Secara jujurnya aku tak pernah kenal pengarang buku ini sekiranya bukan kerana tularnya video berkenaan ulasan Bajet 2018 di media sosial. Aku sangat tertarik bagaimana satu susuk tubuh yang tidak dikenali itu boleh menerangkan satu perkara sukar dengan bahasa yang sangat mudah dan aku dapat fahami setiap butir perkataan yang dikeluarkan olehnya.

Itulah Dr Muhammed Abdul Khalid yang berjaya mengulas sesuatu perkara berdasarkan fakta dan bukan auta. Tatkala itu terbit kegagumanku dan aku ingin terus mengenali siapakah susuk hebat ini. Maka pencarianku berakhir dengan buku Antara Dua Darjat Agihan Pendapatan di Malaysia terbitan DUBOOK.

Buku ini sebenarnya sudah berada di pasaran sejak tahun 2014 tetapi di dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk ‘The Colour Of Inequality’. Entah bagaimana, mungkin sebab aku tidak cakna berkenaan buku berbahasa Inggeris maka aku terlepas karya ampuh ini.

Kulit buku bagi versi bahasa Melayu yang menarik membuatkan aku mesti mengalihkan semula kembali pandangan kedua untuk membaca apakah tajuknya. Tahniah DUBOOK kerana berjaya menarik minat pemuda milenia ini untuk mula minat membaca.

Buku ini mempunyai 6 bab utama dengan setebal 248 mukasurat. Ia memerlukan satu fokus yang kuat dan rapi sewaktu dibaca.  Malah tidak keterlaluan jika aku katakan ia tidak boleh diamati dengan satu gangguan, waima bunyi gegaran deringan telefon pintar aplikasi ‘Whatsapp’ menandakan ada mesej yang masuk.

Tidak boleh. Ini adalah satu bacaan serius yang perlukan ketenteraman dan jiwa yang ingin belajar.

buku-Antara-2-Darjat-Agihan-Pendapatan-di-Malaysia

Angka Menterjemahkan Sesuatu

Itu antara perkara utama yang aku dapat. Memahami bagaimana angka itu bergerak bukan kosong semata. Ada nilainya yang dibawa. Data diterjemahkan sebegitu rupa untuk pembaca seperti aku memahami realiti ekonomi masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, apakah nilai RM10,000?

Itulah jumlah bagi tabungan di hari tua bagi setiap 1 daripada 5 orang rakyat Malaysia. Bermaksud tabungan ketika menuju hari pencen hanya berjumlah RM10,000 dan dijangka mampu bertahan hanya selama 10 bulan dengan anggaran perbelanjaan RM1,000 sebulan. Kemudian bagaimana pada bulan ke-11. Dengan apa dia akan bertahan?

Angka tersebut tidak berdiri kaku. Ada cerita di sebalik setiap nombor. Banyak angka kosongnya maka diterjemahkan sebagai orang kaya berada. Sedikit angka kosongnya membawa maksud papa kedana.

Begitulah angka itu memberi erti kepada realiti semasa dengan tepat dan saksama. Jika mulut boleh melencong memberikan kata dusta tetapi angka tidak boleh berbohong. Permasalahan jurang pendapatan antara si kaya dan miskin ini adalah bom jangka yang bakal meletus. Jika tidak ditangani ia akan memberikan ledakan yang kuat dan besar perimeternya.

Menyatakan Sesuatu Perkara Dengan Bukti

Buku ini sangat sarat dengan angka dan nombor. Segala fakta yang diberikan, pasti penulis akan meletakkan dimanakah sumbernya dan apakah maksudnya.

Penulis sangat bertanggungjawab menjelaskan sesuatu perkara bersandarkan bukti empirikal yang tepat. Tiada ocehan dan omongan kosong tanpa disertakan dari mana munculnya fakta tersebut.

Itulah antara disiplin penyampaian ilmu yang banyak mengajar aku. Jangan cakap semberono hanya kerana ingin kelihatan gah di mata umum. Tetapi hakikatnya itu adalah pembohongan dan penipuan nyata.

Sejarah dan Kesan Ekonomi

Setiap tindakan akan memberikan kesan. Sekiranya anda mula merokok seawal berusia 13 tahun, kesannya akan mula kelihatan di awal 40an di mana penyakit seperti kanser paru-paru dan yang berkaitan jantung akan mula menampakkan kesannya.

Begitu juga peristiwa dalam lipatan sejarah. Apa yang berlaku 10 tahun sebelum merdeka dan tindakan British semasa penjajahan telah memberikan dampaknya sehingga sekarang. Walaupun British telah keluar dari negara ini tetapi warisannya masih ada.

Negara kita yang dirompak teruk semasa penjajahan, hasil bumi timah yang diangkut keluar dan buruh luar yang dibawa masuk memberi kesan bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga budaya.

Pengasingan kaum yang sistematik meletakkan kaum-kaum tertentu mengikut jenis pekerjaan dalam bidang ekonomi telah memberi satu kesan barah yang mendalam. Sukar dicabut akarnya. Kaum Cina menguasai bandar, Kaum Melayu diletakkan jauh di pelosok kampung manakala Kaum India penuh di estet-estet.

Bukankah ini satu perancangan pengasingan yang tersusun. Sehingga ke hari ini elemen penyatuan negara bangsa Malaysia masih gagal diwujudkan. Jurang pendapatan antara kaum mesti diperbaiki bagi menyatukan semua bangsa dan untuk mengelak prejudis antara satu sama lain.

Sebuah buku menjadi sangat bernilai apabila visi dan mesej buku tersebut diambil berat dan ada pendokong kepada idea pengarang. Das Kapital karya Karl Max hanya dapat diterjemahkan ideanya secara tuntas oleh Lenin menurusi Revolusi Bolshevik.

Buku ini harus dibaca oleh setiap rakyat Malaysia. Ia memberi kesedaran kepada kita  ada masalah yang mengakar dan kita semua bertanggunjawab untuk mengubahnya.

Abdullah Fikri Bariman