Dalam Bahagian 1: Bagaimana Negara China Menceroboh Malaysia Secara Diam, kami telah berkongsi bagaimana China membina fasiliti ketenteraan di Kepulauan Spratly serta gangguan mereka di Beting Patinggi Ali. Di sini kami ingin kongsikan bagaimana Malaysia menangani masalah ini, serta mengapa China dan Amerika Syarikat berminat dengan rantau ini.

Kepentingan Malaysia di LCS

Beberapa tahun kebelakangan ini China menjadi lebih agresif dengan merampas Scarborough Shoal dari Filipina, meletak pelantar minyak gergasi di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Vietnam, dan memulakan kerja penambakan di Spratly.

pelantar-minyak-china
Kapal laut pengawasan marin China di Laut China Selatan. Di belakangnya adalah pelantar minyak China yang telah dibina secara haram di dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Vietnam pada Mei 2014. Thanh Nien News

Vietnam dan Filipina mengambil pendekatan berhadapan dengan kapal China serta mengutuk tindakan mereka secara terbuka, akan tetapi Malaysia mengambil pendekatan mendiamkan diri.

Pada tahun 2013 dan 2014 menyaksikan kejadian kehilangan MH370 yang mengorbankan 153 orang warganegara China, serta ulangtahun ke-40 hubungan dua hala Malaysia-China.

Malaysia terus mengambil pendekatan selamat mengenai isu LCS dengan mengambil kira hubungan diplomatik, undang-undang, ekonomi dan keselamatan, dalam masa yang sama memastikan tindakan mereka tidak mengganggu hubungan dua hala dengan China.

Malaysia mengambil pendekatan diplomatik untuk memelihara kepentingan negara ini, iaitu:

  1. Memelihara kedaulatan dan keselamatan negara, serta tuntutan di Pulau Spratly

    spratly-2
    Satu gambar fail diambil dari udara oleh kapal terbang tentera Filipina menunjukkan penambakan tanah sedang dijalankan oleh China di Terumbu Mischief di Kepulauan Spratly pada Mei 2015. Pool/Reuters

    Malaysia menuntut 11 bahagian maritim di kepulauan Spratly, dan menduduki 8 daripadanya, dengan 3 lagi diduduki oleh Vietnam atau Filipina.

    Malaysia merupakan pengeluar minyak dan gas asli (O&G) kedua terbesar di Asia Tenggara, dan merupakan pengeksport cecair gas asli (LNG) ketiga terbesar di dunia – dengan majoriti sumber alam ini datang dari Laut China Selatan.

    Sehingga 2014, industri O&G menyumbang 1/3 daripada pendapatan tahunan negara, dengan sebahagian daripada lapangan dan pelantar terletak di dalam kawasan 9GP.

    Mencegah pencerobohan adalah sebahagian daripada usaha memelihara kedaulatan dan wilayah negara, lebih-lebih lagi disebabkan Semenanjung Malaysia dan Timur Malaysia terpisah oleh Laut China Selatan.

  2. Memelihara hubungan dua hala di antara China-Malaysia

    panda
    Panda lambang hubungan dua hala China-Malaysia. Cri

    Hubungan baik Sino-Malaysian yang dikatakan 'istimewa' mula dibina selepas Perang Dingin. Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan baik dengan China pada tahun 1974, semasa pemerintahan Tun Abdul Razak.

    Hubungan ini dibina untuk mengekang sokongan Beijing terhadap Parti Komunis Malaya (PKM). Walaupun pada mulanya cadangan ini tidak diterima oleh China, tetapi akhirnya mereka mula mengurangkan sokongan pada akhir 1970-an.

    Sekarang, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan pasaran pelancongan paling besar di luar negara-negara ASEAN. Beijing adalah antara kunci utama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020.

    Oleh kerana Malaysia terletak di bahagian paling selatan garisan 9GP, kesan yang dirasai oleh Malaysia tidak seteruk Vietnam atau Filipina.

  3. Memastikan keamanan dan kestabilan serantau

    menteri-pertahanan
    Menteri-menteri Pertahanan dan perwakilan dari 10 negara-negara anggota ASEAN ketika sidang kemuncak pertahanan baru-baru ini. BBC

    Laut China Selatan adalah lebuh raya untuk perdagangan, perkapalan dan telekomunikasi, dengan 1/3 perdagangan dunia merentasi lautan ini.

    Ini menjadikan elemen seperti perdagangan bebas, selamat dan komunikasi telus (SLOC), adalah penting untuk negara maritim seperti Malaysia, dengan nisbah perdagangan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) melebihi 150 peratus, dan 95 peratus daripadanya melalui jalan laut.

    Malaysia selalu menekankan agar semua pertikaian tuntutan di LCS dijalankan secara aman dan bukannya paksaan.

    Tambahan pula, sebagai salah satu daripada empat pengasas ASEAN, Malaysia menyokong peranan penting pertubuhan itu untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau.

  4. Pemeliharaan norma global dan undang-undang antarabangsa

    najib-razak
    Najib Razak. The Strategist

    Kepentingan keempat dan terakhir Malaysia di Selatan Laut China adalah pemeliharaan norma global dan undang-undang antarabangsa.

    Ini termasuk prinsipal asas seperti penyelesaian pertikaian secara aman serta perjanjian tertentu yang tertakluk kepada isu Laut China Selatan seperti UNCLOS.

    Malaysia berpendapat undang-undang dan norma membantu pihak-pihak yang menuntut untuk mendapatkan penjelasan tanpa melibatkan kuasa tentera.

    Menurut Najib, dalam ucapannya ketika Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik yang ke-28 pada Jun 2014, Malaysia berharap semua negara-negara yang menuntut akan " "memegang teguh kepada prinsip-prinsip tidak menggunakan kekerasan" dan "menyelesaikan pertikaian dengan aman" serta "mengangkat tinggi kedaulatan undang-undang".

Respon Malaysia

Malaysia mengambil tindakan "play-it-safe" dalam menghadapi pencorobohan China. Untuk mengimbangi keselamatan negara serta hubungan baik dengan negara China, Malaysia mengambil langkah berikut:

  1. Diplomatik

    Respon Malaysia terhadap insiden di LCS melibatkan China selalunya dikawal ketat dan dibincangkan secara peribadi kepada Beijing.

    Semangat nasionalisme yang semakin meningkat di kalangan awam ditakuti mengekang pilihan kerajaan serta terdapat risiko merosakkan hubungan penting dengan China.

    Beijing menghargai pendekatan tenang kerajaan Malaysia, dan hasilnya mereka melayan Malaysia dengan lebih baik berbanding Vietnam dan Filipina.

    Dalam masa yang sama, Malaysia berusaha untuk memastikan ASEAN mengekalkan perpaduan tentang isu LCS, supaya ia boleh bersuara menentang sebarang perubahan unilateral terhadap status quo semua pihak.

    Pendekatan Malaysia yang senyap tetapi tegas, dapat dilihat ketika flotilla People’s Liberation Army Navy (PLAN) menceroboh Beting Serupai (James Shoal) pada Januari 2014.

    Kapal TUDM, KD Sri Indera Sakti, KD Lekir dan KD Handalan sedang berlatih bersama-sama USS Harpers Ferry (LSD 49), USS Chafee (DDG 90) dan USS Chung-Hoon (DDG 93) di Laut China Selatan pada tahun 2009.The Strategist

    Pada mulanya Malaysia menidakkan perkara ini, tetapi menurut sesetengah laporan, perkara ini dibincangkan 4 hari kemudian ketika duta China di Malaysia, Huang Huikang, melawat Menteri Pertahanan Malaysia, Hishammuddin Hussein.

    Pada November 2014, Presiden China Xi Jinping memuji "diplomasi senyap" Malaysia dalam menangani isu LCS.

    Dalam masa yang sama, Malaysia menyarankan ASEAN perlu bercakap dengan satu suara terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa, seperti ucapan Menteri Luar Malaysia, Anifah Aman di Phnom Penh pada Julai 2012.

    Malaysia juga menyarankan pelaksanaan penuh Declaration of Conduct (DoC) dan Code of Conduct (CoC) di LCS.

  2. Undang-undang

    Vietnam dan Malaysia memfailkan bantahan bersama selepas China mengemukakan peta 9GP kepada PBB.

    Kes bersejarah. Tribunal di The Hague, Belanda, mendengar pendakwaan Filipina terhadap China dalam krisis mereka di LCS. PCA/OFWHEROES

    Akan tetapi, apabila Filipina memulakan pendakwaan terhadap negara China di Mahkamah Tetap bawah UNCLOS pada 2013, Malaysia tidak bersedia untuk mengikutinya, walaupun atas cadangan berulang kali dari Filipina dan Amerika Syarikat.

    Ketika Ekspo China-ASEAN ke-10 di Nanning, Beijing telah menarik balik jemputan terhadap Presiden Filipina, Aquino, dan ini merupakan salah satu risiko yang tidak sanggup diambil oleh Kerajaan Malaysia.

  3. Keselamatan

    Malaysia terus memperkuatkan keupayaan badan-badan pertahanan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meneruskan tuntutan terhadap kawasan-kawasan serta sumber alam di LCS.

    Dalam masa yang sama, mereka mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan insiden buruk dengan China di LCS. Kedua-dua langkah ini diambil ketika bilangan pencerobohan oleh Negara China di perairan Malaysia meningkat, daripada 1 pada 2008 menjadi 35 pada tahun 2012 di bahagian EEZ Malaysia di Kepulauan Spratly.

    Malaysia meningkatkan kekuatan di laut pada tahun 2013 dan 2014, dengan bertambahnya bilangan pencerobohan.

    Untuk melindungi tuntutan mereka, Malaysia secara tradisinya mengekalkan beberapa markas tentera, menggunakan kapal perang dan kapal selam untuk melakukan rondaan di kawasan EEZ dan kawasan-kawasan tuntutan, mengusir kapal asing mengikut prosedur standard dan menjalankan latihan berkala di LCS.

    Kuala Lumpur telah meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan yang diduduki dan dituntut, dan secara diam-diam meningkatkan kerjasama risikan maritim dengan Amerika Syarikat.

    Hishamuddin-Hussein
    Hishammuddin Hussein The Rakyat Post

    Pada Oktober 2013, Hishammuddin, Menteri Pertahanan Malaysia, turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menubuhkan
    pangkalan tentera laut baru di Bintulu, Sarawak, dan akan memulakan kor marin baru dengan keupayaan amfibia di LCS.

    Apabila kapal China menceroboh perairan Malaysia, pertahanan Malaysia lazimnya mengusir (shadow) keluar kapal tanpa tindakan agresif. Malaysia juga mengamalkan "minus-one approach", iaitu menghantar kurang satu kapal berbanding kapal-kapal China apabila mendekati mereka, dengan tujuan untuk mengurangkan risiko insiden itu menjadi lebih serius.

    Malaysia memilih jalan selamat kerana beberapa sebab.

    Pertama, keupayaan TLDM adalah sangat terhad. Saiz TLDM adalah kecil, iaitu armada tua dengan bilangan sebanyak 39 buah kapal laut dan dua buah kapal selam untuk melindungi perairan negara yang luas – belum mengambil kira aktiviti rutin lain – seperti baikpulih, ujian dan rondaan sebenar.

    Walaupun perolehan baru sedang dalam perancangan – seperti enam buah kapal tempur pesisir dari Perancis dijangka memulakan operasi pada tahun 2018, beberapa program telah ditangguhkan akibat kekangan kewangan.

    Kedua, pencerobohan China hanya salah satu daripada banyak ancaman maritim tradisional dan bukan tradisional yang lain seperti kegiatan lanun, penyeludupan, penculikan, keganasan, penangkapan ikan secara haram, dan pencerobohan dari negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

    Pada tahun 2014, Kementerian Pertahanan telah memberi penekanan untuk melindungi perairan Sabah dan Sarawak daripada ancaman keganasan selepas pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013.

  4. Ekonomi

    Satu komponen penting yang paling kurang ditekankan dalam pendekatan "play-it-safe" Malaysia adalah ekonomi.

    Seperti disebut di atas, sektor O&G Borneo menyumbang kepada 1/3 pendapatan negara. Selain meningkatkan keupayaan ketenteraan untuk melindungi industri O&G, Malaysia juga telah bekerjasama dan menandatangani perjanjian dengan syarikat-syarikat dari negara luar. Industri ini tidak terjejas meskipun berlaku pencerobohan di perairan negara.

    Petronas terus bekerjasama dengan syarikat multi-nasional seperti Shell, Murphy Oil dan ExxonMobil untuk carigali di LCS. Pada Julai 2014, konsortium tenaga antarabangsa yang terdiri daripada Mubadala Petroleum, Petronas dan Shell menemui gas asli di blok eksplorasi SK320, kira-kira 90 batu dari pesisir pantai Sarawak.

    oil-rig
    Bintulu.org

    Malaysia juga telah berusaha untuk mengenepikan perbezaan dengan negara-negara lain yang menuntut bagi merealisasikan manfaat ekonomi melalui Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreements – JDA).

    Sebagai contoh, pada Mac 2009, Malaysia dan Brunei berjaya menyelesaikan pertikaian sempadan maritim dan tanah mereka melalui Exchange of Letters (Pertukaran Surat), dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk bersama-sama membangunkan dua blok sumber minyak dan gas (CA1 dan CA2).

    Perjanjian di atas adalah contoh kesediaan Malaysia untuk mengenepikan pertikaian demi pragmatisme ekonomi.

    Akan tetapi perjanjian sebegini tidak pernah berlaku di antara Malaysia-China, kerana ia akan melibatkan beberapa bentuk
    pengiktirafan terhadap tuntutan China di LCS, yang bertindih dengan kawasan EEZ Malaysia. Perkara ini adalah bertentangan dengan dasar semasa kerajaan.

    Adalah penting untuk tahu, beberapa platform dan blok eksplorasi terbuka ini terletak di kawasan 9GP China. Walau bagaimanapun, Beijing tidak bertindak agresif terhadap kapal tinjau, kapal tender atau kapal seismik Malaysia sebagaimana mereka bertindak terhadap kapal-kapal Filipina dan Vietnam.

    Mungkin ini adalah kerana Malaysia adalah pembekal tenaga utama untuk People’s Republic of China (PRC), termasuklah perjanjian bersejarah pembekalan LNG selama 25 tahun dengan Petronas, bermula pada tahun 2009.

Ikuti bahagian 3 dan terakhir untuk mengetahui Kepentingan China dan Amerika di LCS Serta Perkembangan Terbaru Pergeseran Ini


BACA: Bahagian 1: Bagaimana Negara China Menceroboh Malaysia Secara Diam

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram