Baru-baru ni sebuah restoran di Kuantan menjadi tular setelah mendapat liputan akhbar seperti Harian Metro dan Berita Harian kerana memperkenalkan satu konsep yang sangat unik.

Restoran tersebut diberi nama Restoran Dapur Infaq Ummah yang beroperasi di Kompleks Dagangan Indera Mahkota, Kuantan.

Menurut pemiliknya, Badrul Jamili Kamaruddin, berkata tujuan utama dia membuka restoran ini ialah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah termasuk asnaf dan penuntut universiti dapat menikmati sarapan pagi sebelum memulakan rutin harian walaupun tanpa wang.

Tambahnya lagi, pelanggan dibenarkan untuk makan apa sahaja makanan dan boleh membayar seikhlas hati dengan memasukkan wang ke dalam tabung disediakan di kaunter bayaran.

Menurut laporan Harian Metro, sejak beroperasi tiga bulan lalu, sambutan yang diterimanya begitu menggalakkan, setiap hari beliau menyediakan sebanyak 150 roti tempayan.

Menu utama yang popular di kalangan pelangganya ialah Roti tempayan yang dihidangkan dengan kari kambing. Selain itu, Restoran Dapur Infaq Ummah turut menyediakan hidangan seperti nasi lemak, mi goreng, pulut dan pelbagai kuih.

“Walaupun berkonsepkan bayar seikhlas hati, namun purata setiap hari saya mampu meraih pendapatan RM750 hingga RM900 dan tidak pernah menanggung kerugian.” ujarnya kepada Harian Metro.

Restoran Dapur Infaq Ummah ini memulakan perniagaan pada jam 8 pagi sehingga 11.30 pagi, atau sehingga semua makanan habis.

Badrul turut berkongsi pengalaman beliau ketika bulan pertama beroperasi di mana beliau hampir tidak percaya melihat kebanyakkan pelanggan tidak membayar selepas makan dan terdapat seorang penuntut universiti hanya memasukkan wang 30 sen dalam tabung.

Bukanlah niat beliau untuk mempertikai tindakan pelanggan yang tidak membayar, sebaliknya sedih kerana mereka pasti tidak memiliki wang sedangkan pada waktu sama berada dalam keadaan lapar.

Beliau bercadang membuka dua lagi cawangan Restoran Dapur Infaq Ummah di Kuantan tahun depan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Terdahulu, Sebuah restoran makanan Thai di Melaka ‘kantoi’ tidak menjaga kebersihan dapurnya. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Netizen Terkejut Lihat Keadaan Dapur Restoran Makanan Thai Yang Sangat Kotor Di Melaka

Lelaki Ini Dedah Cara Restoran Ikan Bakar ‘Halal’ Popular Di Korea Perdaya Pelancong Malaysia

Peniaga Ini Kongsi Kos Permulaan Untuk Buka Restoran Yang Ramai Tidak Tahu

Sumber