Malaysia telah merekodkan sepuluh kematian sejak COVID-19 datang menyerang negara pada awal tahun ini. Sejak itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mencatatkan lebih 1,000 kes coronavirus di negara ini. 

Kesemua mereka yang ditahan akibat wabak yang telah membunuh lebih 10,000 orang di seluruh dunia ini datang dari pelbagai latar belakang, namun kelompok yang selalu disebut-sebut sebagai pencetus kepada gelombang kedua COVID-19 di Malaysia adalah jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

Beberapa bulan lalu kita dikejutkan dengan hebahan media bahawa wujud himpunan tabligh yang melebihi 10,000 orang di markas Seri Petaling. Tempat kebanyakkan jemaah dari seluruh dunia berkumpul. 

tab8
Amazingnara

Berita ini mendapat ruang khas di beberapa media cetak dan media dalam talian setelah salah seorang jemaah tabligh Brunei yang telah menghadiri perhimpunan ini telah ditahan akibat positif COVID-19 di sana. 

Sejak itu heboh di dada media sosial apabila para netizen mula menunding jari ke arah jemaah tabligh Seri Petaling yang dikatakan sebagai ‘punca’ segala kekecohan ini berlaku. Mereka dituduh ‘degil’ apabila segelintir daripada mereka terpaksa diheret dari rumah untuk melakukan saringan. 

Tidak mahu cerita ini hanya berlegar kepada satu pihak sahaja. Kami The Vocket tampil untuk mendapatkan komentar serta pandangan dari sudut pandang kumpulan tabligh. 

KKM Mungkin Tak Rekod Kehadiran Kami

Melalui perkongsian yang dibuat oleh Tuan Haji Mohd Asna Bin Amin, Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Taman Lavender Senawang dan merupakan salah seorang jemaah tabligh. Beliau menceritakan bagaimana salah seorang ustaz di sebuah madrasah telah didatangi oleh pegawai jabatan agama kerana beliau dikatakan belum membuat saringan di hospital.

Beliau memberitahu bahawa ustaz tersebut sebenarnya telah melakukan saringan di hospital dan rekod kesihatan beliau telah disimpan oleh mudir madrasah. Namun yang menjadi persoalan di sini adalah sistem pengurusan data dari KKM yang merekodkan berapa ramai jemaah yang hadir untuk sesi saringan. Apakah wujud atau tidak data tersebut?

Isu yang cuba diketengahkan oleh Mohd Asna adalah kenapa pihak KKM tidak memasukkan data jemaah yang telah datang ke saringan COVID-19?

“Satu isu yang orang ramai tak tahu, adalah tiada suatu sistem pengurusan data dari pihak KKM untuk tracking siapa yang datang untuk saringan. Pihak klinik tak mampu nak handle bilangan yang banyak, kit ujian virus mahal antara RM300-RM700.

“Jemaah yang datang tanpa sebarang simptom disuruh balik dan self-quarantine tanpa ada sebarang rekod,” katanya.

SP1
Editor Malaysia

Disebabkan ketiadaan data berapa jumlah sebenar jemaah tabligh yang sudah datang ke sesi saringan di hospital, maka berbondong-bondonglah mereka yang datang mencela kumpulan ini kerana dikatakan ‘degil’ tidak mahu ke hospital. 

“Untuk makluman rakyat Malaysia semua, rekod KKM kata tabligh dah datang [buat saringan berjumlah] lebih kurang 10,000 jemaah. Yang tak tampil [pula berjumlah] 4,000 orang lagi.

“Saya nak tanya – siapa yang ambil attendance jemaah [tabligh] pada hari kejadian (perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada pada 28 Feb hingga 2 Mac lepas)?

“Mana dapat maklumat [yang datang berjumlah] 15,000 orang? Masa awal kejadian dulu kata 10,000 je datang?.” 

Beliau turut menambah, terdapat beberapa jemaah tabligh yang sudah tampil ke hospital tetapi disuruh balik ke rumah masing-masing dan menjalani sistem kuarantin sendiri kerana hospital menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai simptom pesakit COVID-19.

“Sekarang [masyarakat anggap] seolah-olah jemaah tabligh ni jahat. Tak nak datang hospital. Tak nak check. Yang saya kenal, semua dah pergi check dan ada yang disuruh balik macam tu saja sebab tak ada demam.” Katanya kepada kami.

Jemaah Komited Mahu Membantu Kerajaan, Namun..

Beliau memberitahu lagi bahawa jemaah sangat komited mahu membuat saringan disebabkan ia adalah antara sifat ketaatan dan tuntutan agama. Namun ketika membaca dada akhbar dan media sosial, mereka di cemuh dengan beberapa kenyataan yang kurang enak.

Seolah-olah mereka dikatakan sebagai golongan yang tidak memberi kerjasama kepada pihak KKM.

Dalam pada banyak mulut yang mencemuh, jemaah sebenarnya paling mahu disaring bagi membantu KKM menjejaki kumpulan yang terkena wabak COVID-19. Namun isu yang mereka hadapi adalah percanggahan antara arahan KKM dengan pelaksanaan di bawah.

“Sebenarnya jemaah paling komited nak buat saringan. Pagi-pagi lagi mereka dah terpacak depan hospital kerajaan. Waktu itu, hospital pun belum bersedia buka kaunter untuk COVID-19, tetapi jemaah dah bersedia.

“Cuma sedikit sedih pula bila ada agamawan kata jemaah guna alasan tak mahu check-up.” 

download-22_1027283_20200318092910
The Sun Daily

Beliau merujuk kenyataan dari beberapa agamawan yang menegur jemaah tabligh kerana menggunakan hujah agama dalam mempertahankan tindakan mereka yang kononnya dikatakan tidak mahu membuat saringan.

“Ini tak tepat. Sedangkan ahli jemaah faham bahawa hakikat/makrifat itu perlu seimbang dengan syariat. Ini sangat ditekankan dalam jemaah sejak zaman-berzaman kerana manhaj dakwah tabligh adalah ahli sunnah wal jamaah di seluruh dunia.”

Bagi mereka, saringan adalah satu tanggungjawab kerana sebagai seorang ahli jemaah mereka adalah orang yang taat kepada ahli syura, taat kepada undang-undang negara dan amir (pemimpin) negara)

“Jadi janganlah pandang serong dan negatif kepada jemaah [tabligh]. Apatah lagi sebarkan benda tak tepat,” kata Mohd Asna.

Beliau turut memberitahu bahawa jemaah tidak menuding jari kepada pihak KKM kerana isu wabak COVID-19 adalah sesuatu di luar jangkaan. Mohd Asna juga akui wujud sebilangan jemaah yang mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat. Namun apa yang dia mahu tekankan di sini adalah bahawa jemaah adalah orang yang taat dengan arahan.

“Jemaah sentiasa taat dengan arahan KKM untuk lakukan saringan. Dan janganlah berterusan menghentam dan menyalahkan jemaah tabligh secara keseluruhannya,” tambah Mohd Asna.

Dakwaan Jemaah Ziarah Katil Ke Katil

Beberapa minggu lalu tular di media sosial apabila salah seorang pesakit yang dilaporkan dijangkiti wabak COVID-19 setelah diziarah oleh ahli jemaah tabligh yang ditahan di hospital yang sama.

Hantaran itu telah mendapat perkongsian yang tinggi dan dalam masa yang sama, ia turut hadir dengan komen-komen negatif yang menyalahkan kumpulan ahli jemaah. Kenyataan itu turut tular bersama sebuah gambar yang menunjukkan jemaah sedang melakukan ziarah dari katil ke katil di Hospital Miri, Sarawak.

Bagi Maulana Helmi, pendakwah bebas, beliau menyatakan kekesalan di atas penularan perkara yang tidak ada asasnya, tidak ada buktinya.

“Saya kenal sahabat-sahabat yang [dikatakan] ziarah katil ke katil. Mereka semua adalah sahabat karib kami. Orang baik-baik semuanya.

89544276_3083206685046644_4349627244537184256_n
OhBulan

“Mereka adalah kumpulan pertama yang ditahan di wad Hospital Miri untuk di kuarantin. Kalau di rumah mereka hanya perlu kuarantin sendiri. Tapi kerana mereka musafir, maka mereka di kuarantin di Hospital.

“Mereka ditahan bukan kerana mereka positif COVID-19, bahkan mereka semua sebenarnya didapati negatif yakni sihat walafiat.” Katanya dalam satu kenyataan.

Maulana Helmi turut memuji kumpulan ini kerana bertahan dan mendengar arahan KKM untuk tinggal di hospital selama 20 hari bagi langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 – walaupun sebenarnya mereka tidak sakit.

Mereka dilaporkan telah melakukan aktiviti kebiasaan mereka – solat berjemaah, berazan dan majlis taklim – semuanya dilakukan di dalam wad. 

“Kalau mereka pergi ziarah orang pun mereka pakai mask, bukan satu hospital mereka ziarah, mereka hanya melawat katil jiran terdekat saja.

“Macam kita jugaklah kalau duduk dalam wad mesti sembang-sembang jugak dengan pesakit lain, mustahillah kita hanya berdiam diri saja,” kata Maulana Helmi.

Kenyataan Dari Masjid Seri Petaling

Jumlah kehadiran himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling dilaporkan hanya sekitar 12,500 orang dan bukannya 16,000 seperti yang dilaporkan oleh KKM. 

Setakat ini, jangkitan COVID-19 membabitkan peserta himpunan itu membentuk kluster terbesar di negara ini, dengan 689 kes daripada 1,183 kes serta lima daripada lapan kematian, dikaitkan dengan himpunan berkenaan setakat hari ini.

Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong menyatakan bahawa jumlah tersebut berdasarkan data yang dikumpul bahagian Syukbah Pendataan Ijtimak Tabligh yang menguruskan makanan dan tempat tinggal untuk jemaah.

Kiraan ahli jemaah diambil ketika solat didirikan berdasarkan kepala dalam setiap saf. Ia dikira berdasarkan keluasan tempat himpunan dan ruang dalam masjid – contohnya adalah bahagian sayap kanan masjid boleh memuatkan 1,700 orang manakala bahagian tetamu luar negara seramai 840 orang.

Ijtimak-Qudama-tabligh-masjid-seri-petaling-fb-110320-4
Free Malaysia Today

“Pada Sabtu malam, 29 Februari lalu, data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan jumlah peserta yang solat Maghrib di masjid kami, termasuk tetamu luar negara dan mereka yang mempunyai tugas khidmat seperti menjaga trafik, memasak, menjaga parkir dan sebagainya ialah sekitar 12,500 orang.

“Inilah kehadiran tertinggi ketika ijtimak (himpunan) kami berlangsung. Kiraan ini bukanlah jumlah yang baharu kami dapatkan, malah adalah rutin Syukbah Pendataan untuk bertahun-tahun lamanya.

“Jumlah kehadiran yang banyak disebut ialah seramai sekitar 16,000 orang. Jumlah ini bukanlah datang daripada pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sebelum ini, Pihak KKM menyatakan dalam siaran akhbar pertama bertarikh 11 Februari yang dipetik dari Harian Metro meminta 5,000 jemaah tabligh untuk hadir ke sesi saringan di Hospital. Manakala kenyataan kedua bertarikh 13 Februari yang diterbitkan oleh MSN melaporkan bahawa jumlah sebenar adalah 16,000 orang jemaah tabligh dan 14,500 adalah rakyat Malaysia.

Kesimpulan 

Isu ini adalah isu nasional. Melibatkan jumlah yang besar dan penyakit yang merbahaya. Isu ini perlu diselesaikan dengan sikap yang terbuka dan bukannya dengan tuduh menuduh atau mengambil sikap menunding jari. 

Pihak Jemaah tabligh telah mengambil sikap terbuka dengan KKM dan masyarakat demi kebaikan dalam usaha membendung wabak coronavirus. Walaupun mungkin ada segelintir jemaah yang ingkar, tetapi majoriti jemaah menurut perintah kerajaan, KKM dan juga tuntutan masyarakat.

Semua orang perlu memainkan peranan masing-masing dengan betul dan tepat serta tidak memburukkan mana-mana kumpulan dengan tohmahan yang tidak diketahui hujung pangkalnya. 

Hakikat dan syariat berpisah tiada.

Untuk bacaan lanjut mengenai COVID-19, klik pautan di bawah.

COVID-19 Mengganas Di Itali, 627 Orang Meninggal Dunia Dalam Masa 24 Jam

Kematian Kini 32 Kes, Lebih 600,000 Penduduk Indonesia Berisiko Positif COVID-19

Panik Wabak COVID-19 Menular Di Sepanyol, Harga ‘Face Mask’ Melambung Kepada RM1,419