Konfrontasi yang berlaku antara Malaysia dan Korea Utara beberapa minggu yang lalu menimbulkan pelbagai komentar. Dari pengamatan penganalis intelektual, pelbagai lontaran pendapat diberi dari krisis diplomatik hingga perkaitan ke Konvensyen Geneva.

Namun reaksi daripada orang awam lebih ‘nakal’. Persediaan pengetahuan ‘perang’ orang awam mengenai konfrontasi ini lebih menarik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Perbandingan kelengkapan senjata dari misil balistik hingga bilangan tentera aktif kedua-dua negara, semuanya seronok diperbincangkan di laman maya.

Dalam pada itu ada perkara yang sedikit terlupa. Bagaimana mereka yang tersepit di dalam konfrontasi ini menghadapinya? Bagaimana takutnya rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara?

Atau bagaimana rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia? Apakah reaksi dan tindakan kita dan mereka?

No Escape (2015)

https://www.youtube.com/watch?v=VFpK71yBv1s

Sinopsis ringkas, Jack Dwyer (lakonan menarik Owen Wilson) dan keluarganya berpindah untuk tinggal di salah sebuah negara dalam jajaran Southeast Asia atas tujuan kerja.

Tanpa Jack ketahui, negara itu sedang menghadapi konflik ketegangan yang memuncak hingga berlaku kekecohan dan cubaan rampasan kuasa.

Paling memburukkan keadaan, warga asing yang berada di dalam negara itu akan dibunuh atas dasar protes ketidakpuasan hati. Jack yang terperangkap di dalam situasi ini perlu mencari jalan untuk melindungi keluarganya.

Komentar Sesetengah Penonton

Begini. Saya mendengar beberapa komentar geram selepas menonton naskah ini. Ada yang berkata,

“Perlu ke filem macam ni ada?”

Dan ada juga yang berkata,

“Filem barat memanglah untuk barat. Bukan untuk asia!”.

Saya sendiri enggan memberi respon pada komentar mereka. Bukan kerana tiada yang perlu diperkatakan, tetapi saya perlu nafas dan rasional untuk berkata.

Ada dua perkara yang bagi saya menarik untuk disantuni perihal filem lakonan Owen Wilson, Lake Bell dan Pierce Brosnan ini.

1. Kesan

Pertama kesan. Saya bersetuju jika dikatakan filem ini seolah mendidik penontonnya berfikir cara xenophobia. Tetapi saya juga bersetuju dengan paparan apa kesan yang akan diterima oleh orang awam yang tidak bersalah namun terperangkap di dalam situasi ini.

Hal kesan ini pernah juga dipapar melalui filem My Name Is Khan (2010) yang jelas memaparkan prejudis dunia pada umat Islam kesan dari peristiwa serangan 11 September.

Melalui filem No Escape ini pula, kesan konflik itu dipaparkan pada satu skop yang lebih kecil iaitu keluarga Jack Dwyers.

Namun setiap kerisauan dan ketakutan sebagai mangsa ditonjolkan mewakili kelompok mangsa yang hanya mahu hidup dan bukan kelompok mangsa yang mahu hidup untuk membuktikan kebenaran.

Kerana mangsa situasi di dalam filem ini tak punya ‘mulut’ dan ‘tangan’ untuk membela diri. Yang mereka ada hanya sepasang ‘kaki’ untuk terus bergerak dan mengelak dari menjadi mangsa. Dan ia memberikan pengalaman ‘kesan’ konfrontasi pada mata pandang orang awam yang menarik.

2. Segera

Keduanya, segera. Antara formula yang sering ‘berjaya’ bagi sebuah filem ialah kesegeraan. Begini. No Escape bukan filem meleret. Ia filem segera untuk audien sentiasa segar.

Saya amat gemar apabila filem ini agak bijak ‘menjaga’ tahap geram dan libanglibu adrenalin jiwa saat pada cabaran dan thrill di setiap babak.

Ia bergerak cukup pantas seolah bukan filem yang mengejar durasi tetapi durasi yang mengejar filem. Kerana itu jika dilihat, perkembangan watak dibina sepintas sahaja sebelum sempat penontonnya bertanya pada diri sendiri, ‘apakah itu?’ atau ‘apakah ini?’.

Dan kesegeraan ini amat mudah menjadi kail untuk peminat filem yang bukan jenisan ‘art’ atau ‘bersimbolik’.

Namun filem ini masih ditahap sederhana di dalam penyampaian walaupun di dalam acuan komersial yang tinggi. Sebagai contoh, dimensi karekter yang dibina amat tergesa-gesa sekaligus menghilangkan rasa simpati pada karekter yang terperangkap di dalam situasi.

Dan audien pastinya lebih mengingati dramatik beberapa babak sambil perlahan melupakan siapa Jack Dwyers dan kemunculan Pierce Brosnan di dalam filem ini.

Tetapi ia masih sebuah filem yang cukup menarik untuk ditonton. Dan mungkin untuk membayangkan risau dan runsing rakyat Malaysia yang masih di Korea Utara, filem ini menarik untuk membikin kita berfikir, mungkin kita tak akan berperang.

Tetapi akan adakah mangsa ‘awam’ dari konfrontasi ini?

Harapnya… Tiada.

Skor filem: 7/10