Niat tidak menghalalkan cara. Mungkin itulah ungkapan yang sesuai diberikan buat remaja berusia 19 tahun dari Johor ini yang menyamar sebagai anggota polis untuk  membanteras kegiatan mat rempit di kawasannya.

Dek kerana terlalu taksub dengan seragam polis, remaja ini bukan saja menyamar sebagai inspektor polis tetapi turut memiliki pistol tiruan dan keluar melakukan penyamaran di waktu malam untuk membanteras kegiatan samseng jalanan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dia yang masih menuntut di pusat pengajian awam bagaimanapun ditangkap pada awal pagi Ahad selepas melakukan kesilapan besar yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sesiapa sahaja yang menyamar sebagai individu lain.

Terutama sekali bila anda menyamar sebagai anggota polis walau dengan apa jua niat sekalipun.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi Ahad lalu, remaja tersebut dilaporkan telah menghampiri dua anggota polis yang berpangkat sarjan dan lans koperal dan memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Ramdan.

Bukan saja memperkenalkan dirinya kepada dua anggota polis tersebut tetapi ‘Inspektor Ramdan’ turut memberitahu mereka yang dia sebenarnya sedang melakukan risikan terhadap kegiatan samseng jalanan di sana.

Menariknya, dua anggota tersebut juga dilaporkan sedang melakukan risikan terhadap kegiatan samseng jalanan di sana.

Spider-Man-meme

Jika anda masih mempunyai kesukaran untuk memahami kisah ini, remaja yang menyamar sebagai Inspektor Ramdan ini telah memperkenalkan dirinya sebagai polis kepada dua anggota Polis Diraja Malaysia yang sedang bertugas ketika itu.

Curiga dengan tindakan Inspektor Ramdan itu yang kelihatan masih muda untuk bergelar sebagai seorang inspektor, dua anggota polis tersebut kemudiannya meminta beliau menunjukkan kad kuasa.

Bagaimanapun, kad kuasa yang ditunjukkan Inspektor Ramdan didapati palsu dan pemeriksaan badan yang dilakukan anggota polis kemudiannya menemukan beberapa barangan berkait kegunaan polis.

Tidak cukup dengan imaginasinya sebagai seorang anggota polis yang betul, remaja ini turut memiliki beberapa lagi barang yang biasa digunakan oleh seorang anggota polis ketika bertugas.

Antara barangan yang dimiliki remaja ini adalah sepucuk pistol tiruan dan baju kalis peluru di samping sepasang uniform polis yang biasa dipakai oleh seorang pegawai yang berpangkat inspektor.

Bukan itu saja, pihak berkuasa ataupun dalam kisah ini sebagai polis yang sebenar ataupun Polis Diraja Malaysia turut merampas kad kuasa tiruan yang digunakan pelajar itu ketika menyamar berserta beberapa bilah pisau, anak kunci gari, serta topi baseball yang mempunyai logo polis.

Dalam satu sidang media yang dibuat selepas penangkapannya, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai memberitahu remaja tersebut mengaku obses dengan seragam polis.

Dia kini ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan, 36(1) Akta Senjata 1960 dan 89 Akta Polis 1967.

Diharapkan kisah ini boleh dijadikan pengajaran buat sesiapa sahaja di luar sana yang pernah terfikir untuk menyamar sebagai seorang anggota polis.

Walaupun niat anda adalah untuk membantu membanteras jenayah atau apa sekalipun, kita seharusnya tidak mengambil tindakan sendiri.

Seeloknya, jika mendapati sebarang aktiviti ataupun kegiatan seperti samseng jalanan, kita haruslah melaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan membiarkan mereka melakukan tanggungjawab mereka dalam melindungi masyarakat.

Sebelum ini kami juga ada kongsikan berita pihak polis yang sedang memburu raja dadah Malaysia selepas lakukan rampasan hampir 400 juta. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

Polis Buru ‘Pablo Escobar’ Malaysia Selepas Rampas Aset Bernilai Hampir RM400 Juta

Padah Tunggang Motor Dengan Aksi Superman, Gadis Berusia 17 Tahun Ditahan Polis

Anggota Polis Jadi ‘Bidan’ Bantu Wanita Lahirkan Anak Di Dalam Teksi