Pembuat barangan pengguna, Reckitt Benckiser, yang juga merupakan pembuat beberapa produk popular seperti Dettol, Durex, Vanish dan Harpic, meminta maaf pada Isnin lalu kerana menjual pensteril (steriliser) yang mengakibatkan beratus-ratus orang terbunuh atau tercedera, lima tahun selepas kerajaan Korea Selatan mengarahkan penjualan produk tersebut dihentikan akibat risiko kesihatan.

Ataur Safdar, ketua syarikat bahagian Korea Selatan, berkata syarikat itu menerima seluruh tanggungjawab dan mahu memperbetulkan kesalahan.

Safdar tunduk meminta maaf ketika sidang akhbar.
Safdar tunduk meminta maaf ketika sidang akhbar. – BBC

“Ini adalah kali pertama kami menerima tanggungjawab penuh, dan kami menawarkan sepenuh permohonan maaf. Kami terlambat, lima tahun telah berlalu,” Ataur Safdar berkata.

Semasa beliau berucap dalam sidang akhbar, beliau telah diganggu oleh mangsa dan ahli keluarga yang marah dan menangis. Ramai di antaranya mencerca dan ada yang mahu memukulnya.

Disinfektan Mengandungi PHMG dan PGH

Reckitt Benckiser menjual berjuta-juta botol disinfektan cecair, dipanggil Oxy Ssak Ssak, yang mengandungi bahan kimia berbahaya selama kira-kira satu dekad.

Risiko kesihatan daripada disinfektan itu mula mendapat perhatian pada tahun 2011 apabila penyakit paru-paru misteri mula menghinggapi dan membunuh wanita hamil. Pada tahun yang sama, pihak berkuasa Korea mengumumkan bahan kimia PHMG dan PGH di dalam disinfektan yang digunakan oleh banyak pengguna Korea dalam cecair humidifier adalah penyebab utama fenomena itu.

Banyak isi rumah Korea Selatan, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak, menggunakan humidifier semasa musim sejuk kering. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita hamil yang paling banyak terdedah dengan bahan kimia di dalam humidifier rumah mereka.

Sebuah laporan oleh U.S. National Institutes of Health berkata bahan kimia PHMG boleh menyebabkan “risiko kesihatan yang kritikal apabila dihidu dalam bentuk titisan.” NIH juga telah mencatatkan kesan toksik akut untuk kedua-dua PHMG dan PGH.

Keadaan Mangsa

Seorang remaja yang memakai tangki oksigen besar dan berwarna hijau, serta 4 orang lagi mendekati pentas untuk bertemu dengan Safdar.

Rupa mangsa remaja ketika sidang media.
Rupa mangsa remaja ketika sidang media. – BBC

“Bolehkah awak selamatkan anak ini? Apa yang awak akan lakukan?” kata seorang wanita semasa lintas langsung terus ke kaca televisyen sedang berlangsung. “Kenapa ambil masa terlalu lama?” kata seorang lelaki yang lain.

Safdar berkata syarikat itu sedang merangka perancangan untuk membayar pampasan kepada mangsa. Mereka akan menyediakan 10 bilion won (RM34 juta) kepada dana kemanusiaan untuk mangsa, termasuk 5 bilion yang telah dijanjikan dua tahun sebelum itu. Beliau memanggil hari berkenaan sebagai “satu peristiwa penting untuk mangsa.”

Aktivis, keluarga dan mangsa berkumpul dalam satu pertemuan yang lain sambil membariskan produk-produk Reckitt Benckiser.
Aktivis, keluarga dan mangsa berkumpul dalam satu pertemuan yang lain sambil membariskan produk Reckitt Benckiser. – Korea Herald

Tetapi mangsa dan keluarga menolak permohonan maaf, merayu orang ramai untuk memulaukan barangan Reckitt Benckiser. Dalam sidang akhbar di luar pejabat pendakwa raya, mangsa-mangsa dan aktivis berkempen dengan membariskan produk yang dibuat oleh Reckitt Benckiser dan meminta orang ramai supaya tidak membelinya.

Permohonan maaf datang selepas pendakwa raya Korea Selatan menyiasat Reckitt Benckiser dan syarikat-syarikat lain kerana pembuatan dan penjualan produk disinfektan yang tidak selamat. Terdahulu, syarikat itu enggan mengambil tanggungjawab.

Kerajaan Korea Selatan berkata ia akan memberi pampasan kepada 221 orang mangsa yang telah disahkan, 95 daripada mereka telah meninggal dunia. 309 orang mangsa lagi tidak mendapat pampasan kerajaan atas alasan mereka tidak dapat membuktikan penyakit mereka mempunyai kaitan dengan bahan kimia.

Safdar ditampar oleh salah seorang ahli keluarga yang marah.
Safdar ditampar oleh salah seorang ahli keluarga yang marah. – BBC

Kumpulan aktivis berkata bilangan mangsa yang dinyatakan oleh kerajaan adalah lebih kecil berbanding bilangan sebenar. Mereka menganggarkan bahawa disinfektan telah membunuh 239 orang dan mencederakan 1,289 orang yang lain. Pegawai-pegawai kerajaan sedang menyiasat dan menjangkakan lebih banyak permohonan untuk pampasan akan diterima.

Reckitt Benckiser Di Australia

Pelbagai kategori Nurofen
Pelbagai label Nurofen – BBC

Baru-baru ini, Mahkamah Australia mengarahkan Reckitt Benckiser membayar penalti sebanyak 1.7 juta dolar Australia (RM5 juta) selepas memutuskan bahawa syarikat itu telah mengelirukan pengguna.

Mahkamah Persekutuan memutuskan syarikat itu menipu warga Australia dengan menjual ubat penahan sakit Nurofen dengan label berbeza untuk penyakit berbeza, seperti sakit belakang dan sakit semasa haid, apabila kesemua produk Nurofen sebenarnya mengandungi bahan aktif yang sama (lysine ibuprofen) pada jumlah yang sama.

Dipercayai, Oxy Ssak Ssak hanya dijual di Korea Selatan.