Ketika di kedai tengah membuat kerja-kerja membungkus barang kad kahwin pelanggan kami, partner aku Hafiz menceritakan kisah adiknya Ipin (Ariffin), yang bongsu sekali berusia 13 tahun menjual fidget spinner yang sedang trend sekarang ini di sekolahnya.

Aku tertarik ingin tahu lebih lanjut dan meminta Hafiz bercerita  dengan lebih detail. Kisahnya bermula begini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seminggu sebelum tu Ipin membeli tiga fidget spinner dan bawa ke sekolah. Ketika waktu rehat dia bermain di depan kawan-kawan yang lain. Apa yang mengagumkan saya ialah Ipin tidak langsung menggunakan perkataan menjual, dia hanya memberi rakannya itu main bersama.

Pada mulanya hanya seorang dua yang mengerumuni Ipin, kemudian lebih kurang 20 hingga 30 orang yang turut ingin bermain sekali. Ketika rakan-rakannya sedang kusyuk bermain fidget spinner sambil membuat pelbagai aksi, Ipin mengeluarkan kertas beserta pen dan menyuruh sesiapa yang mahu membeli fidget seperti beliau menulis nama.

Ada dua jenis fidget spinner yang Ipin bawa ke sekolah. Satu jenis biasa dijual dengan harga RM10, satu lagi yang agak mahal sedikit di jual dengan harga RM15.

Selepas rakan-rakannya habis menulis nama di kertas itu, ada lebih kurang 26 orang yang ingin membeli fidget darinya. Kkebanyakannya mahu membeli yang harga RM10 dan hanya beberapa yang membeli RM15.

Ipin memberitahu kepada yang mahu membeli, esok sila bawa duit ke sekolah dan berikan kepada Ipin untuk proses pembelian.

Esok harinya, Ipin menerima bayaran daripada mereka yang menempah fidget spinner semalam. Ada juga yang nak tambah order, katanya adiknya juga mahu. Ipin hanya senyum sambil mengira duit yang diberikan oleh rakannya itu.

Balik ke rumah sambil menunjukkan duit yang banyak, Ipin memberitahu abangnya Hafiz bahawa rakan-rakannya ingin membeli fidget darinya. Dan bertanya di mana dia boleh beli fidget dengan harga yang lebih murah daripada dia jual atau nama lainnya pembelian secara borong.

Hafiz terkejut dan garu kepala sambil memberitahu, “manalah kau boleh terfikir idea ni haha,” sambil gelak. Selepas itu pencarian fidget spinner dimulakan dengan mencari pembekal yang terdekat iaitu di sekitar Parit Raja, Batu Pahat. Malangnya ketika itu stok tiada habis dijual.

Tidak hairanlah kerana ketika ini fidget spinner sedang trend, di bazaar Ramadhan pun kelihatan peniaga menjual fidget spinner ini.
Balik ke rumah Hafiz cuba pula mencari fidget spinner di Mudah, Amazon, Ali Baba, dan juga di 11street, demi untuk menolong adik.

Selepas melihat kesemua senarai harga dari pembekal, dan faktor-faktor tertentu, Hafiz membuat keputusan untuk membeli di 11street dengan harga fidget spinner RM5 setiap satu tidak termasuk kos penghantaran.

Dua tiga hari selepas itu satu bungkusan yang mengandungi fidget spinner sampai ke rumah.

Gambar menunjukkan sebilangan fidget spinner yang di order di 11street.
Aku pun tidak melepaskan peluang membeli tapi Ipin bagi percuma, hehe

Setelah membuat pemeriksaan dan ‘quality service dengan mengasingkan fidget spinner yang reject dan elok, fidget spinner sedia diberikan kepada rakan-rakan Ipin yang telah membeli pada keesokan harinya.

Di sini aku tidak akan menulis tentang berapa keuntungan dan kos penjualan fidget spinner  yang Ipin dapat, tetapi aku nak highlight beberapa pengajaran dan  kesimpulan berdasarkan cerita adik Ipin ini.

1. Teknik Jualan

Pendekatan berkesan iaitu membenarkan prospek merasakan sendiri pengalaman bermain fidget spinner (produk) tanpa perlu menggunakan perkataan menjual.

Teknik ini banyak digunakan oleh syarikat automotif dengan terma memberikan ‘test drive’ kepada prospek. Teknik ini memberi peluang kepada prospek merasai sendiri pengalaman memandu kereta tersebut.

2. Kumpul order dulu baru cari stok

Seperti yang tertulis di awal artikel, Ipin kumpul dulu order beserta wangnya sekali. Seterusnya baru beli stok mengikut jumlah order yang dikumpul.

Perkara ini dapat mengurangkan risiko stok tidak terjual dan dapat membuat keuntungan secara optimum. Pengunaan kos pula adalah secara minimum iaitu dengan membeli hanya tiga fidget spinner, dan mainkan  di depan rakan-rakannya sebagai permulaan.

Teknik ini sering di gunakan oleh kebanyakan peniaga dengan terma ‘Pre Order’. Pre Order ini dapat mengurangkan risiko duit modal terbakar akibat stok yang tidak terjual dan akhirnya tersadai di bawah katil.

3. Buat dulu baru fikir apa langkah seterusnya.

Dapat kita lihat, Ipin tidak tahu pun di mana atau bagaimana hendak membeli fidget dengan harga borong. Dia cuma kumpul order dan kutip duit bayaran, selepas itu baru bertanya kepada abangnya di mana hendak membeli fidget spinner dengan harga lebih murah sedikit berbanding harga dijual.

Cuba anda bayangkan jika Ipin terlampau memikirkan bagaimana dia nak membeli, cara-cara nak membeli, mungkin dia tak akan berjaya menjual sebab terlampau memikirkan risiko yang bakal dialami jika tidak dapat memenuhi permintaan rakannya itu.

Kesimpulan yang aku dapat buat daripada kisah adik Ipin ini ialah, adik Ipin mempunyai DNA entrepreneur atau lebih spesifik DNA salesman.

Bayangkan remaja berumur 13 tahun dapat berfikir dan melakukan perkara seperti itu, jika dia dapat bimbingan dan panduan yang betul tidak mustahil 5 atau 10 tahun lagi adik Ipin ni akan menjadi seorang entrepreneur yang berjaya.

Sedangkan aku pun di ketika berumur 13 tahun masih berkira hendak bawa mainan ke sekolah sebab takut di rampas oleh cikgu atau pengawas, seterusnya dimarahi oleh emak setelah mendapat laporan daripada cikg. Inikan pula menjual mainan di sekolah, haha.

Nota: maklumat tambahan. Ipin juga ada buat servis membaiki basikal dengan menggunakan peralatan ayahnya di rumah. Servis ini diberikan kepada rakan-rakannya yang memerlukan bantuan.