Aku terdengar luah jenaka kawan-kawan yang merupakan seorang guru, “Cikgu sekarang ni bukan macam cikgu dulu. Cikgu dulu orang berebut nak buat laki. Cikgu sekarang ni tak laku sebab takut dapat suami kena tukar mengajar jauh-jauh. Takut diam-diam pi cari bini lain. Hahaha!”

Aku bukan seorang guru maka aku tak tahu perihal tukar itu ini, tetapi mungkin ada ‘mesej’ disebalik lawak itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Teacher’s Diary (TD)

Sinopsis ringkas, filem ini berkisar mengenai seorang bekas penggusti bernama Song yang ditugaskan untuk mengajar di sebuah sekolah ‘terapung’ yang terpencil. Sekolah itu pula cuma mempunyai empat orang murid. Ketika hampir putus asa dan kecewa, Song terjumpa sebuah diari tulisan bekas guru sekolah itu bernama Ann. Melalui diari itu, Song kembali bersemangat dan menyimpan impian untuk bertemu Ann.

Begini. Ini filem yang amat mudah. Filem yang tak perlu pening memikirkan perihal sebab dan kesan. Malahan boleh dikatakan setiap inci agakkan plot malahan penamatnya juga mudah diramal tepat (apa lagi yang diharapkan dari genre komedi romantis kan?). Tetapi adakah itu kelemahan filem ini? Gemar aku tegaskan, langsung tidak.

Ada dua sisi yang aku amat gemar pada filem ini.

Pertama, essence.

Melalui filem Laskar Pelangi, kita diberi sisi fikir mengenai apa itu belajar disebalik kekurangan. Berbeza dengan filem ini, ia memberi sisi fikir apa itu mengajar disebalik kekurangan. Kerana itu seawalnya lagi kita telah diberi perang konflik minda guru yang ‘berfikir untuk diri’ atau ‘berfikir untuk orang’.

Dari binaan konflik itu, ia menyuntik halus dan perlahan sisi ‘the essence sweetness of teaching’ dan bukan ‘the method act of teaching’. Menariknya, intipati itu bukan sahaja untuk dihadam oleh guru (seperti mana tajuk filem ini yang berkait dengan guru), tetapi sesiapa sahaja sama ada ibu yang mahu mengajar anak atau teman yang mahu mengajar kawan. Ia seolah memberi pesan, terimalah kekurangan untuk memaniskan realiti.

Keduanya, dorong.

Ya. Ini filem cinta. Katalah apa pun, ini filem yang punya moment untuk cinta. Ia filem bukan? Maka sebagai filem, elemen cinta ialah antara pelaris yang mujarab. Namun indahnya perasaan cinta yang cuba dibina ialah ia kisaran dorongan cinta, bukan cinta secara sedar (terutama dari watak Song yang lebih konsisten dengan perasaan berbanding Ann yang keliru dengan rasa diri).

Dan dorongan cinta itu membawa kepada pemecahan tembok antara dunia selesa di atas ‘tanah’ berbanding dunia daif di atas ‘air’.

Ya, ada juga terselit lucu-lucu nakal ‘dewasa’ tetapi tunjang cinta yang dibina itu masih berlandas akal dan realiti dan bukan gamit imaginasi fantasi. Kerana itu, kemanisan rasa manis cinta itu akan sampai pada penonton secara natural tanpa perlu melalui proses ‘selaman perasaan’. Apatah lagi, ada cinta lain juga terbina hasil dorongan cinta ‘diari’ itu.

Aku enggan menyentuh aspek lakonan dan sinematografi.

Bagi aku ia amat enak dan kena pada tempatnya yang sekaligus menciptakan rasa semulajadi tanpa kita sebagai penonton rasa terasing dari dunia air, walaupun kita berdiri di atas tanah. Jika filem Korea Silenced (2011) membawa tema kebejatan atas tanggungjawab seorang guru, maka naskah ini ialah pilihan tepat untuk rejuvenasi minda dalam proses untuk memanusiakan manusia.

Ringkasnya, aku tidak bersetuju jika filem Redha dikatakan untuk ditonton oleh ibu bapa autism. Kerana filem Teacher’s Diary ini bukan untuk seorang guru semata, tetapi guru kepada guru, anak murid kepada guru juga insan terawal yang bersyukur atas kelahiran guru.

Selamat Hari Guru.

Review: 8/10