaqib Shaker. Ia berkisar tentang perkahwinan antara lelaki Malaysia dan wanita Turki.

Memang bagus artikel yang telah beliau tulis. Beliau cuba memperkenalkan dan mengenengahkan budaya pernikahan antara 2 negara iaitu Malaysia dan Turki.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tetapi,

Bila saya baca di ruangan komen di Facebook, ada segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan saudara Said Imaddudeen itu seperti anak tanggang kerana meninggalkan ibu bapanya, tidak mahu menyara keluarga di Malaysialah, dan ada banyak lagi komen yang ditulis seakan-akan begitu mengenali latar belakang saudara Said Imaddudeen dan keluarganya. Memang pelik, tapi itulah hakikatnya.

Bukan setakat itu saja, ada pula MEDIA yang suka buat gosip-gosip sensasi turut tumpang sekaki nak dapatkan trafik yang lebih banyak ke laman web mereka dengan menulis tajuk dan isi kandungan yang jauh berbeza berbanding apa yang cuba disampaikan di dalam artikel asal. Dalam erti kata lain menyiarkan artikel ‘misleading’.

Ditambah lagi sebagaimana yang kita tahu, sebilangan rakyat Malaysia hanya baca tajuk sahaja pun dah mula buat pelbagai persepsi yang kurang enak didengar.

Semuanya berpunca daripada media, kaki gosip, kaki viral dll yang memang TIDAK BERETIKA dalam menyampaikan berita yang SAHIH.

Ceritanya Belum Habis Lagi

Daripada artikel saudara Thaqib Shaker tersebut, kebanyakan kita sudah pun tahu tentang kisah bibit-bibit percintaan antara jejaka Malaysia dan gadis Turki ini secara umum. Tetapi ramai yang tidak tahu liku-liku perjuangan di sebalik kisah cinta antara 2 benua ni.

Sebagai seorang junior bermula sejak di sekolah rendah dan menjadi sahabat karib kepada Said semasa di Turki, saya ingin kongsi bagaimana CEO Jejak Uthmaniyyah Tour & Consultancy, Said Imaddudeen ini berusaha sehingga berjaya menambat hati Ayşe (Ai-she) seorang gadis Turki tinggi lampai.

Kali pertama Said berkawan dengan saudara-saudara daripada Turki adalah semasa beliau belajar di Syria. Dari sini beliau berasa senang untuk bersahabat dengan rakan-rakan Turki berbanding rakan daripada negara lain.

Minat beliau terhadap Turki semakin bertambah apabila Said mula terlibat dengan GPTD pada zaman matrikulasinya di U.I.A.P.J. (Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya).

Said dan rakan sekumpulanya telah diberikan tugasan untuk mengkaji tentang Sultan Muhammad Al-Fatih. Kajian demi kajian yang dibuat membawa kepada penemuan yang sangat menarik berkenaan hubungan di antara Kerajaan Uthmaniyyah di Turki dan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.

Bukan setakat itu sahaja, kehebatan dan kemajuan yang dikecapi Kerajaan Uthmaniyyah yang meliputi pelbagai bidang juga membuatkan Said kagum dengan sejarah dan kebudayaan Uthmaniyyah.

Minat ini membuatkan beliau bermusafir ke Turki selepas tamat pengajian di UIA Kuantan pada tahun 2012. Niat beliau untuk mencuba nasib di negara ini dengan berbekalkan keberanian, pengalaman berniaga dan wang saku yang cukup-cukup sahaja pada penghujung tahun 2012.

“Perjalanan untuk berkenalan sehingga dapat menikahi Ayşe (Ai-she)
bukanlah satu perjalanan yang mudah.” – Said Imaddudeen.

Sebelum beliau bertemu dengan Ayşe pada tahun 2015, Said pernah diperkenalkan dengan beberapa orang gadis Turki yang lain namun kerana tiada keserasian ia tidak diteruskan.

Mengikut Said, masyarakat Turki pada umumnya tidak ada masalah dari segi menerima menantu daripada kalangan bangsa asing, tidak ada diskriminasi yang ditunjukkan.

Ia mungkin kerana mereka adalah bangsa yang sudah lama memerintah dengan ‘soft-power’ dan mengamalkan perkahwinan berlainan bangsa dalam kalangan para Sultan.

Tidak ada diskriminasi terhadap mana-mana bangsa walaupun dari dunia ke-3. Ramai sahaja yang berkahwinan dengan bangsa Afrika, Nusantara, Rusia, Arab India dll di Turki ini.

Malahan dalam Sejarah Tanah Melayu, dikatakan ada 2 kali wanita terhormat dari Istana telah dihantar ke Tanah Melayu untuk berkahwin dengan Sultan di Tanah Melayu.

Yang pertama, pada zaman Sultan Muhammad Al-Fatih (sekitar tahun 1400-1500) dan yang kedua pada zaman Sultan Abdul Majid (Sekitar tahun 1800-1900).

Jadi tidak pelik untuk  saya katakan, hubungan Turki-Melayu ada keserasian tertentu yang membuatkan 2 bangsa ini senang untuk saling berurusan.

Sifat-sifat Wanita Turki

Mendengar dan melihat sendiri daripada pengalaman Said, wanita Turki (kebanyakannya) mempunyai karakter yang dominan. Mereka akan menunjukkan rasa cinta dan rasa cemburu secara terbuka. Tiada berlapik-lapik macam gadis kita. Huhuhu.

Bagi yang sedang bercinta dengan gadis Turki, jangan sesekali ‘add’ wanita lain di Facebook, Instagram atau mana-mana aplikasi media sosial anda, kerana anda hanya mencari nahas kalau berbuat begitu. Hahaha.

Jika anda lihat di Facebook dan Instagram, jarang sekali gadis-gadis Turki kebanyakannya (bukan semua) membuat profile mereka bebas (public) untuk dilihat atau di ‘stalk’ orang awam. Rata-ratanya adalah ‘private’ dan hanya untuk kenalan terdekat.

Gadis Turki juga akan mempersoalkan tindakan-tindakan anda yang mereka rasakan tidak sesuai dengan keadaan atau logik mereka. Jadi pastikan anda pandai berhujah dan mampu bersabar apabila di ‘soal-siasat’. Hahaha.

Sepertimana gadis-gadis di Malaysia, kebanyakan gadis di Turki juga sangat mementingkan penampilan, baju, tudung dan seluar semuanya akan digosok dengan seterika sebelum keluar dari rumah. Kebersihan rumah adalah antara perkara paling penting bagi mereka.

Mengemas rumah adalah aktiviti harian yang perlu dilakukan. Mengelap lantai menggunakan tangan adalah perkara biasa.

Jadi kalau anda takut untuk bernikah dengan gadis Turki kerana mereka tidak mungkin boleh membuat kerja-kerja rumah seperti ibu-ibu kita, tak usahlah bimbang sebabnya mereka sanggup melakukan ‘extra effort’ untuk kebersihan rumah.

Cukuplah untuk tips dan gambaran bagaimana menambat hati gadis-gadis Turki yang sememangnya cantik. Namun, selepas menambat hati mereka, proses untuk berkahwin memang nampak ringkas tetapi tidak semudah yang kita fikirkan.

Jika budaya di Malaysia, kebanyakan pihak lelaki perlu bertandang dan berjumpa dengan ibu bapa di pihak perempuan untuk berkenalan (ta’aruf) dan seterusnya proses meminang dan diakhiri dengan bernikah.

Di Turki pun lebih kurang juga. Ada tata-tertib mereka tersendiri seperti proses Söz (Janji), Nişan (Bertunang) dan Nikah (Nikah). Di sini, masyarakat Turki mengamalkan majlis-majlis tertentu seperti :

1. Majlis untuk Nişan yang dihadiri keluarga rapat sahaja.
2. Kına Gecesi (Malam Berinai) yang dihadiri oleh kaum perempuan sahaja.
3. Nikah Meclisi (Majlis Akad Nikah Syar’i & Sivil),
4. Düğün (Majlis Resepsi).

Perbelanjaan majlis-majlis ini selalunya akan ditanggung oleh ibu-bapa pengantin. Jemputan ke majlis-majlis ini adalah terhad kepada individu-individu yang dijemput sahaja (STRICTLY) yang selalunya tidak lebih 100-150 orang dalam satu majlis.

Dalam majlis-majlis yang disebut, hanya Dügün sahaja tetamu akan dijamu dengan makanan berat. Untuk majlis lain selalunya tetamu akan dijamu dengan air jus dan kekacang atau kuih-muih.

Persiapan Sebelum Bernikah Dengan Gadis Turki

Ini yang saya nak anda faham. Sebelum berkahwin, bakal pengantin lelaki perlu menyediakan rumah dengan perkakas-perkakas lengkap, kerana masyarakat Turki adalah bangsa yang ‘proper’ di mana mereka mahu semuanya tersedia dahulu.

Hantaran kahwin juga selalunya adalah berupa perkakas-perkakas rumah, pakaian untuk pengantin baru berhias, pinggan mangkuk, alat-alatan dan barang dapur dan juga di bilik tidur. Semuanya mesti lengkap. Noktah.

Selain itu, antara yang disyaratkan oleh keluarga Turki jika bakal pengantin adalah warga asing – anda perlu bermastautin di Turki. Meskipun begitu ia masih bergantung kepada budi bicara keluarga masing-masing.

Faktor ini disebabkan hubungan kekeluargaan yang amat rapat dalam kalangan adik-beradik. Jadi, agak sukar untuk ibu bapa berjauhan dengan anak-anak mereka walaupun sudah berkahwin. Dalam sebulan itu pastinya akan adalah perjumpaan dengan keluarga bersama sama ada 2 atau 3 kali.

Berkenaan mahar pula, selalunya maharnya adalah sekitar 5 ke 6 utas gelang emas seberat 20 ke 30 gram untuk setiap gelang. Jadi, siapa kata murah? Huhuhu. Namun ada sahaja keluarga yang tidak menetapkan syarat khas seperti ini untuk pengantin lelaki. Semuanya bergantung kepada penerimaan keluarga perempuan kepada keluarga lelaki.

Jika baik akhlak anda dan pandai menawan hati keluarga mertua, anda mungkin juga bernasib baik seperti saudara Said.

Paling penting sekali selepas menambat hati gadis Turki, anda perlu berusaha keras menambat hati bakal ibu dan ayah mertua dengan segala cara yang mampu anda lakukan.

Semoga Berjaya Guys!
Shafiq Shafie
Ankara, Türkiye