Namanya Restoran Lontong Klang. Jangan cepat terpedaya, ia bukan terletak di Klang, tetapi di Seksyen 7 Shah Alam. Kenapa begitu namanya, kami akan cuba rungkaikan.

Tinggalkan dulu perihal nama kerana perut yang lapar tidak akan persoal walau apa jua namanya. Di papan menu tersenarai juadah yang pada asalnya nampak pelbagai, namun telah diringkaskan hanya kepada lontong, nasi lemak, roti bakar dan telur separuh masak.

Katanya di sini hidangan istimewanya ialah lontong dan nasi lemak. Kami hanya tersenyum dengan pernyataan itu kerana memang hanya itu pilihan yang ada. Kami pun tidak mengharapkan telur separuh masak sebagai killer dish mereka. Maka kami memesanlah Lontong Special dan Nasi Lemak Sotong.

“Maaf bang, nasi lemak dah habis”

Kami teruskan juga perjuangan dengan hanya Lontong Special.

Oh, perlu kami ingatkan bahawa restoran ini berkonsepkan layan diri. Oleh itu, anda perlu ke bahagian kaunter makanan, pesan, tunggu ia disediakan dan ambil sendiri. Air minuman boleh dipesan dari meja makan manakala bayarnya pula selepas selesai menjamu selera. Begitulah tertibya.

Lontong special – memang seistimewa namanya. Yang asas, nasi himpit bersama kuah lodeh semestinya. Sambal sotong sebagai perasa pedasnya. Sebiji telur rebus serta sebiji telur mata kerbau, dua ketul begedil daging dan juga tempe goreng. Di atasnya pula ditabur serunding kelapa.

Rasanya? Enak tenan bak kata rakan kami yang berdarah jawa pekat. Walaupun tidak faham bahasa jawa, namun mesej kesedapannya sampai melalui riak wajah beliau. Memang sedap, kami akui. Kuah lodehnya yang berlemak santan, sambal sotongnya yang pedas kemanisan, begedilnya dengan rasa daging yang dominan, menjadikan semua bahannya bagaikan serasi bersama. Cuma, berbeza dengan kebanyakan kuah lontong yang pernah kami nikmati, kuah di sini tidak mengandungi campuran sayuran yang banyak. Hanya hirisan sengkuang yang berjaya dikesan. Tapi itu langsung tidak menjejaskan keseluruhan rasa.

BACA: Vocket Makan… Patin Masak Tempoyak di Ana Patin House, Mutiara Damansara

Memandangkan lontong telah terbukti sedap, kami tidak teragak-agak untuk mencuba roti bakar dan telur separuh masaknya. Tentu ada keistimewaannya tersendiri sehingga ia dikekalkan dalam menu. Kami menghantar wakil ke kaunter makanan untuk memesan, namun hampa bila diberitahu roti dan telur juga habis! Wah, memang hebat restoran ini!

Oleh itu jika anda ingin merasa kesemua 4 item utama dalam menu, datanglah awal ke restoran ini kerana ia dibuka seawal jam 7.30 pagi dan ditutup jam 3 petang (kami datang jam 11 pagi).

Datanglah, kami sangat mengesyorkan lontong di restoran ini walaupun jika anda bukan penggemar lontong. Antara kami ada yang pertama kali merasa lontong dalam seumur hidup juga setuju yang ia adalah hidangan yang lazat!

BACA: Jom Makan: Aplikasi Bantu Cari Tempat Makan Di Malaysia

BACA juga: Vocket Makan… Sup Urat Keting Bandar Baru Bangi

Nama restoran : Restoran Lontong Klang
Alamat : No.20 Jalan Zikron E7/e,40000 Shah Alam‬. (waze)
Waktu beroperasi : Isnin – Ahad 7.30am – 3pm; Jumaat 7.30am – 12.30pm

p/s: Tentang namanya, ada yang katakan pemiliknya bermula dari satu gerai menjual lontong di Klang dan ada juga yang katakan kerana resepi asalnya dari Klang. Kami kurang pasti. Apa yang pasti kami bersyukur ia hanya di Shah Alam, tidak perlu memandu lebih jauh hingga ke Klang! Kongsikan di ruangan komen sekiranya anda tahu sejarahnya.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram