Baru-baru ini saya menonton satu drama di salah satu stesen TV Malaysia. Drama itu berjudul Petanda arahan Razaisyam Rashid. Apa yang menarik minat saya perihal drama itu, ia tanpa sedar mengangkat akrab hubungan antara haiwan dan manusia walaupun ia lebih menekankan pada thrill dan mysterious feel drama itu.

Atas faktor itu, sebolehnya saya cuba mengingati, adakah wujud karya-karya tempatan (khususnya filem) yang mengangkat hubungan dengan haiwan. Paling terakhir jika tidak salah ialah filem Zoo (2010) arahan Azahari Zain. Namun Geng: Pengembaraan Bermula (2009) lebih berkesan melakukannya melalui hubungan singkat antara Upin, Ipin, Raju dan mahkluk fiksyen iaitu Opet.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

A Tale of Mari and Three Puppies (2007)

Sinopsis ringkas, Ryota (lakonan Ryohei Hirota yang memegang watak sebagai abang yang berjanji akan melakukan apa sahaja untuk adiknya setelah kematian ibunya) dan Aya (lakonan Mao Sasaki yang memegang watak sebagai adik perempuan yang berusia lima tahun) merupakan adik beradik yang kematian ibu dan dibesarkan oleh ayah dan datuknya.

Sehinggalah pada satu hari, Aya menemui seekor anak anjing dan bercadang untuk memeliharanya. Anak anjing itu dinamakan Mari dan Aya memeliharanya sehinggalah Mari dewasa dan mempunyai tiga ekor anak.

Namun, ujian melanda bumi Jepun. Berlaku satu gempa bumi yang meruntuhkan rumah yang mereka diami. Aya dan datuknya terperangkap di dalam runtuhan itu. Hanya tinggal Mari yang berusaha untuk menyelamatkan Aya dan datuknya.

Berdasarkan Kisah Benar

Baik. Filem ini ialah filem berdasarkan kisah benar iaitu kejadian gempa bumi Chuetsu Earthquake namun difiksyenkan dengan kisah Aya dan Mari. Ia sama seperti filem Hafalan Shalat Delisa (2011) yang mengambil tema tsunami atau filem Norway The Wave yang mengambil latar kejadian rock-slide tsunami yang mengorbankan hampir 40 nyawa.

Setelah menulis mengenai Melur vs Rajawali minggu lalu, untuk minggu ini, saya memilih untuk menulis perihal filem ini yang saya kategorikan secara filemnya tidaklah sesempurna mana. CGI-nya minimal, punya lompang dan lopak plot yang boleh dipersoalkan malah ia sangat predictable.

Jadi apa yang membuat filem ini baik?

Elemen Yang Buat Filem Ini Baik

1. Rasa

Filem yang berlatar belakangkan kawasan sawah padi bukit yang cukup indah sekitar Yamakoshi Village ini dibina dengan kekuatan karekter yang mampu memaut hati penonton.

Kesannya sehingga boleh membuat penontonnya lupa cacat cela perjalanan filemnya (malah mungkin akan tidak peduli). Ini kerana setiap watak tidak dipersia-siakan wujudnya dan diberi moment dan ruang untuk menyampaikan dan membina emosi.

Ya, filem ini ditunjangi Aya, si gadis kecil berusia lima tahun yang amat menyayangi anjingnya dan sudah pasti kita akan menggenggam tisu tatkala melihat tiap teriak pilunya.

Tetapi harus difahami juga yang tanpa dokongan karekter yang kuat, setiap sajian tangis itu pasti hanya kerana babak dan bukan kerana rasa. Dan filem ini mampu memberi rasa itu melalui kekuatan karekternya.

2. Hubungan

Fasa hubungan antara manusia dan haiwan sememangnya bukan perkara baharu di dalam filem Jepun. Jika pernah menonton naskah seperti Quill (2004) atau Hachiko Monogatari (1987), maka filem ini juga punya rempah yang sama cuma di dalam adunan berbeza. Dan akar rasa hubungan antara haiwan dan manusia menjadi penggerak perasaan filem ini.

Sebagai contoh di dalam filem Hachiko Monogatari, walaupun tanpa Profesor Ueno, dengan hanya melihat Hachiko, kita sudah memahami rasa dan perasaan hubungan seekor anjing dengan tuannya. Dan itu juga yang dibina oleh Aya dan Mari.

Walau tanpa Aya disisi, kita dapat melihat kuatnya hubungan itu dari mata pandang kita pada seekor anjing yang masih percaya dan setia pada tuannya.

Ya mungkin ia atas dorong rasa simpati tetapi kita perlu melihat binaan jambatan rasa yang membina hubungan itu, apatah lagi terjemahan utuhnya hubungan itu diungkapkan oleh seekor anjing.

Dan atas faktor itu, segala kekurangan di dalam filem ini akan diampunkan sebaik filem ini menjengah kredit akhir.

Apa yang menariknya, fasa hubungan itu menyeret sama rasa sayang dan kasih seorang abang (Ryota) pada adiknya (Aya), seorang ayah pada anaknya dan juga pendaman rindu Aya pada ibunya.

Perasaan-perasaan yang terbina ini menjadi tali paut penontonnya pada setiap tingkah rasa Aya sebagai anak yang ketiadaan ibu dan Mari sebagai ibu kepada anak-anaknya dan teman kepada tuannya.

Kerana amat jelas di dalam satu dialog apabila Yuichi Ishikawa (ayah kepada Aya) cuba untuk menenteramkan anaknya yang risau akan keadaan Mari dan anak-anaknya, si ayah memberitahu,

“Jangan risau. Mari juga ibu. Dia akan pandai menjaga anak-anaknya”.

Ya. Ini merupakan naskah melodrama yang penuh jurai air mata. Katalah apa pun, naskah ini dibuat untuk dirasai airmata pilu dan gembiranya. Tetapi saya tak merasakan yang jurai airmata saya adalah membazir kerana filem ini.

Kerana adakalanya, haiwan lebih memahami manusia, mungkin lebih daripada manusia memahami manusia.

Skor Filem: 8/10