Okja. Sinopsis ringkas, seekor babi gergasi bernama Okja diserahkan kepada seorang penternak kawasan pergunungan agar dibesarkan dan dipelihara selepas menerima tugasan dari syarikat Mirando Corporation.

Penternak itu yang turut memiliki seorang cucu bernama Mija, Okja dan Mija membesar bersama dan hubungan mereka cukup akrab. 10 tahun berlalu, Okja diambil kembali oleh Mirando Corporation untuk dibawa ke Seoul dan seterusnya New York.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Atas rasa kasih dan sayang Mija pada Okja, gadis kecil itu berusaha untuk membawa Okja kembali dari Amerika Syarikat ke kawasan pergunungan Korea Selatan.

Filem ini merupakan antara arahan pengarah yang cukup dikenali atas karya hebatnya seperti Memoirs of A Murder (2003), Snowpiercer (2013) dan The Host (2006). Dia ialah Bong Joon Ho.

Atas rasa percaya pada kredibiliti beliau serta kualiti naskah yang pernah dihasilkan apatah lagi dengan barisan pelakon gred A seperti Tilda Swinton dan Jake Gylenhall, filem ini saya tonton dengan meletakkan rasa percaya yang pasti akan ada ‘sesuatu’ yang akan diberikan.

Walaupun ia mengenai seekor babi (yang kelihatan seperti badak air), saya gemar mengatakan yang menontonnya dengan tanpa meletakkan apa-apa sentimen akan memberi rasa ‘segar’ pada jiwa naskhah ini.

Saya gemar menyentuh dua sisi yang bagi saya menarik untuk diulas perihal filem ini.

okja 1

Pertamanya soal kitaran. Filem ini bagi saya ia menceritakan fiksyen yang membawa pada realiti. Ya, seorang gadis kecil yang sanggup menempuh cabaran demi menyelamatkan ‘her super sized pig’ bagi saya satu fairy tale yang boleh saya katakan punya simililarity dengan filem creature feature beliau sebelum ini iaitu The Host (yang juga memaparkan super sized fish).

Menariknya di sini ialah fiksyen yang dipaparkan akan membawa kita ke realiti dunia seorang manusia yang mahu tidak mahu akan hidup di dalam satu sistem kitaran.

Begini. Di dalam filem ini Okja diwujudkan sebagai bahan dalam sistem kitaran dalam hidup manusia. Walau secomel dan jinak mana pun Okja, Okja akan tetap menjadi bahan kitaran (iaitu sumber makanan) dalam hidup manusia. Ia seolah kita membela lembu sejak kecil dan bila tiba masanya, ia tetap akan menjadi ‘lauk’ di dalam periuk manusia.

Disebabkan itu kita melihat permulaan filem ini, ia dimulakan dengan babak ‘ceramah penerangan’ Mirando Corporation mengenai produk dan visinya dahulu dan kemudian barulah disusuli dengan papar kasih sayang istimewa antara Mija dan Okja (saya amat gemar babak Mija bangun malam dan pergi ke kandang mencari Okja untuk tidur bersamanya).

Di sinilah filem ini memberikan rasa pertentangan dan konflik yang wujud di dalam sistem kitaran manusia melalui beberapa watak dan subjek.

Watak Mija yang tidak meletakkan Okja sebagai ‘bahan’ di dalam kitaran hidupnya tetapi mengkategorikan Okja sebagai ‘keluarga’, kemudian Mirando Corporation yang menjadikan Okja bahan kitaran ‘bussines survival’.

Wujud juga peranan NGO bernama ALF (Animal Liberation Foundation) yang nekad dan konsisten dalam menentang kitaran ‘tak wajar’ terhadap haiwan.

Semuanya jelas dipaparkan untuk kita meletakkan rasa adil yang sepatutnya untuk meneruskan kitaran yang kita rasakan betul dan sepatutnya.

okja 4

Keduanya, walaupun di dalam filem ini jelas menunjukkan yang Mirando Corporation ialah villain (mungkin atas faktor mutasi tak wajar pada haiwan dan dianggap ‘perampas’ walau sebenarnya mereka mengambil hak mereka), tetapi jelasnya mereka sebagai orang bisnes perlu bersifat opportunist untuk kitaran perniagaan mereka.

Anda boleh lihat babak akhir yang sangat jelas menunjukkan bagaimana ‘transaksi’ tanpa ada rasa sentimental sentimen pada perasaan dibuat.

Lihat pula kekeliruan Lucy Mirando dalam sepanjang filem ini, dia keliru sama ada mahu adil atau ehsan atau opportunist ataupun kejam.

Kerana itu filem ini tidak dibuat dalam sebuah kerangka melodrama simpati tetapi di dalam tunjang cara fikir rasional yang jujur dalam penyampaian.

okjA 3

Apa pun saya gemar katakan yang filem ini di dalam acuan The Host tetapi di dalam rangka kasih sayang yang cukup tebal. Ya, hubungan istimewa Mija dan Okja adalah hubungan ‘luarbiasa’ yang terbenteng oleh rasa kasih dan nilai sentimental.

Dan itu yang membezakan antara perjuangan Mija dan pejuang pencinta haiwan di dalam filem ini. Dan tunjang rasa Mija dan Okja itu pengikat rasa untuk penontonnya setia hingga ke babak akhir.

Melalui aspek lakonan, sinema Korea sememangnya jarang sekali gagal melahirkan pelakon kecil yang berbakat besar.

Mungkin boleh saya katakan yang An Seo Hyun (yang membawakan watak Mija) adakala lebih kelihatan natural dan semulajadi (lihat babak Mija tiba di pejabat Mirando Corporation dan melanggar pintu kaca itu) berbanding Jake Gylenhall yang terkadang mampu meyakinkan namun terkadang tergelincir ke daerah terlalu mahu mencuba.

Tilda Swinton pula memberi sisi lakon yang menarik, tetapi sukar untuk melupakan kenangan Tilda di dalam We Need to Talk About Kevin (2011).

okja 2

Ringkasnya, ini filem yang baik untuk kita memaknakan maksud adil yang sepatutnya pada haiwan. Ya mungkin naskhah ini cuma naskhah dongeng moden imaginatif ala fairy tale tetapi ia mampu memberikan ‘refresh mode’ pada apa yang kita lihat, fikir dan mungkin ‘makan’.

Dan mungkin motto yang tepat untuk filem ini bukan semata-mata ‘Sayangi Haiwan’, tetapi ‘Berlaku Adillah Pada Haiwan’. Bak kata Nancy Mirando, “We can only sell dead ones.”

Skor filem: 8/10