Pihak Vocket berbesar hati dapat berhubung dan mendengar cerita Tuan Firdaus Kamaruzzaman, pemilik perniagaan Restoran Sirah, iaitu sebuah restoran yang menawarkan buffet berharga RM10 dengan menu kampung dan ala Thai yang menarik. Tuan Firdaus menceritakan latar belakang bagaimana beliau terjebak sehingga mahu menawarkan buffet dengan harga tidak masuk akal, menu yang ditawarkan, konsep memberi dan apa yang berlaku selepas tawaran beliau menjadi viral di internet. Ikuti penulisan beliau di bawah.

Latar Belakang

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sudah menjadi kebiasaan bagi saya, seorang graduan tahfiz Al-Quraan menjadi imam tahfiz jemputan Solat Tarawih pada setiap tahun. Tahun ini saya menerima undangan daripada pihak Jakim bagi menggalas amanah sebagai imam tahfiz jemputan di Masjid Putra, Putrajaya. Bagi saya ianya bukan satu amanah yang mudah dan kecil, kerana ditugaskan di satu pentas yang saya kira berprestij dan merupakan lambang syiar Islam kebanggaan Putrajaya dan Malaysia. Yang mana setiap pelancong sama ada beragama Islam atau bukan, yang datang ke Malaysia, akan cuba singgah di Masjid Putra, Putrajaya bagi tujuan lawatan.

Tahniah buat JAKIM (pengurusan Masjid Putra,Putrajaya) yang mengekalkan tradisi imam jemputan di kalangan graduan tahfiz tempatan. Saya lihat hari ini sudah menjadi trend masjid-masjid besar di Malaysia menggunakan imam jemputan dari luar negara. Walau pun saya tidak katakan ianya salah, cuma daripada pandangan seorang anak muda yang cetek ilmunya ini, apa salahnya jika mercu tanda atau syiar Islam besar di negara kita, memberi kepercayaan dan peluang kepada graduan tahfiz tempatan di luar sana.

Walau pun sebelum ini saya pernah berkhidmat sebagai imam jemputan di peringkat antarabangsa di masjid negara Brunei dan Indonesia, tahun ini (saya masih merasakan) ianya bukan satu kerja yang mudah. Perasaan gemuruh itu tetap ada, meski pun berkhidmat di masjid dalam negara sendiri.

Maka fokus pengulangan Al-Quraan saya perlu diberi lebih masa agar pembacaan kemas dan tersusun. Tambahan pula, saya adalah orang biasa-biasa, bukanlah di kalangan yang berbakat sangat. Jika dibandingkan dengan graduan tahfiz di luar sana, ramai juga yang lebih “tip top” dari segi kelunakan suara dan penguasaan bacaan yang baik dan kemas. Kelancaran paling utama.

Bersama-sama dengan tugasan yang dipikul sepanjang Ramadhan, saya juga merupakan seorang usahawan yang berimpian besar. Saya baru berada dalam lapangan keusahawanan, kurang daripada 7 tahun. Maka 11 bulan yang lalu adalah hari-hari yang cukup sibuk dalam mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang usahawan yang lebih berjaya.

Satu bulan yang ada, saya gunakan betul-betul untuk mengulang keseluruhan hafazan 30 Juzu’ Al-Quraan agar ianya tidak hilang begitu sahaja dan ianya dapat bertahan untuk 11 bulan yang akan datang. Walaupun cara saya bukanlah cara yang paling tepat dalam memelihara Al-Quraan, saya berpegang kepada prinsip “Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua”.

Sebagai seorang usahawan yang mengejar impian, pastilah mahukan bisnes berjalan dengan baik dan lancar seperti sediakala. Walaupun ribut, hujan atau apa jua rintangan, tiada alasan untuk meletakkan bisnes dalam keadaan sebaliknya. Begitu juga saya, walaupun ketika bulan Ramadhan 100% masa saya diberikan kepada Al-Quraan, saya tetap mahu bisnes yang saya usahakan berjalan seperti biasa, malahan lebih baik, dan apa yang saya lalui bukan alasan untuk menghentikannya.

Walau pun saya tidak dapat memberikan fokus 100% kepada perniagaan, saya berusaha menambah pendapatan dan memperkuatkan keuntungan. Bulan Ramadhan adalah antara waktu yang memerlukan banyak perbelanjaan. Selain daripada kelengkapan Syawal yang bakal tiba, Ramadhan juga mengajar agar kita lebih MEMBERI. Rasulullah S.A.W. lebihkan bersedekah semasa bulan Ramadhan.

Salah satu bidang perniagaan saya adalah perniagaan makanan dan minuman (F&B). Dari situ, tercetus idea untuk mengaplikasikan konsep ‘makan apa sahaja yang anda mahu’, atau ‘buffet’ di Restoran Sirah milik saya di Kota Warisan, Sepang. Apa yang menariknya, kami menawarkan harga buffet hanya sebanyak RM10/nett, tiada cas tersembunyi (hidden cost), tiada cas GST, dan tiada cas tempahan (booking).

Menu Makanan


Gambar: Kerabu Perut

Selain itu, menu istimewa yang kami ketengahkan dan wajib ada setiap hari sepanjang Ramadhan adalah:

1. Sotong bakar

2. Ayam percik

3. Asam pedas

Dan juga menu makanan lain, berupa 20 jenis lauk yang terdiri daripada masakan kampung dan masakan ala Thai, serta beberapa jenis kuih dan pemanis mulut.

Konsep Memberi

Pada mulanya idea ini menerima tentangan yang hebat daripada beberapa orang sahabat perniagaan dan ahli keluarga yang merupakan rakan kongsi di dalam syarikat disebabkan tawaran harga yang tidak masuk akal. Harga yang ditetapkan adalah harga kos penyediaan makanan sahaja jika dilihat secara kira-kira kasar. Tambahan pula sekarang dengan kenaikan harga barang yang tinggi, kos bahan api (minyak) tinggi dan GST. Ianya menguatkan lagi sebab untuk idea saya ini ditolak.

Tetapi perniagaan ini perlukan ilmu selain bakat. Kemahiran menetapkan harga, kemahiran memilih bahan mentah dan beberapa kemahiran lain yang jika dititik beratkan oleh peniaga makanan dan minuman lain, ianya boleh menguntungkan walaupun dengan kadar harga yang sangat rendah.

Tetapi yang menyokong juga ramai, mungkin yang menyokong ini kerana mereka ingin menjadi pelanggan setia saya setiap hari untuk berbuka puasa.

Tawakkal dan yakin kepada konsep memberi, dan yakin kepada kelebihan lebihkan memberi (infaq) dalam bulan Ramadhan menyebabkan saya tekad untuk ‘jalan terus’ bagi merealisikan idea ini. Maklum sahaja orang bisnes kebanyakannya tidak melihat kesan dalam masa singkat, tetapi kesan dalam masa panjang kepada perniagaan ini untuk 11 bulan kehadapan.

Dan sebenarnya niat asal idea ini mahu dijalankan kerana, saya tidak mahu pening-pening fikirkan, perniagaan saya untung atau rugi hari ini. Logiknya mana ada orang banyak memberi akan rugi.

Dan saya mahukan satu konsep perniagaan yang tanpa saya, ianya boleh berjalan dengan baik, menguntungkan serta mudah dipantau (monitor).

Hasilnya Alhamdulillah . . . saya amat-amat teruja dan bersyukur.

Pemasaran Yang Dibantu Allah

Ada beberapa perkara yang saya dapat sepanjang perniagaan konsep buffet berjalan walaupun baru beberapa hari kita di dalam bulan Ramadhan ini:

1. Post saya di salah satu group Facebook mendapat lebih 200 like dan lebih 200 share dalam masa kurang 24 jam. Sedangkan pada mulanya saya fikir, group ini macam tidak aktif sahaja. Bererti tanpa kita paksa orang like dan share, jika tawaran yang kita buat itu memberi manfaat kepada mereka, dengan rela hati mereka lakukan pemasaran percuma untuk kita .

2. Saya dapat beberapa perkongsian iklan milik saya dari group WhatsApp yang saya sertai. Bererti ianya juga sudah viral di kalangan group WhatsApp.

3. Pada awalnya kami cadang mahu mula beroperasi pada 1 Ramadhan. Tetapi 1 hari sebelum Ramadhan bahagian tempahan menerima lebih 2000 tempahan dari panggilan dan WhatsApp menyebabkan kami mengubah tarikh operasi bermula pada 3 Ramadhan, oleh kerana terkejut dan takut persediaan tidak cukup lengkap menerima pelanggan.

4. Aplikasi WhatsApp tidak boleh buka “JAMMED” hingga ke hari ini, saya pun tidak tahu mengapa.

5. Semasa saya sedang menulis artikel ini, pelanggan yang sudah berkunjung ke restoran saya sudah mencecah 2000 orang dalam masa kurang 10 hari .

6. Berkat perniagaan konsep ini, kami telah berjaya mendapatkan lebih 3000 nama dan no telefon pelanggan sebagai database. Bolehlah kami jalankan follow up marketing nanti .

7. Alhamdulillah, setakat hari ini, jumlah pelanggan konsisten setiap hari. Penuh kedai.

8. Sepanjang Ramadhan saya tidak perlu ke restoran untuk tahu berapa jualan dan keuntungan setiap hari. Cukup saya ambil tahu berapa tempat duduk “seat” yang sudah ditempah hari itu.

9. Mendapat perhatian media dan masuk surat khabar secara PERCUMA.

10. 8/10 pelanggan yang keluar dari restoran kami, pasti berjumpa staff dan mendoakan kami dengan ungkapan seperti, “Semoga ALLAH tambahkan rezeki pemilik restoran ini dan majukan perniagaan ini,” kerana mereka gembira. Perniagaan bukan semata-mata mencari dan mengejar duit tetapi menjaga hubungan kita sesama Allah dan manusia .

Nasihat Dan Doa

Nasihat saya jangan takut untuk memberi, memberi, memberi. Kerana kebahagiaan kita adalah apabila kita melihat orang lain bahagia.

Saya mengharapkan doa daripada pembaca dan para pelanggan Restoran Sirah agar kami diberi kekuatan untuk menjalankan perniagaan berkonsep begini secara berterusan setiap tahun.

Doakan kami agar Allah buka pintu rezeki seluas-luasnya serta tambah agar kami dapat menyediakan tempat yang lebih selesa, hidangan yang lebih banyak, sistem tempahan yang lebih mesra pelanggan dan teratur.

Maklumat Perniagaan

Nama Restoran: Restoran Sirah / Sirah Mee Udang & Mee Ketam

Alamat: No 22, Jalan Warisan Megah 1/4, Kota Warisan, 43900, Sepang, Selangor. (15 minit sahaja dari KLIA, Putrajaya Cyberjaya, Nilai)

Waze/Google Maps: Sirah Mee Udang

Facebook: Restoran Sirah , Sirah Mee Ketam & Mee Udang – Dengkil
Web: RestoranSirah.com. Tempahan kini 100% hanya boleh dilakukan secara online.

BACA: VIP Roti John Dan Air Kelapa Nipah Bazar Ramadhan Bandar Tun Hussein Onn Pasti Buat Anda Kecur Lidah

BACA Lagi: Vocket Makan… Nasi Kerabu Ketam Cholley, Taman Bukit Kajang

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram